'Durian Ecolodge' Tawar Percutian Dalam Karavan Di Tengah-Tengah Dusun Buah-Buahan!
JALAN-JALANSeptember 01, 2020 - 03:08 PM
Siapa dekat sini yang suka dan teringin untuk bercuti di tengah-tengah kebun buah-buahan?
Kalau korang antara yang mempunyai impian percutian sebegitu, apa kata korang cuba merasai sendiri pengalaman bermalam di DURIAN ECOLODGE, Kampung Pondoi, Tampin, Negeri Sembilan.
Tarikan agropelancongan yang baharu itu sangat sesuai untuk dijadikan lokasi percutian hujung minggu terutama kepada warga kota dan orang-orang Melaka kerana ia terletak hanya kira-kira 22 kilometer dari Plaza Tol Simpang Ampat dan bersempadan dengan Melaka.
Jika menginap di sini, korang bakal menikmati hamparan pemandangan indah dikelilingi kawasan berbukit dan sangat sesuai dijadikan destinasi untuk beristirahat sambil makan buah-buahan segar dari kebunnya.
Keistimewaan Durian Ecolodge yang diusahakan di atas tanah seluas empat hektar itu ialah ia bukan sahaja kawasan dusun yang dipenuhi dengan tanaman buah-buahan tempatan terutamanya durian -- tetapi turut dilengkapi dengan 20 jenis penginapan berkonsepkan karavan dan rumah penginapan yang mana setiap satunya diberi nama bersempena jenis-jenis durian yang popular di Malaysia.
Harga penginapan bermula dari RM250 hingga RM400 satu malam dan istimewanya kalau korang datang ke Durian Ecolodge sebagai pengunjung yang bermalam di sana, korang berpeluang menikmati buah-buahan pada harga lebih murah berbanding mereka yang datang hanya untuk menikmati buah-buahan yang ada di situ.
Menurut pemiliknya, Bong Choong Wei -- penginapan itu disediakan bagi membolehkan pengunjung beristirahat dan menikmati suasana indah di kawasan dusun sambil menikmati buah-buahan segar pada harga yang lebih murah.
“Pada hujung tahun 2018, saya mula mencari tapak yang bersesuaian untuk buka satu kawasan yang bukan sahaja terdapat dusun tetapi ada kebun buah dan penginapan bagi orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara menikmati buah-buahan tempatan khususnya raja buah yang segar dari dusun di samping menginap dalam dusun dengan suasana yang lebih selesa,” katanya.
Di Durian Ecolodge selain pokok durian, turut boleh didapati di sini ialah buah mangga, manggis, mata kucing, markisa, belimbing, betik, dokong, nanas dan kelapa pandan mula ditanam pada awal tahun 2019 dan kini pokok-pokok itu membuahkan hasil dan sedia untuk dinikmati para pengunjung.
Terdapat 390 pokok durian di dusun itu sehingga kini antaranya Musang King, D24, durian susu dan durian kampung.
Selain itu, para tetamu di Durian Ecolodge juga berpeluang mendalami ilmu menanam dan menjaga pokok durian dengan betul bagi mendapatkan hasil yang berkualiti.
“Saya dapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian mukim Tampin dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan yang memberi sokongan padu apabila saya kata mahu promosi tempat ini sebagai lokasi tumpuan untuk sektor agropelancongan.
“Saya juga merancang untuk menyediakan pakej iaitu pengunjung yang menginap akan dibawa melawat ke ladang cendawan, nangka dan kawasan sawah padi yang terletak kira-kira 15 hingga 20 kilometer dari Durian Ecolodge,” tambah Bong.
Jadi kalau korang berminat untuk merasai sebuah pengalaman percutian yang baharu, korang boleh singgah ke Durian Ecolodge ini.
DURIAN ECOLODGE
Alamat: Lot 363 Batu 8, Jalan Tampin Gemas, Kampung Pondoi 73000 Tampin, Malaysia
No Tel: 019-235 6125
Facebook: Durian_EcoLodge
Sumber: BERNAMA
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah