Bukan Je Berjaya Masuk Oxford, Siap Dapat Tawaran 2 Lagi Universiti Terkemuka Dunia! Apa Rahsia Anak Sarawak Ni Ya?
FEATUREDAugust 20, 2021 - 09:51 PM
Siapa kata anak Malaysia tak hebat?
Buktinya seorang pelajar cemerlang kelahiran Baram, Sarawak ini bukan sahaja diterima masuk ke Universiti Oxford, United Kingdom yang juga merupakan universiti terbaik di Eropah dan kedua di terbaik di dunia -- malah Chris Deng Vinsien turut ditawarkan tempat di London School of Economics (LSE) dan King's College di London.
Chris, yang berdarah Kayan-Kenyah seolah-olah tidak percaya dirinya mampu mendapat tempat untuk meneruskan pelajaran dalam jurusan undang-undang di universiti berprestij itu.
Kata Chris, ibu bapanya menjadi inspirasi kepada kejayaannya, harapan anak muda ini adalah untuk membuktikan bahawa pelajar dari etnik minoriti sepertinya juga boleh menempa nama di persada antarabangsa.
"Bapa saya Vinsien Gau Jalong dan Maria Deng Wan, masing-masing dibesarkan di Long Banyok dan Long Laput di Baram.
"Kedua ibu-bapa saya sangat gembira dan berharap saya akan terus berusaha keras bagi mendapat kelas pertama (dalam pengajian) di masa hadapan, sekali gus memberi inspirasi terutamanya buat masyarakat Sarawak," kongsi Chris.
Berkongsi latar belakangnya, Chris dibesarkan di Bintulu dan dihantar ke sekolah berasrama penuh sejak berusia 13 tahun.
Selain sentiasa merekodkan keputusan cemerlang dalam bidang akademik, Chris juga aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti debat dan muzik.
"Berkenaan dengan persediaan menuju ke universiti tersebut, saya telah melakukan kajian berkaitan undang-undang menerusi UCAS Lab, yang mana saya membantu memberi panduan buat pelajar dalam proses permohonan mereka ke universiti di serata UK," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.
Chris melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Mukah dan menamatkan pengajian A-Level di Kolej Yayasan UEM, Lembah Beringin, Selangor.
"Saya telah memasang impian untuk membantu orang-orang Sarawak. Saya percaya pencapaian ini didorong oleh orang-orang tua saya.
"Saya ingin memberi inspirasi kepada pelajar terutamanya di Sarawak bahawa latar belakang bukan batu penghalang untuk kita mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.
"Semuanya boleh direalisasikan jika anda melakukan sesuatu sepenuh hati," ceritanya lagi.
Ujarnya lagi, dia berdepan dengan cabaran menangani situasi pandemik COVID-19 yang menjejaskan pembelajarannya dan sebelum ini, berdepan dengan kekurangan pendedahan untuk menyambung pengajian di luar negara.
"Saya pernah berdepan dengan cabaran seperti kurangnya pendedahan terhadap biasiswa pengajian di luar negara dan pencapaian cemerlang dalam akademik adalah bukan sesuatu perkara yang lazim dalam komuniti saya.
"Jadi saya berfikir untuk pergi ke luar negara itu adalah sesuatu yang mustahil," katanya.
Namun, pemikiran itu ditepis dengan usaha keras yang ternyata berbaloi buat dirinya dan keluarga.
"Untuk layak ke Oxford, pemohon perlu mendapatkan gred cemerlang dalam ujian biasanya 3A+ atau 4A+ dan perlu melalui ujian yang dikendalikan oleh Oxford.
"Bagi yang telah disenarai pendek, mereka akan dipanggil untuk sesi temu duga sama ada di Oxford atau secara dalam talian," kongsinya ketika ditanya berkenaan dengan proses kemasukan.
P/S: Tahniah Chris! Semoga anda terus sukses dalam pelajaran di Oxford nanti...
Sumber: Astro Awani
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah