Betul Ke Campur Pfizer & AstraZeneca Hasilkan Imun Lebih Baik?

GAYA HIDUP
June 29, 2021 - 06:25 PM


Memberikan suntikan vaksin dari jenis yang sama bagi melengkapkan kedua-dua dos adalah amalan yang dipraktikkan di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Tetapi siapa sangka menurut kajian Oxford, vaksin campuran Pfizer dan disusuli dengan AstraZeneca sebenarnya bakal menghasilkan tindak balas imun yang lebih baik berbanding memberi dua dos sama daripada AstraZeneca.

Memetik laporan Malaysia Gazette, kajian yang dikenali sebagai Com-COV itu membandingkan jadual dua dos campuran vaksin iaitu Pfizer diberikan empat minggu selepas suntikan AstraZeneca.

Kajian itu turut mendapati dalam kombinasi apa pun, vaksin campuran dapat menghasilkan kepekatan antibodi yang tinggi terhadap lonjakan protein koronavirus.

Data tersebut memberikan sokongan untuk keputusan beberapa negara Eropah yang mula menawarkan alternatif kepada AstraZeneca sebagai suntikan kedua.

Matthew Snape, Profesor Oxford yang terlibat dalam kajian itu berkata, penemuan tersebut memberi fleksibiliti kepada proses vaksinasi namun hasil kajian itu tidak memadai untuk digunakan secara lebih meluas berbanding jadual kelulusan klinikal.

“Ini pasti menggembirakan kerana tindak balas antibodi dan sel-T ini sesuai untuk vaksin campuran,” katanya.

Tindak balas antibodi tertinggi dilihat pada individu yang menerima dua dos vaksin Pfizer, tetapi campuran dua vaksin menghasilkan tindak balas yang lebih baik berbanding dua dos vaksin AstraZeneca.

Katanya, suntikan vaksin AstraZeneca diikuti oleh Pfizer menghasilkan tindak balas sel T terbaik dan juga tindak balas antibodi yang lebih tinggi berbanding suntikan Pfizer diikuti oleh AstraZeneca.

Dapatan kajian ini diperoleh selepas kombinasi vaksin diberikan selang empat minggu kepada 830 individu.

Com-COV juga melihat jadual campuran selama selang 12 minggu dan Snape menyatakan suntikan AstraZeneca menghasilkan tindak balas imun yang lebih baik dengan selang waktu yang lebih lama antara dos.

Pihak berkuasa Britain mencadangkan jurang lapan minggu antara dos vaksin bagi individu berusia lebih 40-an dan jurang 12 minggu untuk orang dewasa yang lain.

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah