23 April Tarikh Melihat Anak Bulan Ramadan
VIRALApril 17, 2020 - 02:05 PM
Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia adalah pada Khamis, 23 April ini bersamaan 29 Syaaban 1441 Hijrah.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Permulaan Puasa yang ditetapkan menerusi Radio dan Televisyen.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja dalam satu kenyataan hari ini menyatakan tempat melihat anak bulan Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan di 15 kawasan terpilih.
Tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka; Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Manjong (Perak).
Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Menara Alor Setar (Kedah); Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang, Setiu (Terengganu); Menara Bangunan SEDC di Jalan Tengku Putera Semerak, Kota Baharu (Kelantan).
Teluk Bandung, Kuching (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan (Sabah); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang); Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis).
Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.
Sumber: Bernama
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah