Gerai Roda Tiga Jual Nasi Dagang Kena Serbu Pelanggan Lepas Video Viral. Ini Kisahnya...

MAKAN
January 11, 2022 - 04:09 PM


Jika anda bercuti ke Terengganu pasti tidak lengkap kunjungan tersebut tanpa anda merasai sendiri keenakan juadah tradisional negeri tersebut iaitu nasi dagang ikan aya atau ikan tongkol.

Namun sekarang ini tanpa bercuti ke sana pun anda masih boleh merasai kelazatan nasi dagang yang viral di Facebook baru-baru ini, hasil air tangan bekas seorang chef hotel lima bintang di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Anda boleh mendapatkannya di port nasi dagang yang dijual menggunakan motosikal roda tiga di kawasan Persiaran Alam Perdana, Bandar Puncak Alam, Shah Alam, Selangor.

Tetapi jangan terkejut sekiranya ke sana nanti anda melihat orang ramai telah pun beratur panjang seawal pukul 6 pagi untuk mendapatkan juadah berkenaan meskipun gerai motor menjual nasi dagang itu hanya mula dibuka sekitar 7 pagi.

Ini semua berlaku dek kerana penangan video dokumentari berdurasi 10 minit yang memaparkan kisah perniagaan bekas chef tersebut yang viral di media sosial.

Bekas Chef berkenaan, Muhammad Khairul Nizam Mamat, 43 tahun berkata hal itu disedarinya sejak Jumaat lepas apabila melihat orang ramai berpusu-pusu menyerbu gerai nasi dagangnya.

"Saya terkejut pada pagi itu (Jumaat), tiba-tiba orang ramai datang dan siap beratur tunggu saya yang baru nak pasang payung dan sebagainya. Masuk 7.30 pagi ke atas, orang semakin ramai beratur. Saya memang cemas sebab risau makanan tidak cukup memandangkan orang beratur panjang dan lama untuk dapatkan makanan.

"Bila semak balik, rupanya video dokumentari sebuah produksi yang saya jalani penggambaran sebelum ini tular. Saya terkejut sebab video tersebut asalnya bukan untuk mempromosikan perniagaan saya sebaliknya untuk memaparkan macam mana seseorang yang 'jatuh' ketika COVID-19 melanda negara, bangun kembali mulakan kehidupan," katanya.

Muhammad Khairul Nizam yang merupakan anak jati Kampung Tengkawang, Kuala Berang berkata susulan tular, beliau kini perlu menambah sukatan beras basmati untuk menghasilkan nasi dagang tersebut hingga 10 kali ganda sehari berbanding kira-kira lima hingga lapan kilogram sehari ketika mula menceburi perniagaan itu pada November lepas.

"Sekarang kami masak nasi dagang hingga 50 kilogram beras sehari untuk memenuhi permintaan yang tiba-tiba mendadak ini. Disebabkan itu, empat adik lelaki yang menetap di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang serta ibu saya dari kampung datang membantu untuk menghasilkan nasi yang agak banyak sebab saya hanya berniaga seorang diri," katanya.

Ditanya mengapa jualan nasi dagang menjadi pilihannya, Muhammad Khairul Nizam berkata kesukaran untuk mendapatkan juadah yang asli seperti didapati di kampung halamannya antara sebab beliau berniaga selain turut menjual nasi lemak ikan tongkol.

Katanya proses penyediaan dan memasak nasi yang agak kompleks antara sebab nasi dagang Terengganu sukar didapati malah bahan untuk menghasilkan kari ikan tongkol juga kebanyakannya terdapat di negeri itu.

"Itu antara sebab saya pilih juadah ini (nasi dagang) untuk dijual di sini. Memang majoriti pembeli juga dari pantai timur Semenanjung khususnya Terengganu. Ramai yang kata (respons) bila makan teringat pada kampung. Alhamdulillah orang suka," katanya.

Sumber: BERNAMA & Kredit Gambar: Rizal Hakimm Punyer

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah