Jom Kenali 'Durian Paduka' Yang Pernah Dinobat Durian Terbaik Negara Tahun 80-An
MAKANJune 24, 2020 - 04:05 PM
Jika di Pahang terkenal dengan penanaman durian Musang King, Pulau Pinang popular dengan Udang Merah dan Perak pula sentiasa dikaitkan dengan durian terbaik Batu Kurau -- namun siapa sangka di negara kita sekitar tahun 80-an jenama durian terbaik sebenarnya adalah DURIAN PADUKA atau D148.
Mesti ramai yang macam baru pertama kali je dengar jenama durian Paduka ini, kan?
Namun masyarakat di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak -- di mana tempat asal penanaman durian Paduka pernah merasai zaman kegemilangan durian tersebut hingga pernah diiktiraf sebagai durian terbaik di negeri itu pada tahun 1985.
ASAL-USUL DURIAN PADUKA
Durian Paduka mendapat namanya sempena Kampung Tok Paduka Raja dan diberikan oleh Tan Sri Ramli Ngah Talib, ketika menyampaikan hadiah kemenangan pada pertandingan durian peringkat negeri di Kampung Gajah pada 1985.
Pada asalnya durian Paduka ditanam Allahyarham Abdul Malek Kulub Aji di dusun miliknya seluas 8 hektar.
Menurut seorang daripada 13 waris Allahyarham, Nordin -- durian itu dikumpul oleh arwah ayahnya sekitar 70-an hingga 80-an, daripada pemilik dusun tradisional di Kampung Tok Paduka Raja.
CIRI-CIRI ISTIMEWA DURIAN PADUKA
Sehingga hari ini durian tersebut pokoknya masih ditanam seluruh negara oleh pembeli bakanya, malah ketika ini dusun di Institut Agro Usahawan (iGROW) di Kampung Gajah juga mempunyai kira-kira 120 batang pokok pelbagai variasi durian kampung dan daripada jumlah itu dianggarkan hanya terdapat 10 batang pokok durian paduka.
Istimewanya pokok durian Paduka mampu mengeluarkan antara 200 hingga 300 biji buah setiap pokok.
Ciri-ciri durian Paduka yang mudah untuk dikenalpasti adalah saiz buahnya yang tidak besar tetapi setiap pangsa sentiasa penuh dengan isi berwarna kuning keemasan; rasanya lemak, manis; ada 'gas' serta biji kecil dan sedap dimakan begitu sahaja, tanpa perlu bersama pulut atau dibuat pengat.
DURIAN PADUKA YANG EKSKLUSIF
Sejak 10 tahun lalu, pihak iGROW tidak menjual durian Paduka yang ada di dusun iGROW, sebaliknya raja buah itu dijadikan buah pengikat atau pengerat kasih sayang, dengan hanya dihidangkan kepada keluarga, rakan, dan kenalan, atau pelanggan iGROW, yang turut menawarkan pakej agro pelancongan.
Malah, beberapa pemimpin dan pengunjung luar negara antaranya dari Thailand dan Indonesia, turut datang ke iGROW ini khas bagi menikmati durian Paduka.
PS: Macam sedap je dengar pasal durian Paduka ni, teringin pula min nak cuba!
SUMBER: Bernama
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah