5 Lokasi Menarik Hangpa Wajib Singgah Kalau Mai Seberang Perai, Penang
JALAN-JALANMarch 04, 2021 - 05:30 PM
Sebut saja Pulau Pinang, rasanya kita sudah dapat bayangkan pelbagai variasi tempat percutian di sana.
Maklumlah, pulau itu pun sudah berdekad lamanya menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Aku kerap ke Pulau Pinang. Hampir semua lokasi tumpuan sudah dilawati. Tetapi, aku mahu mencari kelainan dalam perjalanan kali ini.
Ada sahabat rapat yang mencadangkan kepada aku untuk “explore” Seberang Perai. Secara jujurnya, aku hanya tahu Seberang Perai cuma lokasi di mana terdapat banyak kilang produk jenama terkenal yang beroperasi di situ.
Rupa-rupanya persepsi aku itu salah. Menurut sahabat aku, Seberang Perai juga sebenarnya mempunyai banyak lokasi pelancongan yang menarik, tetapi jarang diketahui atau disinggahi pelancong.
Jadi aku pun mengaturkan jadual perjalanan bagi meneroka sendiri pengalaman percutian tentang apa yang best di Seberang Perai. Jom kita tengok dekat mana lokasi menarik yang bakal aku terjah dan wajib hangpa singgah kalau mai Seberang Perai lepas habis PKP nanti!
Taman Negeri Bukit Panchor
Taman ini sangat mudah diakses sama ada dari susur keluar Lebuh Raya PLUS di Bandar Baharu, Kedah atau Jawi, di Pulau Pinang. Banyak papan tanda yang boleh membantu perjalanan anda ke sini.
Aku tiba di Taman Negeri Bukit Panchor ini pada waktu pagi. Ini kerana sahabat aku menasihati jika hendak ke sini lebih elok dari seawal pagi, jadi bolehlah berpeluang menghirup udara dan oksigen segar daripada pepohon yang menghijau di sekeliling taman yang dibangunkan di dalam kawasan Hutan Simpan Bukit Panchor.
Taman ini dibuka kepada orang awam seawal jam 7 pagi sehinggalah 6 petang.
Menariknya, tiada bayaran dikenakan untuk aktiviti riadah di sini. Ya, percuma!
Aku memang paling sukakan ketenangan dan keindahan alam. Sebab itu aku pun memilih untuk menjadikan taman ini sebagai destinasi persinggahan pertama aku ke Seberang Perai.
Menghabiskan masa selama beberapa jam berjalan-jalan di segenap penjuru taman itu membuatkan aku dapat melupakan seketika tekanan kerja dan hiruk-pikuk kehidupan di ada di taman itu, ditambah dengan ‘muzik alam’ daripada kicauan burung-burung sememangnya satu terapi semulajadi yang patut anda cuba jika datang ke Seberang Perai.
Siapa sangka dengan kedudukannya yang hanya berjarak 10 kilometer dari Pekan Nibong Tebal, rupa-rupanya ada satu lokasi menarik yang lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk pengunjung.
Untuk pengetahuan anda, kawasan ini adalah di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Jadi tempat ini memang bersih dan terjaga daripada sebarang aktiviti vandalisme dan selamat jika hendak membawa anak-anak atau ahli keluarga datang bersantai dan berkelah di sini.
Selain kemudahan untuk aktiviti perkelahan, taman ini juga dilengkapi dengan tapak perkhemahan dan dewan terbuka. Sejumlah 160 orang boleh ditempatkan dalam satu-satu masa. Jadi, lokasi ini sangat sesuai kepada anda yang merancang untuk mengadakan gathering atau team building.
Selain kemudahan perkhemahan -- rumah rehat, surau dan tandas juga disediakan untuk keselesaan pengunjung yang bercuti ke sini.
Banyak aktiviti yang boleh anda lakukan bersama keluarga dan rakan-rakan di taman ini. Terpulang kepada anda kalau nak mandi sungai, trekking atau meneroka gua berhampiran. Semua aktiviti outdoor di sini sememangnya membangkitkan adrenalin dan mengujakan!
Menariknya jika anda membawa anak-anak kecil ke sini, mereka pasti menjadi antara yang paling seronok! Ini kerana mereka berpeluang untuk mandi-manda di dalam sungai yang telah diubah suai serta dinaik taraf menjadi seakan binaan gelongsor air seperti yang ada di taman tema air! Airnya juga tidak terlalu dalam dan selamat untuk anak-anak berenang dan mandi-manda.
Apa yang lebih menarik, Taman Negeri Bukit Panchor ini juga kalau anda nak tahu ia sebenarnya terletak di titik sempadan antara 3 buah negeri iaitu Nibong Tebal, Pulau Pinang; Bandar Baharu, Kedah dan Kerian di Perak.
Dalam erti kata lain, jika anda menjejakkan kaki ke taman ini seakan anda telah melintasi hingga 3 buah negeri di utara Semenanjung, sekaligus! Menarik, kan!
Lokasi: Taman Negeri Bukit Panchor, Jalan Taman Bukit Negeri, 14300 Nibong Tebal, Pulau Pinang
Tel: 04-593 2977
Waktu Operasi: 7am-6pm
Website: Taman Negeri Bukit Panchor
Pantai Bersih
Orang kata rugi kalau dah pergi ke Pulau Pinang, tetapi tak singgah ke mana-mana pulau atau pantai terkenal yang ada di negeri yang diberi jolokan ‘Pulau Mutiara’ ini!
Sebenarnya pantai yang aku selalu pergi kalau berkunjung ke Pulau Pinang letaknya di Teluk Bahang. Tetapi kali ini disebabkan ingin membuat suatu kelainan, aku memilih untuk berjalan-jalan ke Pantai Bersih di Butterworth.
Jaraknya hanya sekitar 6 kilometer dari Penang Sentral. Jadi, kalau anda travel ke Pulau Pinang menaiki perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas atau Tren Elektrik ETS -- Pantai Bersih ini memang sangat mudah diakses menggunakan kenderaan peribadi atau perkhidmatan e-hailing seperti Grab.
Anda fikir kenapa pantai ini diberi nama Pantai Bersih?
Mestilah disebabkan tahap kebersihan pantai yang terbaik dan sangat jarang kita nak melihat sampah-sarap ada di sekitar pantai berkenaan.
Aku memang sangat terpesona dengan keindahan pantai yang jarang sekali kita nak nampak di pantai-pantai lain. Ditambah dengan air lautnya yang berwarna kebiru-biruan, memang sangat memukau pandangan! Memang sesuai sangat jika anda ingin jadikan pantai ini sebagai port santai meluangkan masa bersama tersayang.
Kalau dah datang tempat yang ada pemandangan cantik macam di Pantai Bersih ini, memang tak rugilah kalau anda ambil kamera atau telefon pintar untuk tangkap gambar atau video sebagai kenang-kenangan.
Aku sarankan kalau nak gambar OOTD yang lawa, anda boleh pilih kawasan berpasir dan kawasan berbatu yang berlatar belakangkan keindahan pantai serta dihiasi bangunan ikonik Pulau Pinang, memang cantik gambar anda nanti!
Kepada kaki pancing, tempat ini mesti anda suka kerana di sini terdapat dua buah pelantar yang boleh digunakan untuk memancing!
Selepas puas berjalan-jalan dan bergambar, kalau tiba-tiba perut anda berkeroncong minta diisi makanan, anda jangan risau sebab di sekitar Pantai Bersih ini memang banyak deretan kedai-kedai makan yang boleh anda menjamu selera dan ia dibuka dari petang hingga ke tengah malam.
Lokasi: Jeti Nelayan Bagan Ajam, Pantai Bersih, Jalan Pantai Bersih, Butterworth, Pulau Pinang
Tel: 012-574 9510
Waktu Operasi: 2 petang - 2 pagi
Pemandangan Sawah Padi Di Tasek Gelugor
Hutan sudah, pantai pun sudah...kali ini aku menyambung perjalanan untuk mencari sebuah lokasi menarik yang sahabat aku cadangkan iaitu sawah padi pula!
Haaa...siapa sangka dekat Seberang Perai yang orang ingat hanya ada kilang, rupa-rupanya bendang pun ada tau.
Aku yang memang dari zaman kanak-kanak memang paling suka dengan suasana kampung yang berlatar belakangkan sawah padi. Tetapi dulu, aku hanya membayangkan kalau nak tengok sawah padi, kena pergi ke Kedah atau beberapa bahagian di Selangor sahaja, tak sangka Pulau Pinang pun ada juga sawah padi ya!
Bila sudah menjejakkan kaki ke Seberang Perai ini, baru aku sedar yang sebahagian besar utara “Tanah Besar” Pulau Pinang ini sebenarnya diselimuti sawah padi.
Jika anda melalui Lebuh Raya PLUS, anda pasti akan melihat pemandangan sawah padi yang terbentang luas selepas Plaza Tol Sungai Dua.
Di mana lokasi tepat sawah padi ini untuk anda ber-OOTD? Anda jangan risau atau pening-pening kepala kerana di sini, anda sebenarnya boleh menikmati pemandangan bendang ini di sepanjang jalan utama di Tasek Gelugor!
Tetapi, bagi aku ada dua lokasi yang sangat tepat dan paling sesuai jika anda ingin manfaatkan sekiranya percutian anda berkonsepkan ‘travel by road’ di sini, iaitu di Lahar Yooi dan Kampung Padang Kerai Kecil.
Ini kerana selain dapat bergambar, terdapat juga kedai makan di kedua-dua lokasi tersebut yang menjadikan idea sawah padi sebagai tarikan bagi lokasi perniagaan mereka.
Kebetulan ketika aku melalui kawasan ini, kena pada musimnya. Aku bertuah sebab berpeluang melihat sendiri padi-padi yang menguning keemasan! Memang indah sungguh pemandangan ini!
Jika impian anda untuk bergambar dengan latar belakang sawah dengan pelbagai sentuhan artistik dihiasi props lain seperti deretan tiang elektrik dan rumah burung, anda boleh cuba di sepanjang Jalan Merbau Kudung.
Bayangkan anda memakai pakaian berwarna kontra dan berposing sakan di tengah-tengah sawah padi yang menguning, dijamin gambar OOTD anda memang bakal mendapat tanda suka yang paling banyak nanti! Hehe…
Lokasi: Jalan Merbau Kudung, Tasek Gelugor, Pulau Pinang
Koordinat: 5°28'29.1"N 100°27'05.3"E
Aziz Mee Udang
Bila dah puas berjalan ke sana ke sini, mesti perut pun dah mula lapar semula. Tetapi, nak makan apa ya kalau ada di Seberang Perai ini?
Aku membayangkan Pulau Pinang mestilah dekat mana-mana pun ada kedai menjual nasi kandar yang memang popular dan jadi menu wajib kalau ke negeri ini. Tapi rupanya sekali lagi aku silap, apabila ada beberapa penduduk tempatan di situ yang menyarankan untuk aku mencuba kelainan merasai sendiri kelazatan Mee Udang yang menjadi kegemaran mereka di Seberang Perai.
Maka, tempat yang aku tuju adalah Aziz Mee Udang
Lokasinya hanya 100 meter dari susur keluar Sungai Dua, Lebuh Raya PLUS, yang juga berhampiran dengan kawasan sawah padi!
Aziz Mee Udang ini memang terkenal dalam kalangan penduduk sekitar. Jadi tak salah rasanya kalau aku pun nak cuba makan juga.
Jika anda adalah sejenis yang tidak gemarkan udang atau mempunyai alahan -- jangan risau sebab ada juga pelbagai menu lain yang boleh anda pilih.
Antaranya Mee Sotong, Mee Daging, Gulai Temenung Panas. Sate pun ada tau! Semuanya aku rasa dan memang betul bak kata orang sini, terbaik dan sedap-sedap belaka!
Rupa-rupanya rahsia kelazatan makanan di Aziz Mee Udang ini adalah dari segi kesegaran bahan-bahannya terutama makanan lautnya, dan setiap masakan pula akan dimasak panas-panas mengikut pesanan pelanggan. Patutlah terangkat bila makan dekat sini. Anda mesti cuba kalau datang ke Seberang Perai tau!
Lokasi: Aziz Mee Udang Sungai Dua, 3640, Jalan Sungai Dua, 13800 Butterworth, Pulau Pinang
Tel: 019-4331730
Waktu Operasi: 12 tengah hari - 9 malam
Facebook: Aziz Mee Pak Ngah Mee Udang Sg 2
Warung Kelapa Sawit
Jika tadi anda makan di kedai yang berhampiran dengan kawasan sawah padi, kali ini kalau anda hendak merasa pengalaman makan berdekatan dengan kebun kelapa sawit pula -- anda boleh singgah ke Warung Kelapa Sawit.
Lokasinya terletak di kawasan Autocity Juru dan tidak jauh dari susur keluar Lebuh Raya PLUS. Tak susah pun nak mencari warung ini, sebab kedudukannya hanya 2 kilometer dari Autocity Juru, dan dibantu papan tanda Kampung Tok Kangar ini.
Istimewanya warung ini, anda berpeluang menikmati suasana makan berhampiran kebun kelapa sawit. Jarang-jarang nak dapat suasana makan macam ni, kan? Anda juga boleh pilih untuk menjamu selera di bawah pokok sawit atau kawasan berbumbung.
Daripada segi menu pula, yang popular di sini ialah ikan bawal goreng panas-panas. Menu ini mula menjadi kegemaran ramai selepas diperkenalkan pada tahun 2010.
Menu ala kampung dengan pelbagai variasi lauk-pauk turut tersedia untuk anda pilih. Konsep di Warung Kelapa Sawit ini -- pilih, bayar dan nikmatilah keenakan makanan di sini.
Eh, nak bisik satu rahsia -- harga makanan di sini sangatlah murah dan memang berpatutan!
Lokasi: Warung Kelapa Sawit, Kampung Tok Kangar, Juru, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 9 pagi - 3 petang
Berpeluang berjalan-jalan di Seberang Perai sebelum kita semua terkurung di rumah akibat pandemik COVID-19, membuatkan aku bersyukur dan teruja sempat meneroka persoalan yang selama ini bermain di fikiran tentang apa menariknya tempat pelancongan yang ada di Seberang Perai.
Namun siapa sangka, sebenarnya Seberang Perai yang orang hanya tahu pada nama sahaja rupa-rupanya dari sebelah Utara hinggalah ke Selatan tersimpan beberapa lokasi hidden gems atau orang panggil “permata tersembunyi” yang perlu anda cari dan rasai sendiri keseronokannya!
Tetapi anda janganlah pergi bercuti masa-masa sekarang ini di mana kita masih lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Selepas Kerajaan membenarkan untuk kita merentas daerah dan negeri, jom jadikan Seberang Perai sebagai lokasi percutian baharu anda bersama keluarga dan sahabat handai.
Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu. Melanconglah dengan selamat...
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah