'Belagoangin' - Hidang Menu Klasik Melayu Di Tepi Sawah Padi Beratap Rumbia
MAKANDecember 17, 2020 - 02:55 PM
Kalau korang bercuti ke Terengganu dan ingin mencari tempat makan yang menghidangkan lauk-pauk kampung serta menjamu selera dalam suasana desa yang permai -- korang jangan lupa untuk singgah ke 'BELAGOANGIN'.
Terletak di Kg Pancur Kuin, Batu Rakit, Kuala Nerus -- Kedai Makang Belagoangin ini istimewanya menawarkan pengalaman menikmati hidangan klasik Melayu di tepi sawah padi dengan beratapkan rumbia.
Lebih menarik apabila makanan dan minuman yang korang pesan akan dibawa menggunakan dulang buluh yang jarang dilihat pada masa kini serta menjadi tarikan utama pengunjung terutama kepada pelancong luar.
Belagoangin ini dibuka setiap hari kecuali pada Khamis & Jumaat dari pukul 11 pagi hingga 3.30 petang. Jadi pastikan korang tak lewat sangat untuk ke sini kalau tak mahu lauk pauk licin dan habis.
Antara menu lauk kampung yang dihidangkan dan wajib korang rasai sendiri kelazatannya adalah seperti gulai Ikan yu, gulai telor itik, kerabu perut, pari bakar berempah, pais patin, ayam percik, cencaru bakar, baung masak tempoyak dan pelbagai jenis ulam-ulaman serta budu.
Selain lebih 30 jenis masakan tradisional itu, di Belangoangin juga turut menawarkan menu yang jarang ditemui termasuk budu goreng, gulai siput sawah, gulai kepala ikan tasik serta masak asam pedas ikan puyu.
Tempat makan ini menyediakan lebih 30 buah meja serta boleh memuatkan sekitar 150 orang dalam satu-satu masa.
Menurut laporan Bernama, Belagoangin ini diusahakan oleh Kama Zakaria, 53 tahun, seorang kontraktor yang telah hilang pekerjaan pada 2018 dan mengambil inisiatif berniaga kedai makan di sekitar kawasan rumahnya dengan menampilkan konsep kreatif iaitu 'kembali pada masa lalu'.
Pada peringkat permulaan, Kama hanya mengusahakan kedai makan tersebut bersama isteri Wan Jasnah Wan Sulong, 46, dengan dibantu anak sulung mereka Mohd Zulhakim, 29 yang merupakan orang kurang upaya (OKU) akibat sindrom down, namun sejak pertengahan tahun lalu telah berjaya mengupah seramai 13 pekerja.
Bagi memastikan perniagaannya dapat diuruskan dengan baik, bapa kepada empat orang anak ini, bukan sahaja membantu isterinya memasak, tetapi juga membeli sendiri bahan-bahan untuk digunakan termasuk mendapatkan ikan sungai yang segar.
Ini jawapan beliau ketika ditanya mengenai pemilihan nama 'Belagoangin' untuk kedai makannya:-
“Nama kedai yang agak unik ini juga menjadi tarikan...kalau ikutkan dialek daerah Besut, ia bermaksud berminat dan suka. Saya juga mula buat pondok berasaskan atap rumbia akhir tahun lalu apabila berfikir bagaimana cara nak popularkan kedai makan ini.
“Sejak wabak COVID-19...makin ramai yang datang ke sini sebab tidak mampu ke luar negara. Lagipun suasana makan di tepi sawah sukar ditemui. Apabila ada pelanggan tular di media sosial, makin ramai yang hadir sampai terpaksa beratur menunggu giliran dan meja kosong,” katanya.
Ketika ditanya tentang perancangan masa depan, Kama berkata beliau berhasrat menambah baik kemudahan sedia ada dan mengindahkan keadaan sekeliling dengan pelbagai barangan tradisional supaya anak muda kini dapat mengenali budaya nenek moyang mereka.
Beliau, yang kebiasaannya memakai tanjak dan berbaju batik ketika bertugas, juga berhasrat membuka sebuah lagi kedai makan berkonsepkan tradisional di tepi sawah bagi merancakkan pelancongan di Terengganu.
BELAGOANGIN
ALAMAT: Kg Pancur Kuin, Padang Kemunting, Batu Rakit, 21020, Kuala Nerus Terengganu.
WAKTU OPERASI: 11:30 AM - 3:30 PM (Tutup Khamis & Jumaat)
NO TEL: 019-917 6790
FACEBOOK: Kedai Makang Belagoangin
Sumber: Bernama & Kredit Foto: Kedai Makang Belagoangin
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah