'Resort Kuarantin Pertama Dunia' Khas Untuk Pesakit COVID-19 Ada Di Maldives

TARIKAN
April 02, 2020 - 04:58 PM


Jika sebelum berlaku penularan wabak COVID-19, Maldives sememangnya terkenal sebagai destinasi impian pelancong dari seluruh dunia hingga ada yang menggelarkan negara di pulau Lautan Hindi itu sebagai 'Syurga Dunia'.

Meskipun begitu, pulau cantik itu juga tidak terlepas daripada jangkitan COVID-19 selepas 2 pekerja di Kuredu Island Resort & Spa dikesan positif virus berkenaan serta dipindahkan ke sebuah pulau untuk proses kuarantin.

Susulan itu, kerajaan Maldives membuat inisiatif sendiri dengan membina 'resort koronavirus yang pertama di dunia' untuk pesakit yang dijangkiti serta memerlukan proses kuarantin diri.

Resort tersebut dinamakan sebagai Villivaru Resort yang terletak di Kaafu Atoll kira-kira 24 kilometer utara ibu kota Male.

Hanya dalam masa 10 hari, resort berkenaan berjaya dibina oleh 50 pekerja dan menariknya walaupun berstatus pulau kuarantin ia direka serta dihiasi benar-benar seperti sebuah resort percutian yang indah.

Resort itu dilengkapi dengan 30 bilik penginapan mewah untuk pesakit secara percuma, termasuk khidmat pengawasan doktor.

Setiap satu bilik tersebut juga disediakan dengan penghawa dingin, perkhidmatan bilik, televisyen skrin rata dan bar mini lengkap seperti di sebuah hotel.

Hanya yang membezakan adalah tiada pelawat dibenarkan untuk masuk ke resort berkenaan bagi berjumpa dengan mana-mana pesakit.

Setakat ini, Maldives telah merekodkan 17 kes COVID-19 yang mana 13 daripadanya telah pun sembuh sepenuhnya.

Manakala hanya seorang warganegara Maldives telah dikesan positif virus berkenaan, sementara yang lain adalah terdiri daripada pekerja dan pelancong asing.

Sumber: South China Morning Post

 

 

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah