Kreatif Untuk Survive, Resort 4 Bintang Di PD Ini Jual Makanan Secara 'Drive-Thru'
HOTELFebruary 09, 2021 - 03:32 PM
Tidak dinafikan dalam masa-masa sukar disebabkan penularan pandemik COVID-19, banyak hotel dan resort percutian di negara kita yang terpaksa gulung tikar dan mengalami kerugian teruk kerana tiada aktiviti pelancongan dibenarkan.
Tidak mahu terlalu bergantung kepada hasil jualan bilik penginapan yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebuah resort empat bintang di Port Dickson, Negeri Sembilan mengambil inisiatif menyediakan khidmat jualan makanan hasil air tangan cefnya berkonsepkan pandu lalu.
Pengurus Besar Resort AnCasa Residences Port Dickson, Nazrul Nasihin berkata usaha itu bertujuan menjana pendapatan sampingan demi kelangsungan dan menampung kos pengoperasian resort.
AnCasa Residences Port Dickson adalah resort di bawah rangkaian Ancasa Hotels & Resorts yang dimiliki penuh oleh UDA Holdings Berhad.
“Industri perhotelan kini berdepan tekanan kewangan untuk meneruskan perniagaan jadi kita cari alternatif dengan memperkenalkan jualan makanan secara pandu lalu, kita buka gerai di luar pekarangan lobi utama resort bermula Jumaat lepas.
“Pelbagai aneka makanan termasuk masakan tradisional Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api ditawarkan selain setiap hidangan pula dijual pada harga bermula RM5 hingga RM16. Gerai dibuka pada setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 6 petang," katanya kepada Bernama.
Idea untuk menjual makanan secara drive-thru yang sememangnya popular di rangkaian restoran makanan segera tercetus berikutan lokasi resort terletak itu yang berhampiran tepi jalan raya utama, sekali gus memudahkan pelanggan untuk membeli makanan.
Pelanggan boleh memesan secara dalam talian menerusi Facebook AnCasa Residences Port Dickson dan laman sesawang resort itu terlebih dahulu atau boleh saja terus pandu lalu ke pekarangan lobi utama resort untuk memesan makanan.
Jadi, pelanggan tidak perlu bersusah payah keluar dari kereta untuk beli makanan, mereka hanya perlu pesan dan tunggu di dalam kereta di parkir kereta disediakan.
Pihak resort juga memastikan bahawa kesemua pekerja di gerai mereka diwajibkan memakai pelitup muka dan sarung tangan -- selain pelanggan perlu mengambil suhu sebelum dibenarkan masuk ke pekarangan resort.
“Alhamdulillah, pada hari biasa kita mampu peroleh antara RM300 hingga RM450 sehari manakala pada hari minggu mampu mencecah sehingga RM1,500 sehari,” katanya.
Seorang pelanggan Aley Suhaimi, 39, berkata gerai makan secara pandu lalu ini memudahkan pelanggan untuk membuat pembelian dengan lebih pantas selain dapat mengurangkan interaksi secara dekat.
“Perkhidmatan ini sangat selesa kerana kami tidak perlu bersesak di dalam restoran untuk membeli makanan selain pekerja di sini memberikan air percuma kepada pelanggan yang menunggu makanan siap,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah