Jom Lihat Koleksi Unik Agong & Permaisuri, Masuk Percuma!

JALAN-JALAN
August 06, 2019 - 02:15 PM


Seperti semua sedia maklum, negara kita baru sahaja membuat pertabalan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 30 Julai lalu.

Bagi memberi peluang kepada rakyat jelata untuk mengenali dengan lebih dekat personaliti serta keperibadian Seri Paduka berdua, satu 'Pameran Raja Kita' diadakan selama 3 bulan bermula semalam (6 Ogos) hingga 5 November depan di Muzium Diraja, Istana Negara Lama, Kuala Lumpur.

Sejumlah 198 koleksi barangan kebesaran institusi raja dipamerkan untuk tatapan para pengunjung.

Paling menarik perhatian, tentunya 'Kalung dan Gendik Raja Permaisuri Agong' yang dipakai sejak tahun 1957 oleh Raja Permaisuri Agong​ yang pertama sehingga kini dan pameran itu hanya eksklusif untuk tontonan orang ramai selama seminggu sahaja, sehingga Isnin depan (12 Ogos).

Kalung dan Gendik Raja Permaisuri Agong

Lebih istimewa buat julung kalinya juga, pengunjung boleh melihat sendiri warkah niat menjodohkan Yang Di Pertuan Agong dan Tunku Permaisuri Agong yang didedahkan kepada rakyat pada pameran tersebut.

Uniknya 'Pameran Raja Kita' kali ini juga turut menggunakan pendekatan baharu yang mesra pengunjung iaitu aplikasi teknologi kod realiti terimbuh atau 'Augmented Reality' (AR) Code, hologram dan interaktif.

Antara koleksi lain yang dipamerkan termasuk alat kebesaran diraja dari Istana Negara yang digunakan pada upacara istiadat pertabalan, alat kebesaran dari Istana Abdulaziz, Kuantan & Istana Abu Bakar, Pekan serta barangan dari pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Selain itu, cogan agama, cogan alam, tengkolok, pending, keris panjang dan sundang yang digunakan pada hari istiadat pertabalan turut dipertontonkan kepada para pengunjung.

Jika anda berkunjung ke pameran tersebut, anda juga berpeluang melihat dengan lebih dekat koleksi peribadi Tunku Permaisuri Agong, antaranya baju kurung kegemaran baginda termasuk baju pernikahan dan persalinan sempena pemasyhuran sebagai Tengku Ampuan Pahang.

Malah Tunku Azizah yang sememangnya terkenal dengan kerja-kerja amal dan sentiasa berjiwa rakyat telah berbesar hati berkongsi koleksi peribadi baginda yang berupa peralatan menjahit, memasak serta beberapa tas tangan yang dihadiahkan oleh Seri Paduka untuk tontonan orang ramai.

Selain pameran, pelbagai program sampingan turut diadakan seperti bengkel lipatan tengkolok dan aktiviti pendidikan bersama pelajar sekolah.

Menarik, kan pameran ini?

Jadi tunggu apa lagi, jom bawa anak-anak dan keluarga ke 'Pameran Raja Kita' ini yang diadakan secara percuma untuk orang ramai, bermula 9 pagi hingga 5 petang.

 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah