Tak Masuk Akal! Harga Tiket Flight Ke Sabah Dan Sarawak Dah Macam Nak Gi London
VIRALJune 11, 2020 - 02:37 PM
Sejak aktiviti rentas negeri dan pelancongan domestik telah dibenarkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) -- kecoh di media sosial apabila netizen mengadu tentang kenaikan harga tiket penerbangan MAS dan AirAsia yang mencecah ribuan ringgit!
Malah ada netizen yang mengecam harga tiket tersebut terlalu mahal seperti kadar tiket ke luar negara macam Dubai dan London, walaupun ia sebenarnya hanya untuk destinasi dalam Malaysia.
Paling tidak masuk akal dan dipertikaikan netizen adalah harga tiket bagi penerbangan ke Sabah dan Sarawak juga sebaliknya, yang nyata menimbulkan masalah bagi individu yang sering berulang-alik atas urusan kerja dan sebagainya.
Ada laporan media mengatakan bagi penerbangan sehala dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Miri hingga mencecah lebih RM1,500!
Berdasarkan tinjauan Rileklah di laman sesawang kedua-dua syarikat penerbangan itu sememangnya mendapati harga tiket agak mahal hingga mencecah lebih RM2,000 seorang untuk penerbangan pergi-balik dari KL ke Kuching.
Kenaikan harga tiket penerbangan pada masa ini nyata memberi kesan kepada rakyat yang mahu menaiki pesawat untuk urusan perniagaan, kerja, keluarga dan sebagainya.
Malah ia juga boleh merencatkan rancangan bagi membantu melonjakkan semula industri pelancongan domestik selepas berakhirnya larangan rentas negeri.
Harga yang tinggi itu juga mungkin susulan pelaksanaan SOP untuk syarikat penerbangan apabila mereka terpaksa mengehadkan jadual penerbangan, selain jumlah penumpang yang dikecilkan untuk tujuan penjarakan sosial.
Sedar akan kenaikan harga tiket melampau bagi penerbangan domestik Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya, kerajaan negeri itu memberi jaminan bahawa ia akan cuba diatasi dalam masa terdekat dengan pemberian kapasiti 100 peratus dan penambahan penerbangan.
Menurut laporan Astro Awani, Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan mahu menghentikan kegusaran yang melanda rakyatnya.
“Dengan peningkatan kedua-dua kapasiti penerbangan hingga 100 peratus dan frekuensinya, kami berharap syarikat penerbangan dapat mengatasi keadaan semasa dan dapat menurunkan tambang penerbangan,” katanya.
P/S: Macam mana nak Cuti-Cuti Malaysia kalau tiket pun serupa harga ke luar negara?! Semoga Kerajaan peka dengan masalah ini dan mencari solusi terbaik bagi membantu kita...insya-Allah.
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah