8 Lokasi Menarik Di Pasir Gudang Untuk "Short Getaways"!
TARIKANMarch 15, 2019 - 11:02 AM
Beberapa hari lepas, negara dikejutkan dengan tragedi pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor hingga mencetuskan suasana panik apabila ramai pelajar dan mangsa yang mengalami serangan terhidu gas beracun hingga dikejarkan ke hospital.
Ramai netizen yang berang dengan kejadian itu yang disifatkan mereka sebagai tidak bertanggungjawab, mencemarkan alam sekitar dengan sengaja sedangkan sebelum ini Pasir Gudang antara lokasi tumpuan rakyat Malaysia untuk berjalan-jalan bersama keluarga jika ke selatan tanah air.
Manakan tidak, bandar yang disangka hanyalah sebuah kawasan perindustrian itu sebenarnya mempunyai banyak produk pelancongan dan keindahan alam semula jadi yang indah.
Malah, bandar yang terletak cuma 25 km atau 28 minit dari Johor Bahru itu juga sangat terkenal dengan penganjuran 'Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang' hampir setiap tahun!
Jom kita tengok apa lokasi menarik yang ada di Pasir Gudang sebelum ini dan mungkin turut terjejas sekarang akibat pencemaran tersebut.
1. TAMAN PERTANIAN KONG KONG
Taman pertanian ini merupakan produk agro pelancongan terkini negeri Johor. Taman ini mempunyai pelbagai jenis tanaman buah-buahan bermutu tinggi.
Antara yang boleh dilawati pengunjung adalah Dusun Buah-Buahan, Dusun Kelapa Takunan, Taman Herba, Taman Kelulut dan Nursery, Rumah Orkid dan Galeri Tani.
Tapi, paling seronok apabila pengunjung berpeluang memetik dan makan buah-buahan yang ada di sini.
Untuk kaki pancing, anda juga boleh memancing di sini kerana banyak ikan yang diletakkan di dalam kolam seperti tilapia, toman,tomam, keli dan lain-lain.
Dari segi kemudahan, Taman Pertanian Kong Kong lengkap dengan taman rekreasi, basikal untuk di sewa, bilik seminar, surau, dan tandas.
2. TS WONDERLAND INDOOR WATER THEME PARK
Taman tema air ini baharu sahaja beroperasi dan TS Wonderworld menawarkan harga tiket yang cukup murah iaitu RM25 sahaja.
Satu lagi kelebihannya adalah ia merupakan indoor water park. Jadi anda tidak perlu risau akan panas terik matahari dan pasti membuatkan anak-anak lebih gembira dapat mandi-manda bersama keluarga.
Paling menyeronokkan di sini terdapat satu bahagian dinamakan 'Space Adventure’ di mana ia merupakan sebuah taman permainan yang berkonsepkan angkasa lepas.
Harga tiket: RM25 | Bawah 75cm Percuma | Warga emas Percuma
Waktu operasi: 10 pg – 10 mlm
Alamat: 6015-C, Jalan Ciku Utama 2, Taman Kota Masai, 81700 Pasir Gudang, Johor
3. MUZIUM LAYANG-LAYANG PASIR GUDANG
Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, Muzium Layang-Layang adalah lokasi paling sesuai sekiranya anda ingin membawa anak-anak mengenali permainan tradisional Melayu ini.
Pelbagai jenis dan reka bentuk layang-layang dipamerkan di sini lengkap dengan sejarahnya. Ada juga yang pelik dan belum pernah anda lihat. Selain itu, layang-layang dari serata dunia turut dipamerkan untuk tatapan pengunjung.
Waktu operasi: 8 pg – 5 ptg
Harga tiket: Dewasa RM2 | Kanak kanak RM1
Alamat: Kompleks Pusat Bandar,81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia.
4. PASIR LAYAR
Pasir Layar merupakan pantai di Pasir Gudang yang agak popular. Kedudukannya yang strategik dan beralun membuatkan pantai itu beberapa kali menjadi lokasi bagi Kejohanan Perahu Layar peringkat kebangsaan.
Namun, lokasi ini tidak sesuai untuk aktiviti mandi-manda kerana keadaannya yang sangat berangin dan dipenuhi dengan batu-batu besar. Selalunya pengunjung ke sini untuk bersantai bersama keluarga menikmati angin laut sambil menyaksikan pemandangan indah.
Memandangkan pantai ini dekat dengan jambatan, ia adalah 'spot' bergambar yang cantik kalau anda nak buat kenang-kenangan. Jika terasa lapar, di sepanjang jalan di sini juga terdapat banyak restoran makanan laut segar dan sedap yang boleh anda singgah.
5. SRI PANTAI SEAFOOD RESTAURANT
Oleh kerana Pasir Gudang dekat dengan laut, makan banyaklah restoran makanan laut sedap. Sri Pantai Seafood Restaurant menawarkan suasana tenang dan nyaman. Di sini, anda boleh lihat para nelayan lalu lalang membawa pulang hasil laut.
Apa yang istimewa di Sri Pantai Seafood? Tomyam campur mereka merupakan salah satu menu pilihan ramai. Ditambah pula dengan sotong tepung, udang mentega, siakap steam limau, ketam dan lain lain. Harga makanan di sini juga sangat memuaskan.
Waktu operasi: 4 ptg – 12 tgh mlm
Alamat: Jalan Pengkalan 13, Kampung Pasir Puteh, 81700 Pasir Gudang, Johor
6. SARANG BUAYA TANJUNG LANGSAT
Taman buaya ini sering menjadi kunjungan pelancong terutama setiap hujung minggu. Terdapat 12 buah kolam khas untuk menempatkan pelbagai saiz buaya tembaga. Buaya di sini ada juga yang telah berusia 15 tahun.
Di sini anda berpeluang menyaksikan bagaimana buaya diberi makan serta pertunjukan khas. Pengunjung juga berpeluang menyentuh anak buaya yang bersaiz kecil dan tidak merbahaya.
Waktu operasi: 9 pg – 5 ptg
Harga tiket: Dewasa RM8 | Remaja RM6 | Kanak-kanak RM4
Alamat: Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor
7. BAZAR KARAT PASIR GUDANG
Anda penggemar barangan antik? Kunjungi Bazar Karat di Terminal Bas Pasir Gudang untuk mendapatkan pelbagai barangan lama dan unik. Bazar ini menjual pelbagai jenis barang lama dari syiling, pakaian, perhiasan, perkakasan elektrik, dan perabot.
Ada yang masih boleh digunakam dan ada juga untuk tujuan perhiasan sahaja.
Waktu operasi: 5 ptg – 12 tgh mlm| Khamis – Ahad
Alamat: Terminal Bas Pasir Gudang, 81700 Pasir Gudang, Johor
8. MAKAN KLIMAKS CHOP & GRILL
Tempat makan best di Pasir Gudang ini menghidangkan sajian ala-barat seperti chicken chop, steak, fish and chips, salmon, lamb chop, spaghetti, dan platter untuk dikongsi beramai-ramai.
Keenakkan hidangan di sini turut menjadi sebutan penduduk tempatan. Semakin larut malam restoran ini menjadi semakin meriah kerana ramai pelanggan yang mengambil peluang lepak sambil menjamu selera.
Waktu operasi: 5 ptg – 12.30 tgh mlm
Alamat: 26, Jalan Helang 2, Taman Scientex, 81700 Pasir Gudang, Johor
Itu antara tempat menarik di Pasir Gudang yang boleh anda kunjungi. Bandar ini sesuai sekali bagi sesiapa ingin melakukan ‘short getaway’ pada hujung minggu.
Bagaimanapun, dengan situasi semasa ketika ini diharap anda mengambil langkah keselamatan terbaik bagi melindungi diri dan keluarga ketika berjalan-jalan di sana. Selamat bercuti!
Sumber: JomJohor.My
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah