SkyHelix Sentosa: Tarikan Baharu Enjoy Panorama Tertinggi Di Singapura

TARIKAN
November 12, 2021 - 02:12 PM


Kalau nanti sempadan negara dah dibuka dan kita pun dibenarkan untuk melancong ke Singapura, korang jangan lepaskan peluang mencuba satu tarikan baharu di sana iaitu "SkyHelix Sentosa" yang dengar khabarnya bakal dibuka pada 15 Disember ini.

Daya tarikan terbaru di Sentosa itu sebenarnya akan dibuka lebih awal daripada jadual.

Menurut pengendalinya Mount Faber Leisure – SkyHelix Sentosa adalah sebuah struktur menara yang berpintal dengan gondola terbuka yang boleh mencapai ketinggian sehingga 35 meter.

Menara itu ditempatkan di stesen cerapan Imbiah dan dibangunkan berdekatan dengan daya tarikan lain seperti kereta kabel.

Perjalanan selama 12 minit itu termasuk persinggahan selama 10 minit di puncaknya, yang merupakan salah satu tapak tertinggi di Sentosa dan korang bakal menikmati pemandangan paling luas pada ketinggian 79 meter dari atas paras laut – menjadikannya panorama tertinggi di Singapura.

Sepanjang tempoh itu, gondola akan berputar secara perlahan-lahan untuk memberikan pemandangan 360 darjah pulau tersebut.

Korang boleh menikmati pengalaman yang santai lagi menakjubkan itu dengan menjuntaikan kaki di udara, sambil menikmatinya dengan minuman atau cenderahati SkyHelix Sentosa untuk dibawa pulang.

Semua itu adalah sebahagian daripada pakej berharga S$18 atau RM55 bagi setiap orang dewasa dan S$15 atau RM46 bagi kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun.

SkyHelix Sentosa juga mempunyai reka bentuk mesra tenaga yang menggunakan kuasa elektrik yang sangat rendah, menurut Mount Faber Leisure.

Malah jejak karbon yang dijana bagi tempoh operasi selama setahun – atau bagi menampung sekitar 100,000 penumpang – sama seperti penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Daya tarikan tersebut bagaimanapun hanya dibuka kepada para pelawat yang lengkap divaksin, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah perlu ditemani oleh orang dewasa.

Tiket boleh ditempah di laman web SkyHelix Sentosa.

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah