6 Tips Beli Lemang Yang Elok Dimasak Di Tepi Jalan
GAYA HIDUPApril 25, 2022 - 02:03 PM
Apalah makna Hari Raya tanpa juadah istimewa iaitu lemang. Tiada lemang di atas meja pada pagi Raya umpama kita makan nasi lemak tanpa sambal. Begitulah diibaratkan hidangan lemang dan Hari Raya, kan?
Sebab itu bila menjelang Hari Raya, kita lihat banyak deretan gerai lemang di tepi jalan dan bukan main beratur panjang pelanggan yang tak sabar nak beli lemang idaman mereka.
Tetapi sebelum korang pilih gerai lemang mana yang nak dituju, korang perlu tahu tips untuk membeli lemang yang terbaik dan sedang elok dibakar? Maklumlah mesti antara korang sebelum ini pernah bernasib tak baik terbeli lemang yang keras, basi ataupun kurang masak setelah ia dibelah dan dipotong setibanya di rumah, kan?
Jadi tahun ini bagi mengelakkan korang mengulangi kesilapan sama, jom kita tengok petua dan tips bagi memilih lemang yang elok dan terbaik untuk dimakan bersama keluarga di Hari Raya nanti.
TIPS MEMILIH LEMANG YANG MASAK DAN DIBAKAR SEMPURNA
1. Cari Gerai Lemang Yang Banyak Kayu Tersusun Untuk Dibakar
Apabila korang nampak gerai tersebut mempunyai banyak kayu api, itu bermaksud diorang memang bakar lemang-lemang tersebut di situ dan bukannya hanya mempamerkan lemang yang telah dikukus di tempat lain dekat dengan bara api.
2. Elakkan Gerai Yang Membakar Lemang Dengan Pallet Kayu
Kalau korang perasan, pallet kayu ni jarang dimamah anai-anai. Ini disebabkan pallet tersebut telah disembur dengan sejenis coating yang beracun. Jadi kalau korang nampak ada gerai yang membakar lemang dengan menggunakan pallet kayu, lebih baik jangan beli. Takut racun daripada pallet kayu tersebut meresap masuk ke dalam lemang.
3. Jangan Pilih Lemang Yang Terlalu Tebal Atau Terlalu Kecil
Bila dah sampai di gerai, jangan pilih lemang yang paling besar pula. Walaupun korang rasa berbaloi sebab harga masih sama dengan yang lain, tapi kebarangkalian untuk ia tak masak lebih tinggi. Ini kerana isipadunya yang lebih besar, membuatkan lemang tersebut susah nak masak. Boleh jadi, bahagian luar saja yang masak. Bila potong, dalamnya mentah.
Kalau lemang yang terlalu kecil pula, boleh jadi isinya keras, liat atau terlalu garing. Jadi kalau nak selamat, pilih saiz yang sedang-sedang saja.
4. Minta Peniaga Belah Lemang Bahagian Bawah Sebelum Beli
Selalunya, peniaga akan belah bahagian atas dan tunjuk pada pembeli untuk memperlihatkan lemang tersebut sudah masak. Tetapi lebih baik kalau korang minta diorang belah bahagian bawah lemang.
Secara logiknya, kalau bahagian bawah lemang dah masak, bahagian atas pasti dah masak. Berlawanan pula kalau potong di bahagian atas dan nampak dah masak, bahagian bawah boleh jadi masih mentah.
5. Perhatikan Bahagian Kepala Santan
Korang mungkin perasan bahagian atas lemang bentuknya pelik sikit. Ini disebabkan segala lemak-lemak daripada santan berkumpul dan mendidih di bahagian atas. Selalunya ia dipanggil kepala santan. Bahagian ini selalunya digemari ramai sebab rasanya lebih berlemak dan sedap.
Masa nak beli lemang, cari kepala santan yang dah kering sebab bila ia dah kering, lemang tersebut boleh disimpan dengan lebih lama. Paling lama, dua hari. Cuba hidu juga bahagian kepala santan untuk tahu ia dah basi atau belum. Biasanya kalau santan dah basi akan bau masam-masam sedikit seperti santan yang dah tak elok
6. Cuba Minta Diskaun Bila Beli Banyak
Lumrah bila kita beli dalam kuantiti banyak, mestilah kena cuba untuk dapatkan diskaun, bukan? Contohnya kalau beli 3 batang lemang, tu dah nak dekat RM50 lebih. Bolehlah cuba minta sedikit diskaun daripada penjual. Minta sedikit saja, jangan lebih-lebih pula. Diorang pun tak nak kerugian.
Dengan adanya tips-tips di atas, lepas ni tak payah risau lagilah kalau terbeli lemang basi di gerai. Lepas tu, kalau ada apa-apa masalah dengan lemang yang dibeli, cuba berbincang dulu dengan tuan kedai. Jangan fikir nak viralkan saja. Mana tahu dia bukannya sengaja atau tak perasan pun lemang yang dijual ada masalah. Apa-apa masalah, eloklah dibawa bincang dulu. Selamat menjamu lemang di Hari Raya gais!
Sumber: MYSUMBER.TV
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah