Patutlah Taiping Jadi 'Bandar Paling Bahagia' Kat Malaysia, Rupanya Memang Syok Jenjalan Sini!
JALAN-JALANAugust 18, 2020 - 06:32 PM
Mungkin ramai yang telah mengetahui atau juga masih ada yang belum tahu bahawa Taiping, Perak merupakan 'Bandar Paling Bahagia Tahun 2019' bersama 9 lagi bandar lain berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa.
Bukan itu sahaja, bahkan Taiping juga sebelumnya dinobatkan sebagai 'Bandar Ketiga Terbaik Dunia' bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2018 yang berlangsung di Berlin, Jerman.
Hebatkan Taiping! Mesti bangga siapa yang jadi orang Tepeng. Hehehe...
Baru-baru ini, min bersama keluarga telah berkesempatan untuk Cuti-Cuti Malaysia ke bandar Taiping selama 3 hari 2 malam.
Ternyata meskipun singkat namun percutian ke Bandar Warisan ini telah menghasilkan begitu banyak memori manis dan kenangan bahagia buat kami sekeluarga -- sesuai dengan jolokan Taiping sebagai bandar paling gembira di Malaysia!
Berikut min kongsikan 10 tempat menarik di Taiping yang sempat kami kunjungi.
1) TAMAN TASIK TAIPING
Kalau dah namanya pun pergi bercuti ke Taiping memang tak sah kunjungan korang kalau tak jejak kaki ke tempat ikonik ini.
Disebabkan Taman Tasik Taiping ini jugalah bandar tersebut berjaya meraih tempat ketiga sebagai Destinasi Lestari Terbaik di dunia selepas Ljubijana di Slovenia dan Vancouver di Kanada.
Min sendiri sebenarnya jatuh cinta melihat panorama dan lanskap dahan serta akar-akar pokok di sini yang telah berusia lebih 130 juta tahun.
Susah kot nak jumpa deretan pokok-pokok besar yang dahannya melingkar seolah-olah menunduk ke tanah dan menjalar menaungi laluan pejalan kaki di tengah-tengah tempat riadah orang ramai itu.
Tak hairanlah, lanskap unik dan mempesonakan itu menjadi kegilaan golongan yang suka bergambar untuk dijadikan latarbelakang gambar Instagram dorang!
Disebabkan Taiping tempat paling kerap menerima taburan hujan, hampir 320 hari setahun -- tak peliklah kalau pokok-pokok di situ terus hidup subur dan menghiasi kawasan sekelilingnya sehinggakan ada cadangan pada tahun lepas untuk mewartakan Taman Tasik Taiping sebagai Taman Tasik Diraja kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Taman Tasik Taiping ini dibuka 24 jam kepada para pengunjung dan antara aktiviti yang boleh dicuba di sini adalah berbasikal serta menaiki paddle boat mengelilingi tasik.
Min sekeluarga pun mencuba Swan Paddle Boat untuk 4 orang yang berharga RM20 per ride. Memang syok layan angin sepoi-sepoi bahasa naik bot pusing-pusing tasik di petang hari.
2) ANTONG COFFEE MILL
Ini satu lagi tempat menarik yang wajib korang kunjungi jika bercuti ke Taiping iaitu Antong Coffee Mill.
Lagi-lagi kalau korang sejenis penggemar kopi dan sukakan keharuman aroma biji kopi segar yang dimasak dan diproses secara tradisional.
Kalau korang nak tahu Antong Coffee Mill ini merupakan kilang kopi tertua di negara kita kerana ia mula bertapak sejak tahun 1933 lagi!
Ia terletak tidak jauh dari Stesen KTMB Taiping, malah jika menggunakan khidmat aplikasi Waze confirm korang takkan tersesat.
Sebaik kaki melangkah menghampiri ke Antong Coffee Mill korang akan nampak di sebelah kiri replika cawan gergasi yang menarik untuk dijadikan tempat bergambar!
Malah, mata korang pun mesti terpaku melihat barang-barang antik seperti beca, dapur memasak air lama dan basikal roda tiga yang menghiasi laman kilang kopi tersebut.
Dekat sini juga sebenarnya korang berpeluang melihat sendiri para pekerja memproses kopi dengan suasana persekitaran, bangunan kilang kayu serta perkakasan lama yang masih digunakan.
Kerja-kerja memasak biji kopi juga masih menggunakan kayu api dan bukannya dapur gas. Ini juga antara rahsia aroma kopi Antong berbeza berbanding kopi-kopi biasa.
Tetapi malangnya, min sekeluarga tidak berpeluang menyaksikan proses tersebut secara live kerana ketika kami datang ia sebenarnya merupakan masa rehat untuk para pekerja.
Tips untuk elak daripada terlepas peluang keemasan itu ialah korang dicadangkan untuk datang ke sini sebelum pukul 12.30 tengah hari atau selepas jam 2 petang sehinggalah kilang ditutup pada jam 5.30 petang.
Bagaimanapun, kekecewaan kami sekeluarga terubat dengan lawatan ke bilik pameran mereka di mana kami berpeluang mencuba kesemua jenis kopi yang dihasilkan oleh Antong Coffee Mill.
Sesuai dengan tarafnya sebagai kilang kopi tradisional tertua Malaysia -- sememangnya keaslian rasa dan aroma kopi-kopi di sini sangat istimewa!
Antara jenis-jenis kopi yang ada seperti kopi O (hitam), white coffee, mocha, mint dan juga kopi perisa durian.
Selain menikmati kopi panas, korang juga boleh cuba cicah kopi tersebut dengan biskut keras atau dipanggil ‘biskut lutut’ yang disediakan secara percuma di Antong Coffee Mill.
Di sini juga korang boleh membeli pelbagai produk kopi dan biskut keluaran Antong Coffee Mill yang korang takkan jumpa di tempat lain. Jadi tak rugi untuk dihadiahkan sebagai ole-ole Taiping kepada kawan-kawan dan ahli keluarga lain.
3) ZOO TAIPING & NIGHT SAFARI
Siapa yang tak tahu bahawa Taiping juga sebenarnya memiliki Zoo tertua di Malaysia yang dibuka seawal tahun 1961.
Zoo seluas 36 ekar itu menghimpunkan 1,300 haiwan daripada 180 spesies.
Namun disebabkan Zoo Taiping ini juga popular kerana menjadi zoo pertama di negara kita yang memiliki 'Night Safari', jadi min sekeluarga pun membuat keputusan untuk melawat zoo tersebut pada waktu malam bagi merasai sendiri pengalaman tersebut.
Disebabkan kita sekarang berada di dalam norma baharu fasa PKPP, min membeli tiket Night Safari secara online iaitu untuk 4 dewasa berharga RM90.
Night Safari dibuka setiap malam dari pukul 8 hingga 11 malam.
Para pengunjung akan dibawa menaiki trem mengelilingi keseluruhan kawasan zoo untuk menyaksikan sendiri haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam dengan menggunakan lampu-lampu khas yang seakan-akan cahaya bulan.
Pengunjung juga akan diberikan sedikit penerangan oleh pemandu trem mengenai setiap spesies haiwan yang dilihat, namun bagi min proses penerangan tersebut agak kurang memuaskan berikutan sistem suara yang digunakan tidak jelas dan kami hampir tidak memahami butir-butir perkataan yang dikatakan oleh pemandu trem kami.
Meskipun, memahami bahawa kita dikehendaki meminimakan bunyi atau suara untuk mendengar bunyi haiwan serta tidak mengganggu ketenteraman di Night Safari, namun pihak Zoo Taiping sememangnya perlu memandang serius dan memperbaiki sistem pencahayaan serta audio setiap trem mereka ketika kunjungan Night Safari berkenaan kerana ianya benar-benar mengecewakan.
4) CHARCOAL FACTORY KUALA SEPETANG
Jika bercuti ke Taiping, korang mungkin boleh lajak sedikit ke Kuala Sepetang yang hanya berjarak kira-kira 30 minit dari bandar.
Ini kerana di sana juga mempunyai beberapa tempat menarik untuk dilawati seperti Charcoal Factory Kuala Sepetang.
Charcoal Factory Kuala Sepetang adalah kilang arang lama yang korang boleh melihat sendiri proses membakar balak bakau tempatan ke dalam tanur atau dapur arang.
Arang-arang di sini diperbuat daripada kayu-kayu bakau minyak yang telah dituai dari rizab hutan bakau di seluruh kawasan Kuala Sepetang.
Menurut salah seorang pekerja di sini yang sempat min temuramah memaklumkan bahawa untuk setiap tanur akan dimasukkan sebanyak 1,500 kayu bakau yang akan dibakar atau disalai sehingga sebulan lamanya sebelum kayu tersebut bertukar menjadi arang hitam serta dipasarkan ke seluruh Malaysia dan juga luar negara.
Di sini juga korang boleh membeli beberapa produk berasaskan arang kayu asli seperti minyak urut, shampoo dan macam-macam lagi.
5) KUALA SEPETANG PORT WELD ECO
Selepas puas melakukan lawatan sambil belajar di kilang arang, korang boleh sambung pula jalan-jalan di Jeti Kuala Sepetang dengan menaiki bot menelusuri Sungai Sepetang yang sememangnya terkenal dengan perkampungan nelayan terutama penangkapan udang-udang segar.
Min sekeluarga mengambil pakej yang berharga RM25 seorang di mana kami akan dibawa melakukan 3 aktiviti selama hampir 1 jam setengah iaitu :-
- Kuala Sepetang Mangrove Boat Travel
- Fish Farm
- Eagle Feeding
Sepanjang perjalanan boat cruise itu, banyak yang kami pelajari mengenai sejarah di Kuala Sepetang dan pelbagai maklumat menarik lain mengenai kehidupan harian masyarakat nelayan di situ.
Kemuncak lawatan itu pastinya apabila kami berpeluang melihat secara dekat kawanan burung helang besar yang berebut makanan yang dicampakkan oleh tour guide di tengah laut.
Momen itu mengingatkan min sekeluarga kepada pengalaman sama bersama burung helang yang kami lihat ketika bercuti ke Pulau Langkawi sebelum ini.
6) RESTORAN MEE UDANG MAK JAH
Orang kata tak sah kalau datang Kuala Sepetang tapi tak mencuba kelazatan mee udang banjir di Restoran Mee Udang Mak Jah yang tak sampai 5 minit dari jeti bot tadi.
Dibuka pada jam 12 tengah hari hingga 10 malam setiap hari kecuali Rabu, korang kena rasa menu mee udang Mak Jah yang pembuatan kuahnya diwarisi sejak turun-temurun.
Selain jumlah udang yang banyak sehingga menutupi mee, udang yang digunakan di sini juga segar-segar belaka kerana diambil setiap pagi dari kuala.
Harga mee udang di sini juga sangat berpatutan dengan mee udang biasa RM10.50 dan mee udang istimewa RM13.80.
7) MUZIUM PERAK
Muzium Perak, Taiping dibina pada tahun 1883 dan merupakan muzium yang pertama ditubuhkan di Malaysia.
Bangunan Muzium Perak yang berwarna putih ini mempunyai keunikan dari segi seni binanya yang dipengaruhi bangunan masyarakat ‘moor’ di India serta digabungkan dengan seni bina ‘neo-classical’ dan ‘victorian’ masyarakat Eropah.
Muzium Perak yang kaya dengan bahan koleksi etnologi, sejarah, alam semulajadi, arkeologi dan etamobologi yang sebahagiannya diklasfikasikan sebagai koleksi nadir (rare) berusia lebih seratus tahun seperti spesimen binatang jenis binturong dan pulasan, tengkorak dan rangka binatang serta tembikar tanah yang kini hampir pupus atau sukar ditemui.
Muzium Perak mempunyai empat buah galeri dan pameran luar:
1. Galeri A - Galeri Pameran Sementara
2. Galeri B - Galeri Alam Semula Jadi
3. Galeri C - Galeri Pameran Kebudayaan
4. Galeri D - Galeri Orang Asli dan Tembikar
5. Pameran Luar
Tiket masuk ke muzium ini hanyalah RM2 sahaja untuk dewasa dan percuma bagi kanak-kanak.
8) MEDAN SELERA TAIPING
Meskipun tempat makan di belakang bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Taiping ini hanya berstatus medan selera namun ia merupakan antara lokasi jalan-jalan cari makan yang popular di sana.
Pelbagai pilihan menu terdapat di medan selera itu, namun yang wajib korang cuba kalau lepak makan di sana terutama pada waktu malam ialah Yong Tau Foo / sotong kangkung yang dikatakan antara paling sedap di Taiping!
9) STATION FMS - SELERA TAIPING
Ini juga satu lagi pilihan tempat menjamu selera yang boleh korang cuba iaitu Station FMS-Selera Taiping yang terletak bersebelahan sahaja dengan Taman Tasik Taiping.
Tempat ini juga berkonsepkan seakan medan selera dalam taman dan sangat happening pada waktu malam kerana kadang-kala mereka ada mempersembahkan live band di sana.
Di sini ada macam-macam pilihan makanan dari Western sampailah makanan ringan-ringan yang boleh korang nikmati. Pilihan tempat duduk juga ada 2 jenis sama ada korang nak pilih makan di ruang outdoor atau kawasan berbumbung.
10) BISMILLAH CENDOL SINCE 1993
Kalau jalan-jalan di Taiping dan tiba-tiba rasa dahaga, korang boleh singgah di Bismillah Cendol Since 1993 ini.
Ada juga yang mencadangkan min untuk ke Ansari Famous Cendol yang tak jauh dari Bismillah ni tapi rasanya sama je kot sebab min cuma nak menghilangkan rasa haus di tekak saja.
Macam biasalah cendol di sini ada 4 jenis sahaja iaitu cendol biasa, cendol kacang, cendol pulut dan cendol pulut kacang. Rasanya not bad tak manis sangat dan memang sesuai sangat untuk tekak min yang tengah kering.
Kalau dah makan cendol mestilah kena dipasangkan dengan pasembor. kan! Tapi pasembor di Bismillah ni memang min puji sedap dan hampir menyamai kelazatan pasembor favorit min di Kuala Lumpur. Hahaha...
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah