Tangguhkan Dulu Hasrat Bercuti Ke Pulau Perhentian, 75 Penduduknya Positif Covid-19!

VIRAL
August 26, 2021 - 06:13 PM


Meskipun Terengganu kini berstatus Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan individu lengkap 2 dos vaksin untuk rentas daerah dan menjalani percutian domestik -- namun sekiranya anda mempunyai pelan percutian ke Pulau Perhentian mungkin hasrat itu terpaksa ditunda seketika.

Ini kerana pulau peranginan yang popular di kalangan pelancong itu terpaksa menjalani sekatan pergerakan sejak Jumaat lepas susulan  75 penduduknya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata kesemua penduduk yang disahkan positif itu kini dirawat di Hospital Setiu dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kem Wawasan, Besut serta Institut Pendidikan Guru (IPG) di Kampus Sultan Mizan, Besut.

"Semua penduduk yang menjalani proses rawatan itu dalam keadaan stabil.

"Kami sudah melakukan proses ujian calitan Covid-19 selepas 75 penduduk di pulau peranginan itu disahkan positif," katanya kepada media.

Dr Kasemani berkata, proses ujian saringan membabitkan 70 peratus penduduk dilaksanakan sejak Jumaat lalu dan selesai sepenuhnya semalam (25 Ogos).

Beliau berkata punca penularan Covid-19 bukan disebabkan pelancong, sebaliknya pergerakan penduduk yang tinggal di pulau peranginan itu yang berulang-alik melaksanakan urusan di tanah besar.

"Bagi mengekang penularan lebih besar, sekatan pergerakan keluar masuk ke pulau berkenaan dikuatkuasakan sejak Jumaat lalu.

"Penduduk berstatus kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguat kuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Buat masa ini, kebanyakan pulau peranginan di Terengganu termasuk Pulau Perhentian tidak menerima kehadiran pelancong memandangkan masih ada pengusaha dan pemain industri yang belum bersedia untuk beroperasi.

Berdasarkan maklumat, memang tidak dibenarkan orang luar pergi ke Pulau Perhentian dan penduduk di situ juga tidak dibenarkan keluar untuk mengelak penularan Covid-19.

Aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian terpaksa ditangguhkan dahulu dan prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan di semua pulau peranginan di Terengganu bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Sumber: Harian Metro

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah