'Nano Mist Spray' Sebenarnya Tak Sesuai Digunakan Ke Atas Manusia - KP KKM
GAYA HIDUPSeptember 21, 2021 - 01:32 PM
Sejak kebelakangan ini, nano mist spray mula mendapat perhatian umum untuk digunakan sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan Covid-19 dan ramai beranggapan penggunaan alat ini berupaya menghapuskan virus di udara dan juga di permukaan.
Tetapi tahukah anda bahawa sebenarnya nano mist spray atau juga dikenali sebagai sanitizer gun adalah tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.
Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu posting di Facebook Kementerian Kesihatan berkata larutan disinfeksi yang digunakan dalam semburan alat itu adalah bertujuan untuk nyahkuman di permukaan persekitaran sahaja.
Ini kerana sesetengah larutan disinfeksi berkenaan boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan.
Malah, penyemburan disinfeksi melalui nano mist tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan keberkesanan penggunaan nano mist spray untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut untuk menghasilkan semburan yang sekata hanya pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan serta tempoh masa pendedahan.
Pada masa ini, beberapa larutan disinfeksi sedia ada seperti larutan yang mengandungi alkohol 70%-90%, hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia dan juga larutan berasaskan klorin berkesan bagi membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan.
Nano mist spray adalah alat penyembur yang boleh menghasilkan titisan halus bersaiz nano dan alat ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan termasuk kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair yang digunakan.
Alat ini terdapat dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti spray gun, handheld spray sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri.
Pada masa ini, pihak KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan garis panduan untuk pendaftaran disinfektan permukaan yang boleh dicapai melalui https://www.npra.gov.my/images/Guidelines_Central/surface_disinfectant/Revision_1_Guideline_for_Registration_of_Surface_Disinfectant.pdf.
Garis panduan ini turut menerangkan keperluan pelabelan disinfektan.
Sumber: Malaysia Gazette
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah