Taman Negara, Pahang Jadi Pilihan Pelancong Jerman Jalani PKP COVID-19

VIRAL
April 23, 2020 - 03:07 AM


Jika sebelum ini viral di media sosial mengenai 4 beranak dari England yang memilih Bali, Indonesia sebagai lokasi pengasingan diri mereka daripada penularan pandemik COVID-19 -- siapa sangka destinasi pelancongan terkenal di Malaysia turut menjadi pilihan sama oleh seorang pelancong dari Jerman.

Thomas Harry, ahli perniagaan berusia 54 tahun telah memilih untuk menjadi satu-satunya pelancong asing yang berada di Taman Negara, Pahang sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Dia yang tiba di negara ini pada 16 Mac lalu iaitu dua hari sebelum pelaksanaan PKP mengakui selesa menghabiskan masa menikmati keindahan flora dan fauna walaupun perancangan asalnya pergi ke Kuala Tahan selama tiga minggu.

Menurut Harry, ini merupakan kunjungan kali kedua dirinya ke Taman Negara itu selepas kali pertama menjejakkan kaki pada 10 tahun lalu.

"Terima kasih kepada semua pihak dan kerajaan negeri yang turut membantu selama saya di sini," katanya yang tinggal di Greenland Guesthouse.

Pemilik Greenland Guesthouse, Afzal Abdul Aziz memberitahu, pelancong itu yang juga seorang vegetarian tidak cerewet dan mudah memberikan kerjasama.

"Dia juga mudah mesra dan faham dengan kesulitan yang dihadapi sepanjang tempoh PKP. Harry hanya menghabiskan masa dengan senaman yoga selain kerap menghubungi ahli keluarganya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abdul Rahmam berkata, hanya Harry yang membuat keputusan kekal di sini selepas pelancong negara lain dibawa keluar dan pulang ke negara masing-masing sebelum Taman Negara ditutup.

Jelasnya, pelancong itu memiliki simpanan wang mata negaranya dan Yen namun tidak boleh keluar ke bandar untuk membuat tukaran wang untuk perbelanjaannya.

"Atas dasar kemanusiaan, kita menjaga kebajikannya dan maklumat mengenainya sudah dalam pengetahuan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), pejabat daerah dan pihak polis," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Baca Artikel Berkaitan : Orang Lain 'Stay At Home', Tapi 4 Beranak Ini Pilih Terbang Ke Bali Untuk Asingkan Diri

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah