MAS Siar YouTube Audio Penerbangan, Ubati Kerinduan Kaki Travel
FEATUREDJune 24, 2021 - 06:23 PM
Setelah lebih setahun kita semua tidak dibenarkan lagi untuk terbang ke luar negara, pastinya ramai yang merindui suasana mengemas bagasi, bergegas ke lapangan terbang seawal pagi dan mendengar pengumuman waktu penerbangan.
Bagi mengubati kerinduan yang masih belum jelas penghujungnya, syarikat pernerbangan nasional Malaysia Airlines mengambil inisiatif memuat naik kandungan audio yang mengingatkan semula keterujaan mengembara melalui saluran YouTube yang kini mencecah lebih 60,000 tontonan sejak Selasa lalu.
Rata-rata netizen tersentuh dengan audio berdurasi 30 minit bertajuk ‘The Sounds of MH’ antaranya mengandungi pengumuman yang lazimnya didengar di lapangan terbang dan di dalam pesawat serta meluahkan rasa rindu untuk mengembara, dalam ruangan komen.
Pengguna YouTube Nur Izzati menulis: “Tiba-tiba rasa macam nak menangis. What is this feeling? (Perasaan apakah ini?) Rindunya nak travel (mengembara)! Thank you! You really made my day (Terima kasih! Anda betul-betul buat saya gembira).”
Fadrul Hisham pula menyifatkan audio itu menggamit kenangan dan membuatkannya berasa seolah-olah sedang berada di lapangan terbang dan di dalam pesawat.
“I can smell KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), I can smell the cabin, I can hear the babble from fellow passengers...I can smell the in-flight meal...I can hear the engine… (Saya boleh ‘bau’ KLIA, saya boleh ‘bau’ kabin, saya boleh dengar bebelan daripada penumpang lain…saya bau makanan di dalam pesawat...saya boleh dengar bunyi enjin),” tulisnya.
Ameenur Ashraff pula berharap agar penularan COVID-19 dapat segera dikekang agar aktiviti mengembara dapat diteruskan seperti sediakala.
Sementara itu, Malaysia Airlines dalam kenyataan kepada Bernama berharap mereka yang rindu untuk terbang bersama penerbangan itu, akan dapat mengenang kembali memori bahagia kerana syarikat itu juga tidak sabar untuk menerima penumpang tidak lama lagi.
"Kami menerima banyak maklum balas positif daripada penonton dan pengikut menerusi perkongsian dalam media sosial, betapa mereka rindu untuk mengembara,” menurut kenyataan itu.
Syarikat penerbangan negara itu juga membuat pelbagai pendekatan dalam platform media sosial mereka termasuk cabaran duet teleprompter kandungan pengumuman pendaratan selamat menerusi TikTok.
Sumber: BERNAMA
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah