Pesawat Dari Langkawi Dilanda 'Air Turbulence' Dahsyat, Student MMU Ini Kongsi Detik Cemas Cuma Ingat Mati!

VIRAL
April 21, 2022 - 01:49 PM


Pengangkutan udara merupakan kaedah perjalanan yang paling cepat dan selesa untuk ke destinasi tertentu. Bagaimanapun perjalanan udara juga mempunyai bahaya dan risiko jadi sudah pasti ada juga pengalaman buruk dialami sesetengah penumpang semasa menggunakan pengangkutan jenis ini.

Mohamad Idzaudin Abdul Razak berkongsi kisahnya berdepan situasi di mana kapal terbang dinaikinya terumbang ambing sebelum mengalami pergolakan di udara dalam kejadian pada 17 Disember 2021.

Menurutnya yang senang disapa Idzaudin, tragedi yang dianggap ngeri dalam dalam hidupnya itu terjadi sewaktu dia mahu pulang ke rumahnya di Bangi, Selangor.

"Saya naik flight tu balik dari bercuti di Langkawi ke Kuala Lumpur. Masa tu musim hujan berpanjangan sampai banjir teruk dekat Shah Alam. Sepatutnya saya berlepas pukul 7 malam tapi ditangguhkan. Kami diarahkan naik pada pukul 8 malam. Pada awalnya kapal terbang bergerak macam biasa saja. Tapi saya ada perasan sesuatu dalam peta masa sampai di Ipoh... dekat skin kecil tu nampak kapal terbang berpusing.

"Saya pelik tengok keadaan tu kenapa kapal terbang 'on hold' tak bergerak. Juruterbang pun tak buat
pengumuman apa-apa jadi saya teruskan tengok peta. Agak lama juga, lebih kurang 40 minit tak bergerak dari Ipoh,"
jelasnya.

@idzaudin_

Hajat nak membuang tak tercapai 😂

♬ original sound - idzaudin

Setelah menunggu terlalu lama dan tiada sebarang pengumuman dibuat, dia mengambil keputusan untuk pergi ke tandas.

Dia yang kini sedang mengikuti pengajian dalam bidang Komunikasi Strategi di Universiti Multimedia
(MMU), Cyberjaya berkata, pada waktu itu ramai juga penumpang lain sedang beratur untuk menggunakan tandas.

Tambahnya, semasa sedang menunggu giliran untuk menggunakan tandas itulah berlaku air turbulence (pergolakan udara) dahsyat yang menyebabkan kapal terbang itu hilang pertimbangan.

"Sebelum air turbulence berlaku, kalau tengok pada peta kapal terbang tu berpusing agak lama tapi saya mash tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Saya agak semua orang pun tak panik, jadi saya pun pergilah tandas sebab dah lebih 40 minit dekat Ipoh tak bergerak.

"Masa tengah beratur di tandas tiba-tiba ada air turbulence. Agak kuat juga rasa bergelora tu. Saya boleh rasakan kapal terbang tu atas ke bawah dan kiri ke kanan berulang kali. Kebetulan masa tu ada pramugari dekat situ. Dia suruh kami yang sedang beratur untuk duduk dekat lantai.

"Masa tu memang dah panik. Pramugari suruh capai dan pegang apa yang boleh. Dekat sebelah saya ada budak perempuan. Saya kesian tengok dia tapi mujur ada penumpang lain pegang budak tu. Kalau kami tetap pergi ke tempt duduk memang akan jatuh," imbasnya kembali.

Pengalaman ini merupakan kali pertama berlaku dalam hidup jejaka in sekali gus membuatkan dia takut namun pada masa yang sama dia percaya perjalanannya selamat kerana dikendalikan oleh juruterbang dan pramugari yang berpengalaman.

Bercerita lanjut mengenai rakaman yang diambil semasa kejadian mengerikan ini, dia tidak menyangka video TikTok tersebut akan tular sehingga meraih hampir 1 juta jumlah tontonan.

Lanjutan daripada kejadian itu, setelah beberapa minit keadaan dalam pesawat kembali stabil dan dia akhirnya selamat kembali ke tempat duduk.

Tambahnya lagi, juruterbang juga membuat pengumuman bahawa keadaan cuaca di Kuala Lumpur agak teruk menyebabkan KLIA (Kuala Lumpur International Airport) ditutup dan mereka terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Mersing, Johor.

"Bila sampai dekat Johor, kapal terbang kami naik cuma parking saja tapi penumpang tak turun. Bayangkan kami terpaksa duduk sejam lebih dalam kapal tu tak turn atau keluar langsung. Lepas tu baru kami bergerak semula ke Kuala Lumpur. Masa tiba di Kuala Lumpur mash hujan sampai nampak petir tapi perjalanan OK saja.

"Alhamdulillah saya selamat mendarat malam tu walaupun lewat. Memang takut dengan apa yang terjadi, tapi berdasarkan statistik, perjalanan udaralah yang paling selamat sebenarnya berbanding kereta atau kenderaan lain yang lebih cenderung untuk mengalami kemalangan tak dingini.

"Bagi saya bahaya tu ada dekat mana-mana. Tapi pengalaman ni merupakan satu kenangan yang tak dapat dilupakan dan menjadi peringatan buat saya supaya sentiasa lebih ingat akan kematian," jelasnya menutupi kisah ini.

Sumber: Mstar & Kredit Video: TikTok idzaudin_

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah