Bosan Bercuti Langkawi Semua Tempat Dah Pergi? Lelaki Ni Kongsi 'Lokasi Rare' Yang Tak Ramai Orang Explore Lagi!
JALAN-JALANMay 20, 2022 - 03:39 PM
Sebut sahaja Pulau Langkawi sudah pasti ramai yang mengkuinya sebagai destinasi popular atau lubuk pelancongan.
Apatah lagi lokasi berkenaan menyediakan pelbagai segmen pelancongan yang menarik untuk diterokai antaranya pelancongan eko, sukan, sejarah selain beriadah di pantai.
Bagi pengembara tempatan, Mohamad Aziz Abu Bakar, Pulau Langkawi sebenarnya mempunyai nilai alam semula jadi yang tersendiri.
Katanya, jika bercerita mengenai sejarah batuan di Pulau Langkawi itu sendiri ia mempunyai nilai khazanah yang bersejarah unik dan sudah ramai pengkaji melakukan aktiviti kajian mengenainya.
"Bagi saya walaupun seorang penduduk tempatan, melancong di Pulau Langkawi seperti tiada penghujung kepuasannya kerana masih banyak lagi lokasi yang belum terokai.
"Jika melihat kepada jumlah pulau yang berada berhampiran dengan Pulau Langkawi itu sendiri, jumlahnya mencecah sekitar 104 pulau. Jadi, terdapat banyak lagi destinasi menarik yang boleh ditawarkan kepada pelancong," katanya.
Mohamad Aziz berkata, antara destinasi yang menarik untuk diterokai bagi meninjau keindahan alam semula jadi dari kaca mata burung pastinya menerokai lokasi pendakian di pulau berkenaan.
BUKIT KILIM & GUNUNG KUANG
Jelasnya, terdapat beberapa lokasi pendakian yang popular antaranya Gunung Kuang, Gunung Mat Chincang, Bukit Kilim, Bukit Kechubong dan Gunung Raya iaitu gunung paling tertinggi di Pulau Langkawi dengan ketinggian sekitar 881 meter.
"Jika bercerita mengenai destinasi pendakian saya lebih gemar untuk mendaki rangkaian Bukit Kilim yang dikatakan mempunyai lapan puncak kesemuanya.
"Bukit Kilim terletak di Kampung Kilim, Ayer Hangat. Bagi pendaki dari luar mereka boleh gunakan khidmat penunjuk arah tempatan," katanya.
Ceritanya lagi, Bukit Kilim mempunyai pemandangan Sungai Kilim iaitu sungai paya bakau terbesar di Pulau Langkawi dan boleh menikmati bukit berdekatan dengannya.
"Selain Bukit Kilim, saya juga gemar untuk mendaki Gunung Kuang berketinggian 420 meter dari aras laut yang mengambil masa sekitar dua jam untuk ke puncak.
"Destinasi pendakian itu, sememangnya popular dalam kalangan pendaki terutama untuk melihat penorama matahari terbenam," katanya.
BUKIT KECHUBONG
Jelas Mohamad Aziz lagi, bagi pendaki mereka juga boleh menerokai Bukit Kechubong yang berketinggian 170 meter terletak di Jalan Bukit Hantu.
"Bukit Kechubong mempunyai dua pemandangan berbeza iaitu sawah padi dan Bandar Kuah. Pendakian mengambil masa 30 minit sahaja dan pendakiannya begitu santai.
"Waktu terbaik untuk ke destinasi itu adalah pada sebelah pagi dan petang kerana pengunjung dapat melihat panorama matahari yang memukau sama ada ketika terbit atau terbenam," katanya.
TELUK BURAU
Selain itu, Mohamad Aziz berkata, jika ke Pulau Langkawi tanpa menikmati keindahan pantainya adalah sesuatu yang tidak lengkap kerana destinasi berkenaan mempunyai dua bahagian laut iaitu Selat Melaka dan Laut Andaman.
"Bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan kedua-dua laut berkenaan boleh mengunjungi Tanjung Rhu, Pantai Pasir Hitam atau Pantai Teluk Yu.
"Secara peribadi saya lebih gemar untuk mengunjungi Teluk Burau yang terletak di Pantai Kok kerana air lautnya yang jernih dan boleh bermandi manda.
"Pada masa sama, Teluk Burau juga menjadi destinasi popular dalam kalangan pemancing kerana ia adalah salah satu lubuk ikan yang terkenal bagi kaki pancing," katanya.
BLUE LAGOON
Tambah Mohamad Aziz, di Pulau Langkawi juga mempunyai lagun tersembunyi yang menarik antaranya Blue Lagoon yang terletak berhampiran laluan pendakian ke Gunung Mat Chincang.
"Lokasi itu hanya terletak 30 minit perjalanan dari pintu masuk utama pendakian ke Gunung Mat Chincang dan laluannya tidak begitu sukar.
"Blue Lagoon ini menarik kerana ia antara permata yang tersembunyi dan tidak begitu ramai yang ingin ke sana kerana perlu mendaki anak tangga ke Telaga Tujuh," katanya.
Kredit & Sumber: Harian Metro
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah