7 Tarikan Best Di Kuantan Untuk Percutian Anda & Keluarga!

TARIKAN
May 31, 2022 - 04:39 PM


Berbanding Port Dickson, Negeri Sembilan atau Ipoh, Perak, Kuantan bukan destinasi pelancongan popular di Malaysia.

Namun ibu negeri Pahang Darul Makmur itu sebenarnya memiliki banyak lokasi dan aktiviti pelancongan menarik yang menjanjikan tarikan serta keseronokan tersendiri.

Ia tetap boleh dikunjungi meskipun anda tidak mempunyai bajet besar atau masa percutian yang lama.

Bandar berhampiran sungai dan pantai itu juga terletak tidak terlalu jauh dari ibu kota, Kuala Lumpur dan mudah dikunjungi dengan laluan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang mengambil masa tiga jam setengah sahaja untuk tiba.

Jika bercadang untuk mengunjungi Kuantan, berikut adalah antara lokasi menarik yang boleh dikunjungi:

1) PANTAI TELUK CEMPEDAK

Destinasi pelancongan yang sudah tidak asing lagi bagi penduduk Pahang dan pantai timur.

Berbanding beberapa tahun lalu, kawasan Pantai Teluk Cempedak sudah dinaik taraf bagi memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.

Biarpun airnya tidak sebiru pantai di Terengganu, namun kawasan pesisirnya yang berbatu dan landai sesuai untuk ibu bapa membawa anak berekreasi.

2) PANTAI BATU HITAM 

Terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kuantan dan antara lokasi penduduk tempatan untuk beriadah bersama keluarga ketika hujung minggu.

Ia juga popular dalam kalangan penggemar aktiviti berkhemah dari seluruh negara.

Kawasan pantainya yang cantik dan memiliki batuan berwarna hitam sememangnya unik, tidak hairan jika ia sering menjadi tumpuan lensa kamera bagi penggemar fotografi.

3) MENARA KUANTAN 188 

Antara destinasi pelancongan baharu yang perlu dikunjungi jika bercuti di bandar Kuantan.

Dengan ketinggian 104 meter, pengunjung akan disajikan dengan pemandangan 360 darjah bandar itu.

4) KUANTAN RIVER CRUISE 

Jika ingin melihat bandar itu dari sudut yang berbeza, apa kata ikuti perjalanan menyusuri Sungai Kuantan menerusi Kuantan River Tours.

Pengunjung berpeluang melihat pemandangan kawasan bandar, perkampungan nelayan dan paya bakau untuk menyaksikan keindahan flora serta fauna.

Pelbagai jenis pakej ditawarkan kepada pengunjung dan semuanya bergantung kepada bajet serta masa anda.

5) MINI ZOO TAMAN TERUNTUM 

Jika si kecil gemarkan haiwan khususnya dinosaur, apa kata bawa mereka ke Mini Zoo Taman Teruntum.

Ia ditransformasikan dan berubah wajah menjadi sebuah zoo hibrid pertama di Malaysia, menggabungkan haiwan hidup dengan haiwan animatronik prasejarah khususnya dinosaur. Ia pasti menarik minat pengunjung terutama kanak-kanak.

Haiwan yang ditempatkan di mini zoo itu seperti burung unta, burung merak, kancil, buaya, arnab, landak, seladang, pelanduk, ular, orang utan dan kura-kura.

Rumah Hobbit yang terkenal dalam filem The Lord of Thr Rings juga menjadi tarikan terbaharu di zoo itu.

Kemudahan asas seperti tandas, tempat letak kereta dan gerai menjual makanan juga disediakan bagi keselesaan pengunjung.

6) MUZIUM SENI PAHANG 

Terletak tidak jauh dari Masjid Sultan Ahmad Shah 1, ia antara destinasi yang perlu dilawati jika anda pencinta seni yang mengunjungi Kuantan.

Pelbagai koleksi menarik dipamerkan di muzium itu dan bahan pamerannya ditukar mengikut tema tertentu sama ada batik, merdeka, seni reka atau sebagainya

Sementara itu, selepas seharian mengunjungi tempat menarik di Kuantan, perut semestinya terasa lapar.

7) IKAN BAKAR TANJUNG LUMPUR

Destinasi tempat makan yang wajib dikunjungi ialah juadah ikan bakar yang boleh didapati di banyak restoran di sekitar Tanjung Lumpur.

Banyak juadah berasaskan makanan laut segar boleh dinikmati dengan harganya juga berpatutan.

Tipnya, jika untuk menikmati makan malam, pergi seawal yang mungkin kerana ia biasanya dipenuhi ramai pengunjung seawal 8 malam.

Sumber: Harian Metro

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah