Mulai 10 Okt, Siapa Masuk Sarawak Wajib Kuarantin 14 Hari Di Pusat Kuarantin
VIRALOctober 09, 2020 - 11:24 AM
Kalau sebelum ini, Sarawak melarang kemasukan individu dari Sabah dan Labuan angkara kes penularan pandemik COVID-19 yang agak tinggi di sana -- namun bermula esok (10 Oktober 2020) Sarawak telah memutuskan bahawa SEMUA WARGANEGARA yang masuk ke Bumi Kenyalang adalah WAJIB MENJALANI KUARANTIN 14 HARI di pusat kuarantin yang ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ujian saringan COVID-19 akan diambil pada hari kedua dan ke-10 dengan kos kuarantin dan ujian ditanggung sendiri oleh individu terbabit.
Hanya kos kuarantin dan ujian COVID-19 rakyat Sarawak akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Tambah beliau sebelum ini, arahan kuarantin wajib 14 hari yang dikeluarkan pada 4 Oktober tidak terpakai kepada rakyat Sarawak yang tiba dari Semenanjung dan mereka hanya perlu menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Bagaimanapun, susulan peningkatan kes positif dari luar Sarawak yang melibatkan rakyat negeri itu, keputusan lebih drastik perlu diambil, katanya.
Timbalan Ketua Menteri I Sarawak itu juga berkata pemantauan lebih ketat HSO akan dikuatkuasakan serta-merta dan polis akan memantau individu yang telah diarah menjalaninya.
Sesiapa yang didapati melanggar arahan tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Sumber: BERNAMA
Artikel Berkaitan: Angkara Pandemik, Individu Dari Sabah & Labuan Dilarang Masuk Sarawak!
Artikel Lain: Anda Dari Sabah Dan Nak Travel Ke Sarawak? Ini Ada Peraturan Baharu Yang Perlu Diketahui!
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah