Nak Rasa Pengalaman 'Staycation' Di Rumah Hantu? Cari Rumah Agnes Keith Ini Kat Sabah!

JALAN-JALAN
June 28, 2021 - 08:21 PM


Jika anda seorang peminat 'dark-tourism' dan tercari-cari port seram di Negeri Bawah Bayu untuk menaikkan adrenalin anda, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi RUMAH AGNES KEITH.

Rumah yang dikatakan "berhantu" itu terletak di Sandakan dan tarikannya yang boleh membuatkan bulu roma anda meremang kini dikatakan bakal dipromosikan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai satu segmen pelancongan untuk pengunjung yang kuat semangat.

Jabatan Muzium Sabah akan menawarkan peluang kepada pengunjung yang berminat dengan unsur paranormal ini untuk bermalam di kediaman tinggalan zaman penjajahan British tersebut.

Pengunjung boleh memilih untuk berkhemah di luar bangunan atau membawa beg tidur dan bermalam di dalam rumah dengan bayaran caj tertentu.

Idea untuk menawarkan pengalaman ala-ala 'staycation' itu tercetus selepas pelancong asing memberitahu pihak Jabatan Muzium bahawa mereka diselubungi perasaan seram sebaik saja memasuki rumah itu, namun tiada seorang pun yang mengaku ternampak (hantu).

Kalau anda nak tahu, Rumah Agnes Keith dinamakan bersempena seorang penulis Amerika Syarikat yang dikenali menerusi autobiografi beliau semasa tinggal di Sandakan bersama suaminya, Harry Keith, seorang pemulihara hutan berbangsa Inggeris, pada 1930-an.

Dalam karyanya itu, beliau menceritakan tentang penampakan lembaga serta insiden-insiden misteri di rumah berkenaan. 

Bagaimanapun, kisah mengenai hantu di rumah itu hanya tersebar dalam kalangan penduduk setempat. Ada yang kata mereka nampak seseorang mengintai dari tingkap, manakala yang lain pula kata ternampak wanita di atas bumbung rumah.

Rancangan untuk menjadikan Rumah Agnes Keith sebagai produk pelancongan baharu akan dibentang kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dalam masa terdekat ini.

Dengan kelulusan rancangan itu diharapkan produk tersebut dapat ditawarkan sebaik saja Sabah membuka semula sempadannya kepada pelawat antarabangsa.

Sumber: BERNAMA
 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah