Gua Sireh Unik & Paling Cantik Di Malaysia, Tarikan Baharu Di Baling, Kedah!
JALAN-JALANJanuary 30, 2020 - 02:26 PM
Siapa sangka gua yang menjadi tumpuan penduduk setempat sejak awal 1960-an untuk mencari najis kelawar bertukar wajah menjadi lokasi pelancongan baharu di Baling, Kedah.
Jika sebelum ini Gua Sireh yang terletak di kaki Bukit Dalam Wang, menjadi tempat mencari rezeki penduduk melalui najis kelawar yang dijadikan baja, kini gua berkenaan menjana rezeki melalui pelancongan.
Berkeluasan mencecah 192 meter lebar dan ketinggian antara 60 hingga 80 meter, Gua Sireh boleh dianggap antara gua paling luas di negara ini.
Sejak dibuka awal Februari tahun lalu, gua berkenaan telah menerima lebih 2,000 pengunjung yang bukan sahaja dalam kalangan warga tempatan malah pelancong luar negara seperti Jepun dan Korea Selatan.
Batu Bentuk Sirih Junjung
Terletak kira-kira 5 kilometer dari Pekan Baling, pengunjung akan mengambil masa hampir sejam untuk menerokai laluan gua sepanjang 400 meter.
Memasuki pintu gua sahaja, pasti anda sudah terpukau dengan batu besar dengan ketinggian tujuh meter berbentuk sirih junjung yang seolah-olah menyambut ketibaan sesiapa sahaja yang memasukinya.
Berdasarkan ‘cakap-cakap’ penduduk setempat batu sirih junjung yang berada dalam keadaan condong itu akan berubah dan condong ke arah lain dalam tempoh masa tertentu.
Selain sirih junjung, terdapat juga batu yang menyerupai belalai gajah dan beberapa bahagian dinding gua menyerupai muka singa serta orang sedang bertapa.
Indah Disinari Cahaya
Diterangi sedikit cahaya lampu yang dipasang, dinding (chamber) gua berwarna putih nyata terlalu indah sehingga ada pasangan pengantin baharu mengabadikan kenangan dengan mengambil gambar di situ.
Pujian seharusnya diberikan kepada Persatuan Penduduk Kampung Dalam Wang/Padang Che Mas yang mengambil inisiatif meneroka Gua Sireh sebagai sumber ekonomi baharu penduduk di kawasan berkenaan.
Pengerusinya, Mohd Hassan Aziz, 46, berkata idea untuk menjadikan Gua Sirih sebagai lokasi pelancongan bermula Ogos tahun lalu, apabila ahli jawatankuasa persatuan mula menjalankan operasi meneroka.
Kerja membuat laluan, bertukang membuat titi, pendawaian elektrik untuk memasang lampu dan membersihkan dijalankan sehingga Januari lalu sebelum dibuka kepada umum pada awal Februari tahun lalu.
INFO GUA SIREH, BALING, KEDAH
- Dibuka setiap hari
- Operasi jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang.
- Setiap pengunjung akan dibawa masuk oleh jurupandu arah
- Bayaran : RM10 (dewasa) dan RM5 (pelajar dan kanak-kanak berusia lebih 7 tahun)
Sumber: Berita Harian & Kredit Foto: Bigsta.net
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah