'Cat Beach' Penang Destinasi Wajib Bagi Si Pencinta Kucing!

HOTEL
March 26, 2019 - 12:01 PM


Bagi siapa yang memang peminat tegar kucing mesti tahu tentang kewujudan “Cat Heaven Island” di Ainoshima sebuah kepulauan di Shingū, Fukuoka, Jepun, kan?

Tapi, nak ke Jepun semata-mata mahu membelai si bulus di tepi pantai macam banyak pula kos yang perlu dibelanjakan.

Jangan risau, sebab dekat Malaysia pun sebenarnya ada sebuah tempat yang boleh dilawati untuk peminat kucing bermain-main dengan haiwan comel itu di tepi pantai.

Tak jauh pun, lokasi tepatnya hanya di Teluk Bahang, Pulau Pinang di mana di situ terdapat sebuah tempat perlindungan kucing yang dinamakan “Cat Beach” atau Pantai Kucing!

Bagi mereka yang ingin singgah ke Cat Beach, anda boleh mengambil bas dari Georgetown yang mengambil masa perjalanan kira-kira 1 jam sahaja.

Pantai Kucing itu dibuka setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 4 petang.

Setibanya di pantai itu, anda pasti disambut oleh ratusan ekor kucing daripada pelbagai baka baik dan juga kucing jalanan yang membuatkan anda tersenyum lebar melihat teletah si bulus tersebut.

Di sana, selain dapat bermain bersama kucing-kucing yang jinak dan manja, anda juga boleh bersantai sambil menikmati pemandangan pantai yang indah dengan suasana mendamaikan.

Memetik laporan The Star dan Harian Metro, Cat Beach yang merupakan santuari kucing di tepi pantai ini telah diasaskan oleh Teviot Fairservis, seorang wanita Amerika Syarikat dengan kerjasama sahabatnya, Nana Wan Chik yang lebih mesra dengan panggilan ‘Papa Kucing’.

Pantai Kucing ini telah ditubuhkan pada tahun 2011 yang mana misi utamanya adalah untuk menyelamatkan dan menyediakan tempat perlindungan buat kucing-kucing terbiar.

Kini, terdapat lebih daripada 250 ekor kucing telah mendiami kawasan ini dan menjadikannya habitat tetap mereka.

Kucing-kucing yang dipelihara di kawasan perkampungan nelayan berhampiran pantai ini begitu mesra dan manja, sekali gus menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara, malah ada yang meminta untuk memelihara haiwan itu.

Seperti yang kita tahu, kos untuk memelihara seekor kucing bukanlah murah kerana memerlukan perbelanjaan tinggi seperti membiayai makanan, perubatan, rawatan vaksin serta tempat perlindungan mereka.

Justeru, Cat Beach juga sebenarnya sangat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang berminat untuk memberi sumbangan kepada kucing-kucing tersebut.

Ini memandangkan sejak tahun 2015 perbelanjaan keseluruhan bagi santuari berkenaan dikatakan telah mencecah hingga RM110,000 ekoran peningkatan kucing-kucing baru yang diletakkan di kawasan tersebut.

Malah, ia juga menyediakan khidmat bagi sesiapa yang ingin mengambil dan memelihara kucing tersebut.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari Facebook @CatBeachPenang atau laman web mereka di www.catbeachpenang.com atau hubungi talian 017-5753 419.

Sumber Foto: Cat Lovers International, Penang and Kedah

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah