4 Rumah 'Sahabat Hang Tuah' Dibuka Kepada Orang Ramai Bermula 1 Feb Ini
JALAN-JALANJanuary 11, 2022 - 03:47 PM
Bagi mereka yang mahu merasai suasana kehidupan zaman kepahlawanan Hang Tuah Lima Bersaudara, impian tersebut boleh direalisasikan dengan berkunjung ke Perkampungan Hang Tuah di Kampung Duyong, Melaka yang kini diberi wajah baharu.
Bermula 1 Februari ini -- 4 rumah sahabat Hang Tuah iaitu Rumah Hang Jebat, Rumah Hang Kasturi, Rumah Hang Lekir dan Rumah Hang Lekiu akan dibuka kepada orang ramai dengan konsep dan keunikan tersendiri.
Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Mohd Nasruddin Rahman berkata penjenamaan semula empat rumah pahlawan pada era kegemilangan Kesultanan Melaka itu dilakukan sejak Rabu lepas dengan kerja-kerja membaiki, membersihkan serta memasukkan bahan pameran.
"Rumah-rumah ini ditutup agak lama. Jadi banyak yang perlu kita buat termasuklah menampilkan konsep pameran baharu agar dapat menarik lebih ramai pengunjung ke sini, kita jangka semuanya akan siap dalam minggu hadapan," katanya.
Koleksi senjata tradisional seperti keris dan tombak akan dipamerkan di Rumah Hang Jebat manakala Rumah Hang Kasturi akan mempamerkan koleksi pakaian tradisional masyarakat di Melaka seperti Melayu serta Baba dan Nyonya.
"Mereka yang ingin merasai atau mengimbau kenangan bermain permainan tradisional seperti congkak dan tingting, mereka boleh menunjuk bakat di Rumah Hang Lekir manakala juadah tradisi Melaka seperti asam pedas dan kuih onde-onde boleh dirasai di Rumah Hang Lekiu," katanya.
Bagi Rumah Hang Tuah pula beliau menjelaskan ia akan kekal sebagai pusat pameran utama yang memaparkan sejarah pahlawan Melayu tersebut bersama empat saudaranya di bumi Melaka.
Mengulas mengenai bahan pameran, Mohd Nasruddin berkata kebanyakannya adalah milik Perzim namun, bagi koleksi pakaian tradisional pihaknya mendapat kerjasama daripada Pak Andak atau nama sebenarnya Raja Andak Raja Hussin yang memiliki pelbagai pakaian terutama untuk majlis perkahwinan yang mungkin sudah tidak wujud dalam pasaran masa kini.
"Jadi kami berbesar hati apabila Pak Andak sudi berkongsi pakaian-pakaian tersebut untuk dipamerkan kepada pengunjung.
"Dalam masa yang sama, kami turut menyediakan beberapa jenis pakaian tradisional untuk pengunjung mencubanya dan bergambar di sekitar Perkampungan Hang Tuah bagi satu tempoh masa yang ditetapkan," katanya.
Bagi memeriahkan lagi suasana perkampungan seluas 16 hektar itu, Mohd Nasruddin menjelaskan pengunjung boleh menikmati hidangan tradisional Melaka bersama ulam-ulaman yang ditanam segar di sekeliling Rumah Hang Lekiu.
Beliau berkata menu juadah yang berubah mengikut hari dan dihidangkan di dalam pinggan mangkuk vintaj itu akan dinikmati pengunjung dalam suasana kampung dengan duduk bersila di kawasan beranda rumah kayu tersebut.
"Pakej harga akan kita tentukan kemudian. Namun apa yang pasti, masakan akan dimasak ketika tempahan dilakukan.
"Jadi bayangkan sambil makan bersila, anda boleh menyaksikan anak-anak bermain permainan tradisonal di rumah sebelah (Rumah Hang Lekir).
"Inilah yang kita mahukan pengunjung rasa. Kita harap dengan penjenamaan semula empat rumah pahlawan ini, pengunjung dapat merasai suasana sebenar masyarakat Melayu lama dahulu yang mungkin generasi sekarang sudah tidak dapat rasakan lagi," katanya.
Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar : Gaya Travel
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah