Taman Burung KL Buat Promosi Tiket Murah Sempena Cuti Hujung Tahun
VIRALDecember 23, 2020 - 01:25 PM
Cuti hujung tahun ini jika anda tidak mempunyai idea untuk membawa anak-anak beriadah hujung minggu ke mana -- anda boleh membawa mereka berjalan-jalan mengenali ratusan spesies burung di Taman Burung Kuala Lumpur!
Ini kerana selain dapat melihat dengan lebih dekat burung-burung yang ada di sangkar habitat burung terbesar di dunia itu, Taman Burung KL kini juga sedang menawarkan potongan harga bagi tiket masuk sehingga 50 peratus dari 14 hingga 31 Disember ini.
Harga tiket untuk masuk ke Taman Burung KL kini hanya berharga RM18 untuk dewasa yang juga pemegang MyKad dan RM6 bagi kanak-kanak yang juga pemegang MyKid.
Taman Burung tersebut dibuka kepada pengunjung setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Taman Burung KL merupakan antara destinasi popular dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara, selain terletak berdekatan dengan lokasi menarik lain seperti Taman Rama-Rama, Masjid Negara, Taman Bunga Raya, Balai Peringatan Tun Abdul Razak dan Planetarium Negara.
Dibuka kepada umum sejak 1991, Taman Burung ini dibina di atas tanah berkeluasan 21 ekar dan menempatkan lebih 3,000 burung daripada 200 spesies yang berterbangan bebas di empat zon.
Menariknya, kira-kira 60 peratus burung yang terdapat di taman itu berasal dari negara lain manakala bakinya adalah spesies tempatan.
Masuk sahaja ke pintu utama Taman Burung Kuala Lumpur, pengunjung akan dihidangkan dengan suara burung yang sedang berkicauan serta terbang bebas.
Terdapat burung enggang, bangau, ranggung, nuri, serindit, kuang, kakak tua, punai, merpati, ruak-ruak dan langling, itik-itik dan flamingo serta pelbagai spesies burung yang berasal dari Malaysia dan negara seperti Australia, New Guinea, Thailand, Indonesia, Tanzania, China dan Belanda mendiami taman burung ini.
Memandangkan burung-burung di taman itu bebas berterbangan, pengunjung boleh memerhati mereka di kawasan terbuka dan jarak dekat seperti merak, burung kenyalang dan bangau.
Jika berpeluang, pengunjung yang kebanyakannya golongan kanak-kanak dapat membantu petugas memberi makan sayur-sayuran dan buah-buahan kepada burung-burung yang ada di situ.
Kebanyakan spesies burung ini juga sangat 'ramah' dan mesra kamera namun pengunjung harus mematuhi jarak kerana tidak semua gemar dipegang.
Untuk maklumat lanjut anda boleh melayari www.klbirdpark.com.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah