Melancong Sambil Kenali Tenggiling Di Taman Negara Bukit Tawau
JALAN-JALANKalau anda seorang peminat hidupan liar atau eksotik, ini mungkin berita yang menggembirakan buat anda!
Sabah bakal mewujudkan sebuah Pusat Santuari Tenggiling di Taman Negara Bukit Tawau, pada hujung tahun ini.
Santuari dan sebuah pusat kajian tenggiling akan dibuka di dalam taman yang berkeluasan 20,000 hektar itu bertujuan mendidik orang ramai dan pelancong luar mengenai haiwan tersebut yang tidak boleh diburu dan dibunuh atas apa pun alasan termasuklah untuk tujuan perubatan.
Menurut Harian Metro, santuari itu juga akan menempatkan pelbagai spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya menggunakan dana RM1 juta hasil sumbangan Institut Kajian dan Santuari Tenggiling (SAPSARI) Arizona, Amerika Syarikat.
Ia juga dilengkapi dengan khidmat doktor pakar serta pasukan penyelamat bagi memastikan hidupan liar berkenaan dilindungi dan selamat untuk didekati oleh orang ramai.
Dengan penubuhan santuari berkenaan, Sabah kini berada di hadapan dalam usaha mendidik masyarakat dunia mengenai konservasi tenggiling yang menjadi hidupan liar paling banyak diburu dan dibunuh untuk aktiviti pemerdagangan haram.
Bagi yang berminat untuk berkunjung ke Santuari Tenggiling itu nanti, bolehlah bawa keluarga dan anak-anak ke Taman Negara Bukit Tawau yang terletak 22 kilometer dari bandar Tawau atau kira-kira 30 minit perjalanan menaiki kenderaan darat.
Taman Negara Bukit Tawau sememangnya antara destinasi eko-pelancongan yang terkenal di kalangan pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Selain menjadi habitat pelbagai jenis flora dan fauna, taman itu juga memiliki 2 air terjun yang sangat menakjubkan iaitu Air Terjun Table & Air Terjun Bukit Gelas, kolam air panas sulfur dan pokok tropika yang tertinggi di dunia iaitu Seraya Kuning Siput juga khabarnya ada di situ.
Ia juga popular untuk aktiviti seperti perkhemahan, berkelah, riadah hutan, mendaki gunung dan meniti silara.
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah