Nak Percutian Mendamaikan Di Tengah Hutan Terpencil & Sejam Je Dari KL? The Waterway Villa Ada Semua Tu!
HOTELAugust 13, 2020 - 04:48 PM
Selepas arahan duduk di rumah akibat penularan pandemik COVID-19, ramai antara kita yang mengimpikan sebuah percutian yang jauh dari kesibukan kota dan dikelilingi dengan kehijauan alam semulajadi.
Bagi korang yang mahukan sebuah destinasi persinggahan yang tidak jauh dari Kuala Lumpur, mungkin korang boleh 'melarikan diri' sebentar ke Bentong, Pahang.
Ini kerana di hutan hujan Bentong terdapat sebuah resort yang eksklusif dan terpencil serta menawarkan percutian yang sangat mendamaikan iaitu di THE WATERWAY VILLA!
Sebaik menjejakkan kaki di resort ini korang akan merasakan suasana keheningan yang nyaman, tenang dan menyegarkan -- apatah lagi apabila merentasi jambatan resort yang dilengkapi pintu gerbang dihiasi pokok bunga menjalar di atasnya, serta air sungai jernih di bawahnya.
Tambah mengujakan apabila korang melihat dereta bilik penginapan unik yang tersergam indah di atas bukit persis rumah tradisional berkonsepkan Bali yang dibina menggunakan sulaman kayu dan buluh.
Hanya kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur, korang dah boleh menikmati keindahan alam semula jadi di sini dan amat sesuai untuk sebuah percutian romantis bersama yang tersayang.
Di sini, semuanya lengkap. Landskap di setiap pelosok resort ini tampak kemas, dipenuhi pepohon menghijau, pelbagai spesies bunga dan ada sebatang sungai dilengkapi batu-batan tersusun rapi.
Bunyi deruan aliran air dari sungai itu menjadikan tempat ini ada aura tersendiri dan memberi pengalaman percutian berbeza.
Keheningan hutan dengan kicauan burung, unggas dan panorama indah berbukit-bukau serta udara segar seolah-olah seperti berada di desa nan permai.
Ruang penginapan pelbagai reka bentuk juga ditawarkan di sini yang bakal membuatkan korang berada seperti di dalam 'syurga dunia', antaranya :
BALI VILLA
BAMBOO VILLA
GLASS VILLA
HILL VILLA
Harga penginapan di sini adalah berbeza mengikut jenis villa dan untuk Bamboo Villa ia dalam lingkungan RM265 semalam beserta sarapan percuma.
The Waterway Villa ini juga sesuai untuk percutian keluarga, 'reunion' bersama rakan, majlis hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan berbulan madu.
Setiap kali tiba musim durian, The Waterway Villa ini pasti penuh dengan tetamu kerana di resort ini juga terdapat dusun buah-buahan termasuk durian, rambutan, pisang, ciku, betik dan kelapa.
Lazimnya bermula awal Jun hingga akhir tahun sentiasa ada pelbagai jenis buah-buah musimnya silih berganti.
Malah tetamu menginap di resort ini turut berpeluang menikmati buah-buahan yang ada di sini, selain mereka bebas meneroka kawasan ini.
The Waterway Villa juga dilengkapi dengan kolam renang seluas 189 meter persegi dan sebuah gelongsor air sepanjang 14 meter.
Bagi yang sukakan aktiviti lasak, resort ini menyediakan kegiatan meredah hutan di kawasan berdekatan dan korang juga boleh mandi-manda di sungai berhampiran.
Sumber: Berita Harian & Kredit Gambar: The Waterway Villa
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah