Jom Naik Bot & Tengok Haiwan Liar Secara Dekat Di Tasik Pedu, Kedah!
JALAN-JALANJanuary 31, 2020 - 05:27 PM
Siapa dekat sini yang suka dan teringin untuk melihat haiwan liar secara dekat tetapi selamat dari atas bot?
Kalau korang salah seorang pencinta haiwan dan inginkan percutian yang lain daripada lain, Tasik Pedu di Padang Terap, Kedah ini mungkin destinasi paling tepat untuk dikunjungi!
Tasik buatan manusia yang terbesar di Kedah dan telah berusia lebih lima dekad ini mungkin tidak sepopular destinasi pelancongan negara yang lain, namun di situ tersimpan pelbagai khazanah alam berharga untuk diterokai.
Ramai pengunjung yang bercuti ke Tasik Pedu menikmati pengalaman istimewa mereka apabila menelusuri tasik garam itu seluas 52 km persegi dan berkedalaman 60 meter dengan menaiki bot serta berhasil melihat kawanan haiwan liar dari jarak dekat di atas bot.
Antara kumpulan haiwan tersebut adalah gajah, rusa dan kijang.
Menonton kawanan haiwan liar dari atas bot dengan jarak selamat serta pandangan jelas tanpa halangan pastinya lebih menyeronokkan dan bakal menjadi pengalaman manis seumur hidup.
Kawasan hutan di Tasik Pedu yang bersambung dengan Thailand sering menjadi laluan kawanan gajah dan kebiasaannya haiwan itu kerap dilihat sekitar Mei di gigi tasik garam.
Jika ke sini, korang tak perlu risau kerana terdapat pengusaha tempatan yang akan menawarkan pakej ekopelancongan berkonsepkan rumah bot.
Rumah bot berkenaan dilengkapi dengan peralatan tenaga solar, sistem kumbahan dan pembentungan yang sempurna serta rumah bot tambahan untuk keselesaan pengunjung.
Tasik berkenaan sering menjadi pilihan pelancong luar negara seperti Eropah kerana mereka sangat gemar dengan ekopelancongan negara kita yang sukar ditemui di negara lain.
Buktinya, sepanjang tahun lepas lebih 1,300 pelancong telah mengunjungi Tasik Pedu.
Selain haiwan, Tasik Pedu juga kaya dengan berpuluh-puluh spesies pokok yang tidak ditemui di tempat lain.
Contohnya seperti pokok tualang yang menjadi persinggahan lebah. Madu tualang yang terkenal serta berkualiti tinggi juga ada dihasilkan di sini dan biasanya sekitar hujung bulan Februari, madu itu akan dikumpulkan.
Jika ke sini, korang jangan lepaskan peluang untuk menikmati pelbagai juadah berasaskan menu tempatan seperti ikan baung, lampam, tengalan dan udang tasik.
Malah kalau korang datang pada musim panas seperti ketika ini, korang juga berpeluang menjamu selera menu eksotik istimewa yang popular bagi orang-orang sekitar tasik ini iaitu ‘kedaya’ atau ‘temagik’, yang menyerupai kepah.
Jadi tunggu apa lagi, moh le kita bercuti ke Tasik Pedu. Bukan jauh pun hanya sekitar 80 km dari Alor Setar!
Sumber: Bernama
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah