Muzium Di Pulau Pinang Ini Pamer Barangan Antik Secara Percuma

TARIKAN
December 02, 2021 - 04:19 PM


Jika korang datang bercuti ke Pulau Pinang dan kebetulan korang merupakan penggemar barangan antik --jangan lupa untuk singgah ke Muzium BM!

Apa istimewanya muzium ini? Sebenarnya kalau korang nak tahu Muzium BM ini merupakan sebuah muzium barangan antik milik persendirian, tetapi dibuka secara percuma untuk kunjungan orang awam.

Muzium tersebut tersergam indah di dalam sebuah rumah tradisional Melayu yang terletak di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam.

Menurut pemiliknya Yong Kein Sun, 60 tahun -- aset tertua yang dipamerkan di muzium itu merupakan sebuah seterika antik yang digunakan sejak abad ke-18, selain koleksi antik lain yang mencecah usia 100 tahun seperti pemain piring hitam, kamera, pedang, telefon, mesin taip, radio, tembikar, peralatan perang dan lain-lain.

Peminat dan pengumpul barangan antik itu berkata seterika berbentuk seperti gayung dan dianggarkan seberat kira-kira tiga hingga empat kilogram itu, ditemui di Myanmar ketika beliau mengunjungi negara itu lebih sedekad lalu.

Uniknya tentang seterika itu, bahagian pemegangnya diperbuat daripada kayu, manakala ruang kosong pada ‘gayung’ itu dihasilkan daripada besi yang merupakan tempat meletakkan arang untuk memanaskan seterika.

“Di Malaysia, agak sukar barangan seperti ini ditemukan. Ada kalanya, ketika saya tahu ada orang yang mahu pindah rumah, saya akan membeli barang-barang lama yang mereka tidak mahu untuk disimpan atau dikongsikan kepada pengumpul barang antik yang lain, untuk tatapan generasi akan datang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Muzium BM baru-baru ini.

Mengimbau tentang permulaan pembinaan muzium itu, Yong berkata ia bermula apabila barangan antik yang dikumpul sejak berusia 20-an sudah memenuhi setiap ruang di rumahnya, sehingga tiada tempat lagi untuk menyimpan barangan lain.

Oleh itu, beliau membuat keputusan membeli sebidang tanah di Kampung Tanah Liat dan membina muzium tersebut dengan berilhamkan pembinaan rumah kayu tradisional Melayu berkeluasan lebih 1,500 kaki persegi dengan menggunakan khidmat tukang ukir tempatan bagi menyerlahkan keaslian seni bina muzium itu.

Menurutnya, 20 peratus daripada koleksi di muzium berkenaan diwarisi dari keluarganya secara turun-temurun, sementara 80 peratus lagi dibeli dari negara-negara jiran seperti Myanmar, Thailand, Vietnam dengan paling banyak dari Indonesia.

Ini kerana di Indonesia, paling mudah untuk mendapatkan barangan antik seperti pemain piring hitam, kamera, kalkulator, mesin taip dan sebagainya daripada peninggalan Belanda, jelas Yong.

Selain barangan antik berkenaan, Yong turut mengumpul kenderaan lama dan antik seperti basikal, kereta dan motosikal malah kereta kuda dan beca, turut kelihatan di perkarangan muzium tersebut.

“Dahulu saya mempunyai lebih banyak koleksi kereta antik namun sukar diselenggara. Jadi saya berikan kepada seorang pengumpul barang antik di Johor kerana dia sudi menjaga kereta-kereta itu dengan baik.

“Bagi saya, asalkan mereka (penerima) boleh menjaga barang-barang ini dengan baik, itu sudah cukup kerana ini adalah khazanah yang kita boleh kongsikan dengan generasi akan datang,” jelas Yong yang berasal dari Bukit Berapit.

Sebagai pengumpul barangan antik, beliau turut berkongsi kekecewaan koleksinya yang bernilai tinggi pernah dicuri.

“Kalau dahulu saya kerap mengumpulkan wang kertas dan syiling lama dari beberapa negara namun semuanya telah dicuri. Jadi kini saya lebih memilih untuk mengumpul barang-barang antik yang saiznya lebih besar bagi mengurangkan risiko dicuri,” katanya.

Muzium BM, yang memulakan operasi sejak 2010 itu, dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam.

Menurut Yong, beliau tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjung, meskipun terpaksa membelanjakan RM2,000 (S$647) sebulan bagi penyelenggaraan muzium berkenaan kerana baginya kepuasan tercapai apabila dapat berkongsi minat dengan orang ramai, khususnya generasi muda.

Dalam pada itu, katanya, muzium tersebut juga sering menerima pelawat daripada kalangan pelajar sekolah tempatan, kumpulan pengembara bermotosikal serta pelancong asing terutama peminat barangan antik.

Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar: Berita Harian

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah