7 Disember Ini, Sabah Buka Semula Aktiviti Mendaki Gunung Kinabalu Secara Berperingkat

VIRAL
December 03, 2020 - 03:17 PM


Kerajaan Sabah melalui Taman-Taman Sabah (TTS) bersedia untuk membuka semula aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu secara berperingkat dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat mulai 7 Disember ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata sebagai permulaan, kapasiti pendaki yang dibenarkan adalah tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah ditetapkan pada satu-satu masa sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kerajaan negeri melalui TTS sedang bersiap sedia untuk membuka semula pintu taman kendalian agensi itu secara berperingkat kepada pelawat tempatan dengan pelaksanaan SOP ketat mulai 7 Disember ini termasuk aktiviti pendakian Gunung Kinabalu.

“TTS sedang dalam peringkat untuk menentukan SOP yang akan diguna pakai apabila aktiviti pendakian dibenarkan secara rasmi,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Masidi berkata kerajaan negeri sedang meneliti pelbagai aspek termasuk faktor ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan COVID-19 di Sabah sama ada meneruskan atau tidak PKPB itu yang dijadual berakhir 6 Disember ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan membuat penilaian dan analisis mengenai situasi semasa COVID-19 di Sabah dan memberi nasihat berhubung perkara tersebut kepada kerajaan negeri.

“Keputusan sama ada melanjutkan, menamatkan PKPB atau melaksanakan sebarang bentuk langkah kawalan yang lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor tertakluk kepada nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Sumber: BERNAMA

 

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah