Hotel 5 Bintang Di Langkawi Terbakar 2 Kali Dalam Tempoh 24 Jam!

VIRAL
January 14, 2021 - 03:11 PM


Dengan kehilangan pelancong yang keluar dari Langkawi susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat, The Andaman yang terletak di pulau itu mendapat dugaan lebih besar apabila sebahagian pusat penginapan berkenaan musnah dalam kebakaran.

Difahamkan sebuah blok bangunan resort lima bintang itu, yang terletak di Jalan Teluk Datai kira-kira 40km dari Bandar Kuah, musnah dalam kebakaran yang berlaku dua kali, semalam dan awal pagi tadi.

Jurucakap bomba Kedah berkata kejadian pertama berlaku pada kira-kira 4 petang semalam, sebelum kebakaran berulang di lokasi sama pada 1.13 awal pagi tadi.

Anggota dari balai bomba Langkawi dan Persiaran Putra dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja pemadaman.

“Blok bangunan tersebut terbakar hampir keseluruhannya disebabkan faktor cuaca angin kencang…kebakaran pertama berjaya dikawal pada kira-kira 10 malam.

“Namun, pada 1.13 pagi tadi, bomba sekali lagi menerima panggilan kecemasan sebelum anggota ke lokasi sama untuk memadam kebakaran kedua,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bomba mengalami masalah bekalan air dan akses untuk melakukan pemadaman di bahagian yang terbakar.

“Anggota melakukan pemadaman melalui cara fire break di sayap selatan dan sayap utama bangunan tersebut menggunakan satu aliran dua pancutan 100 kaki air daripada air tangki jentera,” katanya.

Sementara itu, pengguna di media sosial turut terkejut melihat video tular memaparkan kebakaran resort itu hari ini.

Seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Chris Almazan berkata, dia sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya di resort tersebut namun tidak akibat PKP.

“Meskipun semua perkara ini berlaku di sekitar saya, saya sepatutnya bersyukur,” katanya.

 

Pengguna lain pula, Ramakrishnan bagaikan tidak percaya berita kebakaran hotel yang indah itu.

“Sukar nak percaya, kami baru sahaja berada di situ beberapa hari lalu,” katanya.

“Mendoakan keselamatan dan kelangsungan hidup kakitangan di sana yang sangat baik dan peramah sekali.”

 

Sumber: Free Malaysia Today

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah