Buat Dulu 'Self-Test' Kit Sebelum Balik Kampung Nanti!

GAYA HIDUP
October 06, 2021 - 06:15 PM


Hanya berbaki kurang 2 peratus lagi untuk kita mencapai sasaran 90 peratus bagi kebenaran rentas negeri.

Pastinya ramai yang dah tak sabar untuk pulang ke kampung halaman bagi bertemu ibu dan ayah selepas berbulan malah ada yang mencecah tahun sudah tidak bertentang mata dengan mereka.

Bagaimanapun, bagi orang ramai yang ingin pulang ke kampung anda disarankan supaya menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum melakukan perjalanan rentas negeri.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter rasmi beliau membuat saranan tersebut memandangkan kini kementerian berkenaan sudah beralih ke ujian simptomatik.

"Jika anda ingin pulang ke kampung menziarahi orang tua, lakukanlah ujian air liur RTK. Jaga keselamatan mereka," katanya.

Malah bagi mereka yang berada dalam persekitaran mobiliti tinggi dan bertemu orang ramai digalakkan membuat ujian Covid-19 secara berkala.

Berdasarkan portal COVIDNOW -- sebanyak 88.4 peratus atau 20,698,852 golongan dewasa di negara ini telah melengkapkan vaksinasi masing-masing setakat semalam, tinggal kurang daripada dua peratus untuk mencapai sasaran 90 peratus.

Pada 22 September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila mencapai 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka.

Dalam ciapan lain, Khairy berkata apabila negara memasuki fasa endemik, semuanya bergantung kepada tanggungjawab dan tingkah laku individu itu sendiri.

"Apabila kita memasuki fasa endemik, kita tidak boleh melakukan seperti sekatan jalan raya untuk melihat sekiranya anda sudah lengkap divaksin atau belum. Saya percaya kita boleh menghadapi cabaran dalam #ReopeningSafely," katanya.

Sumber: Harian Metro

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah