Nama Pun Dah Unik, 'Kopi Tenggek' Minuman Wajib Cuba Jika Bercuti Ke Johor!
MAKANMarch 07, 2022 - 12:30 PM
Bagi anda yang mungkin bercuti ke Johor atau lebih tepat di Pontian dan ingin merasai keistimewaan kopi yang cukup unik iaitu "Kopi Tenggek" -- anda wajib mengunjungi Togez Cafe untuk menikmati rasa luar biasa minuman tersebut.
Namanya sahaja sudah cukup unik dan mencuit hati, jangan terkejut sekiranya kopi tenggek ini dicari oleh peminat minuman kopi dari seluruh negara datang ke Benut Pontian selepas kisah kopi ini viral di media sosial.
Togez Cafe sebuah gerai di kawasan pesisiran Sungai Pinggan Benut diusahakan oleh Ismail Abu Nawi, 46 tahun.
Minuman itu yang diberi nama kopi tenggek turut dipanggil sebagai kopi gantung kerana di atas cawan kopi terletaknya penapis.
Jelas Ismail, kaedah meletakkan penapis di atas cawan telah lama dilakukan oleh kedai-kedai kopitiam.
Ia dilakukan supaya rasa kopi sebenar dapat dinikmati tanpa bersama keladaknya.
“Setiap hari kopi tenggek dijual antara 50 hingga 200 cawan dan jumlah itu meningkat pada cuti hujung minggu dan cuti am.
“Gerai mula dibuka pada jam 4 petang hingga 2 pagi. Ada pelbagai menu ditawarkan antaranya laksa penang, kacang pool, nasi goreng, mi sup dan mi rebus,” katanya.
Bagi menarik kedatangan pengunjung, Togez Café juga telah diperindahkan dan diceriakan dengan dekorasi dalaman diperbuat daripada kayu ‘pallet’ termasuk kerusi dan meja.
“Sambutan yang diberikan kepada orang ramai menambah lagi pusat makanan di bandar Benut pada waktu malam sama ada dengan keluarga atau rakan-rakan,” katanya.
Sementara itu, seorang peminat kopi tempatan, Janggut Misai, 60, berkata, kopi tenggek menjadi pilihan untuk dinikmati bersama rakan-rakan setiap kali ke Togez Cafe.
Katanya, aroma dan rasa kopi tenggek tidak sama seperti mana-mana kopi kerana ia unik dan berbeza.
“Seronok dapat minum kopi tenggek sambil berbual rakan-rakan pada sebelah petang. Cukup tenang dengan pemandangan Sungai Pinggan,” ujarnya.
Jadi bagi anda yang merasai sendiri rasa unik kopi tenggek ini jangan lupa berkunjung ke Pontian, Johor!
Sumber: Sinar Harian & Kredit Gambar: Bernama
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah