Hebat Abam Bomba Kita! Bakal Miliki Balai Bomba Tertinggi Di Dunia!
VIRALJanuary 26, 2022 - 05:20 PM
Jika Pos Malaysia mempunyai 'Peti Pos Tertinggi' di negara ini yang terletak di Panalaban, Gunung Kinabalu -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga tidak lama lagi bakal memiliki "Balai Bomba Paling Tinggi Di Dunia"!
Terletak di lokasi dengan ketinggian lebih 3,382.2 meter dari paras laut, balai bomba atau tepatnya pusat operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat (Mosar) itu bakal diwujudkan di bangunan bekas asrama penginapan di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu yang kini dikosongkan selepas gempa bumi pada 2015.
Apabila beroperasi kelak, ia bakal menjadi satu-satunya balai bomba di kawasan altitud tinggi di Malaysia -- sekali gus melakar sejarah sebagai pusat operasi menyelamat di gunung yang pertama di dunia dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan.
Timbalan Pengarah JBPM Sabah Farhan Sufyan berkata, sejak Mosar ditubuhkan pada 2015, susulan insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015, tiada bangunan khas yang sesuai dengan keperluan operasi gerak kerja Mosar.
Katanya, pasukan Mosar hanya ditumpangkan di bilik penginapan di kawasan Panalaban, malah kini keanggotaan Mosar semakin bertambah seramai 42 anggota bagi keperluan menghadapi kecemasan dan bencana di sepanjang laluan ke puncak Gunung Kinabalu.
"Kami ada melakukan tinjauan ke tempat penginapan Mosar di Panalaban dan ia kurang sesuai dan perlu penambahan baikan.
"Oleh itu, berdasarkan perbincangan awal kami bersama Taman-Taman Sabah (TTS) dan mereka (TTS) sudah cadangkan supaya Gunting Lagadan Hut dijadikan lokasi pusat operasi Mosar.
"Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang kami kena semak lagi dari segi keselamatan dan aset ataupun pergerakan yang mana perbincangan lanjut akan diadakan dengan TTS," katanya di Gunting Lagadan, Gunung Kinabalu, semalam.
Terdahulu, Farhan dan Ketua Zon 3 Kudat Penguasa Bomba, Sahidih Mahali bersama 15 pegawai dan anggota JBPM Sabah memulakan pendakian pada 22 Januari lalu, untuk memantau gerak kerja Mosar di Gunung Kinabalu.
Pendakian yang dirasmikan Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail juga bertujuan memantapkan lagi kerjasama strategik antara JBPM Sabah dan TTS dalam aspek penyelamatan melalui pewujudan Mosar.
Mengulas lanjut, Farhan berkata, sehingga kini terdapat seramai 42 keanggotaan pasukan Mosar di Gunung Kinabalu.
"Kami akan semak semula keanggotaan serta prosedur operasi standard (SOP) Mosar untuk memberi perkhidmatan yang lebih efektif," katanya.
Sementara itu, mengenai operasi penyelamatan Mosar di Gunung Kinabalu, Farhan menjelaskan bermula dari 2016 lalu sehingga semalam, sebanyak 259 kes penyelamatan dilaksanakan membabitkan pendaki untuk turun dari Gunung Kinabalu dan untuk tahun ini sahaja sebanyak enam kes penyelamatan dijalankan.
Katanya, kebanyakan kes yang dilaksanakan iaitu menyelamat pendaki yang mengalami akut gunung atau Altitude Mountain Sickness (AMS), kesejukan melampau dan tercedera.
Sumber: Harian Metro
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah