Malaysia Airlines Tambah Penerbangan 11 Kali Seminggu Ke London

TARIKAN
March 23, 2022 - 12:54 PM


Bermula 27 Mac ini, Malaysia Airlines (MAS) berusaha meningkatkan kekerapan penerbangan ke laluan utama Kuala Lumpur-London kepada 11 kali seminggu serta akan kembali kepada perkhidmatan harian berganda penuh setiap hari mulai 1 Julai dan seterusnya.

Pada tarikh yang sama, syarikat penerbangan nasional itu berkata, ia akan mengembalikan perkhidmatan komersial berjadual ke India iaitu New Delhi, Bangalore, Mumbai, Chennai dan Hyderabad -- selepas hampir 24 bulan digantung kerana penutupan sempadan kedua-dua negara.

"Mulai 1 April 2022, Malaysia Airlines akan meningkatkan kapasiti ke Bangkok daripada tujuh kali seminggu kepada 14 kali seminggu dan ke Phuket daripada sekali seminggu kepada tiga kali seminggu," kata MAS dalam satu kenyataan.

Ia berkata, ini selepas Thailand baru-baru ini melonggarkan syarat kemasukan bagi pengembara antarabangsa yang mendapat vaksin sepenuhnya.

Selain itu, katanya, Malaysia Airlines mula terbang ke Bali dengan penerbangan sekali seminggu, bermula 11 Mac 2022.

"Pelanggan yang divaksin sepenuhnya yang melancong ke Singapura boleh terus menikmati skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, memberikan mereka kemudahan akses tanpa kuarantin," katanya.

Sementara itu, Malaysia Airlines berkata, penerbangan yang diadakan semula ke Australia baru-baru ini juga akan menyaksikan pertambahan kepada tujuh kali seminggu ke Sydney daripada lima kali seminggu dan lima kali seminggu ke Perth daripada dua kali seminggu berikutan permintaan yang stabil untuk perjalanan di rantau Australasia.

"Dengan Satellite Golden Lounge Malaysia Airlines akan dibuka sepenuhnya tidak lama lagi, pelanggan boleh menjangkakan hidangan gaya bufet yang diadakan semula, menawarkan kemudahan untuk tetamu melihat dan menikmati pelbagai hidangan tempatan dan barat sebelum penerbangan mereka.

"Semua ruang istirahat syarikat penerbangan mematuhi langkah-langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat, penggunaan wajib topeng muka dan sarung tangan pakai buang di kawasan bufet dan sanitasi biasa di kawasan umum," tambah MAS.

Sumber: BERNAMA

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah