Pantai Pandak Chendering Diserbu Pengunjung Dek Kerana Kerang Terdampar

VIRAL
November 20, 2020 - 04:22 PM


Rezeki musim tengkujuh!

Fenomena kerang terdampar yang sangat sinonim setiap kali musim tengkujuh tiba sentiasa dinanti-nantikan penduduk di Terengganu dan kali ini, Pantai Pandak dekat Chendering, Kuala Terengganu pula menjadi tumpuan ramai.

Berdasarkan tinjauan mendapati orang ramai menggunakan pelbagai alat untuk mencari kerang antaranya menggunakan penutup kipas, besen dan penapis agar tidak pulang dengan tangan kosong.

Kredit: Harian Metro

Seorang pengawal keselamatan, Mohd Rahman Mat Shafee, 35, berkata beliau berjaya memperoleh sebanyak 50 kilogram kerang hasil pencarian selama empat jam dan jumlah itu adalah tangkapan terbanyak setakat ini.

"Biasanya kerang ini saya beri kepada keluarga dan jiran terdekat untuk dijadikan pelbagai juadah. Saya cari untuk tujuan suka-suka sahaja, namun kalau ada pengunjung yang hendak membeli, saya menjualnya dengan harga RM10 untuk satu kilogram.

"Kerang terdampar ni memang perkara biasa di Terengganu dan lokasinya juga tidak menentu...dulu pernah ada di Pantai Rusila, Marang dan Pantai Seberang Takir. Kalau jumlahnya banyak memang saya akan pergi juga sebab kerang ini sangat sedap, isinya pejal maklumlah kerang segar, tidak sama seperti yang dijual di pasar," katanya.

Kredit: Berita Harian

Difahamkan, kerang mula 'membanjiri' Pantai Pandak sejak tiga hari lepas dan ada pengunjung yang datang seawal 8 pagi untuk mencari kerang malah ia berterusan hingga lewat petang sekiranya cuaca agak baik. 

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata aktiviti mencari kerang boleh dilakukan namun orang awam dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

"Anggota polis dengan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat serta RELA akan terus memantau kegiatan tersebut. Selain itu, mereka mesti utamakan keselamatan sepanjang mencari kerang kerana kami tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Sumber: BERNAMA

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah