Kg Lorong Buangkok - Kampung Terakhir Yang Masih Wujud Di Singapura

TARIKAN
May 28, 2021 - 01:15 PM


Kalau kita letakkan Singapura di pentas selebriti, negara jiran kita ini boleh diibaratkan sebagai seorang selebriti yang menempah nama, menjadi berjaya, dan maju dalam masa semalaman. Kalau negara lain membina nama berdekad-dekad untuk berkembang dan membina kemajuan, Singapura hanya mula membangun pada lewat tahun 70-an, dan kini pada abad ke 21, Singapura menjadi antara negara yang paling mahal untuk didiami dalam dunia. 

Singapura yang dulu penuh dengan kawasan perkampungan sama seperti di Tanah Melayu, membangun dengan pesat dan menggantikan kediaman-kediaman mereka dengan pangsapuri yang boleh memuatkan lebih ramai penduduk, serta lebih modern, dan selesa. Namun, di dalam pembangunan yang pesat itu, sebuah kawasan kecil di Buangkok, Hougang, Singapura masih tidak ditelan dek zaman, walaupun dikelilingi bangunan-bangunan yang tinggi, Kampung Lorong Buangkok masih dikekalkan sebagai kampung terakhir di Singapura. 

Pada tahun 60-an, Kampung Lorong Buangkok didiami oleh 40 buah keluarga, namun ketika Singapura menjadi semakin maju, angka penduduk menurun dan kebanyakan penduduk di kampung tersebut berpindah ke pangsapuri yang dibina Housing and Development Board ataupun HDB, nama gelaran kepada pangsapuri yang didiami penduduk Singapura. 

Kini, Kampung Lorong Buangkok masih mempunyai 13 buah biji rumah kayu lama setingkat, berbumbungkan zink, sama seperti rumah-rumah kampung di Malaysia. Tanah kampung ini masih dimiliki oleh keluarga yang sama yang membeli tanah tersebut pada tahun 50-an untuk dijadikan Kampung Lorong Buangkok.

Kampung tersebut pernah diberikan nama Kampung Selak Kain pada tahun 60-an kerana penduduk di sana selalunya hanya memakai kain sarong, termasuk kaum lelaki, dan kerana kampung tersebut terletak bersebelahan dengan sungai yang selalu dilimpahi air, ketika banjir melanda kawasan tersebut, dorang akan menyelak kain untuk pulang ke rumah. 

Pada zaman dahulu, perkampungan seperti Kampung Lorong Buangkok dianggap sebagai tanda-tanda kewujudan miskin luar bandar di negara tersebut, dan ianya adalah satu masalah yang amat dititik beratkan oleh kerajaan Singapura. Namun, bagi penduduk kampung ini, kawasan mereka adalah yang terakhir yang wujud di Singapura, dan kehilangan kawasan tersebut bakal menjadi satu kehilangan kepada budaya asal usul negara tersebut. 

Kini, Kampung Lorong Buangkok dikelilingi oleh HDB dan kondominium mewah, dan betul-betul di pintu masuk kampung tersebut, sebuah pembinaan sedang berjalan. Jadi, berapa lama lagikah kampung terakhir di Singapura mampu bertahan? 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah