Terokai 5 Lokasi Insta-Worthy Di Sekitar Pasir Puteh Kelantan Yang Ramai Tak Tahu!
JALAN-JALANFebruary 26, 2021 - 10:20 PM
Negeri Kelantan terkenal dengan jolokan Cik Siti Wan Kembang terletak di bahagian Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia turut digelar sebagai “Tanah Serendah Sekebun Bunga” dengan pemandangan sawah menghijau, kampung nelayan dan juga Pantai Casuarina.
Dahulu, Kelantan menjadi tumpuan kerana makanannya. Selain kaya dengan pelbagai makanan yang unik dan murah, mungkin ramai yang belum sedar bahawa negeri Kelantan juga mempunyai banyak keunikan tersendiri termasuk budaya dan lokasi menarik yang tidak diketahui ramai.
Biasa kita dengar, kebanyakan pelancong ke Kelantan hanya berkunjung ke Kota Bharu dan juga Rantau Panjang sahaja, walhal masih banyak lagi tempat yang menarik di Kelantan untuk diterokai. Contohnya, seperti berjalan-jalan ke Jajahan Pasir Puteh.
Untuk pengetahuan anda, Jajahan Pasir Puteh merupakan satu jajahan yang istimewa kerana ia bersempadan dengan Jerteh dan Besut, Terengganu. la juga mempunyai kawasan hutan yang luas dan pantai yang indah, ringkasnya ia mempunyai sumber asli yang banyak selain beberapa kawasan yang menarik dan juga amat sesuai untuk dijadikan pelabuhan terutama di kawasan Semerak.
Apa kata kalau anda menghabiskan masa percutian anda dengan berkunjung ke Pasir Puteh ini selepas PKP ditamatkan nanti? Boleh tahan banyak juga tempat yang menarik dan insta- worthy yang anda boleh kunjungi. Di sini saya senaraikan 5 tempat menarik di Pasir Puteh yang pasti rugi sekiranya anda tak lawati semasa berada di sini
Kundasang Mini Kelantan
Siapa sangka bahawa di Pasir Puteh terdapat sebuah lokasi yang mempunyai pemandangan cukup indah seolah-olah anda sedang berada di tanah tinggi Kundasang, Sabah.
Jeram Mengaji Agro Resort kini menjadi antara lokasi tumpuan dan menerima kunjungan luar biasa daripada orang ramai kerana suasana ladang lembu tenusu dikatakan persis tanah tinggi di Kundasang, Sabah. Keadaan berkabus pada sebelah paginya, ladang hijau yang terbentang luas dan kawanan lembu tenusu (bertompok putih hitam) yang bebas meragut rumput di kawasan ladang, menjadikan ia seakan kita berada di Kundasang, Sabah atau tak kurang hebat dari New Zealand.
Tengoklah sendiri padang rumput yang menghijau dan dikelilingi binaan pagar kayu bercat putih, pasti ianya akan menjadi idea menarik untuk korang bergambar berkonsepkan “Farm Photoshoot”
Sekiranya berasa dahaga setelah penat berjalan-jalan menerokai ladang tersebut, anda boleh pula menikmati susu segar, susu berperisa, dadih dan yogurt yang ada dijual di sini. Lebih menarik, pengunjung juga berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman memerah susu lembu segar yang ada di sini serta menunggang kuda di sekitar kawasan ladang ini.
Lokasi ladang lembu ini tidaklah terlalu jauh ke dalam, mudah untuk diakses dengan kereta dan ianya terletak dalam perjalanan ke Jeram Mengaji Agro Resort. Jadi selepas menikmati keindahan sekitar dan bergambar di sini, anda juga boleh berkelah dan mandi manda pula di Jeram Mengaji.
Apa yang paling seronok adalah, untuk menikmati keindahan dan bergambar di sekitar ladang lembu ni, anda tidak dikenakan apa-apa bayaran dan ianya percuma sahaja! Best, kan!
Lokasi : Jeram Mengaji Agro Resort ,16800 Pasir Puteh, Kelantan (Jalan menuju ke Jeram Mengaji)
Rumah Dusun
Tidak jauh dari lokasi Kundasang Mini Kelantan, saya nak bawa anda singgah bermalam di Rumah Dusun. Ianya merupakan rumah tradisional Melayu yang diilhamkan daripada campuran seni bina Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan yang terletak di tanah seluas dua ekar setengah di kaki Bukit Saji, Selising, Pasir Puteh.
Tempat penginapan ini sangat ideal bagi anda yang menginginkan sesuatu pengalaman berbeza dari gaya hidup anda yang sibuk di kota. Ini kerana Rumah Dusun menjanjikan pengalaman menginap di desa yang lengkap dengan suasananya dikelilingi oleh kehijauan; pokok buah-buahan tropika seperti durian, rambutan dan nangka.
Lebih menarik, Rumah Dusun ini juga dilengkapi dengan kolam renang yang sesuai untuk aktiviti riadah dan santai bersama anak-anak serta keluarga.
Bagi anda yang inginkan privasi, inilah lokasi yang tepat kerana di sini anda boleh menikmati percutian yang cukup mendamaikan dan eksklusif.
Malah, ia juga sesuai untuk pasangan dan keluarga menganjurkan acara seperti perkahwinan, perhimpunan, bengkel atau perkhemahan.
Untuk ke sini, lebih mudah sekiranya anda menaiki kenderaan sendiri kerana ianya perlu melalui jalan kampung yang agak sempit.
- Lokasi : 202 Kampung Banggol Stol 16800 Pasir Puteh, Kelantan
- Facebook : https://www.facebook.com/therumahdusun
- Instagram : https://www.instagram.com/rumahdusun/
- Nombor Telefon : 014-5015111
Madrasah Ihya Ulumuddin
Berhampiran dengan lokasi Rumah Dusun dan Jeram Mengaji Agro Resort, anda juga sebenarnya berpeluang untuk menyantuni atau berziarah ke Madrasah Ihya Ulumuddin. Apa yang menarik tentang madrasah ini adalah pemiliknya membangunkan pusat pengajian Islam ini dengan berkonsepkan ‘pondok dalam taman’.
Lihat saja reka bentuk madrasah yang sememangnya cantik dan unik, tidak kelihatan seperti bangunan madrasah, bukan?
Saya difahamkan oleh pemilik madrasah ini bahawa, pembangunan Madrasah Ihya Ulumuddin juga turut menerapkan kepelbagaian reka bentuk iaitu kombinasi unik tradisional klasik dan sentuhan moden pada beberapa struktur binaanya.
Ketika berkunjung ke sini tidak lama dulu, saya juga sempat merasai sendiri pengalaman menunaikan Solat Asar di masjid madrasah berkenaan yang dikatakan baru sahaja siap dibina dan menjadi ‘nadi’ kepada Madrasah Ihya Ulumuddin. Masjid ini mempunyai 2 tingkat di mana bahagian bawah merupakan dewan solat dan bahagian atas terletak bilik-bilik untuk proses pengajaran dan pembelajaran.
Jika diperhatikan dengan teliti, madrasah ini sebenarnya memiliki rekaan pondok penginapan seperti pondok “cokoh” iaitu reka bentuk pondok klasik zaman dahulu kala, pondok chalet dan pondok moden untuk penempatan pelajar mereka.
Datanglah untuk singgah dan santuni pelajar-pelajar di sini walaupun seketika kerana banyak pengisian rohani yang boleh anda perolehi, di samping berpeluang menikmati keunikan seni bina madrasah dan suasana yang cukup menenangkan jiwa. Jangan risau kerana madrasah ini sangat mengalu-alukan kunjungan orang ramai ke sini kerana tetamu umpama rahmat buat mereka.
Jika ingin ke sini, anda boleh menggunakan Waze dan taip sahaja ‘Madrasah Ihya Ulumuddin’ dan anda akan terus dibawa tepat ke destinasi ini.
- Lokasi : Lot 425 Kg. Berangan, Selising, 16810 Pasir Puteh, Kelantan
- Telefon: 013-639 3219
- Email : madrasahihyaulumuddin14@gmail.com
- Facebook : Madrasah Ihya Ulumuddin
Warung D'Baroh
Teringin nak makan mee celup? Jom saya bawa anda ke Warung D'Baroh yang terletak betul- betul di tepi kawasan bendang. Masa saya dan beberapa orang rakan datang ke sini tempoh hari, kami agak kurang bernasib baik kerana ketika itu belum tiba musim orang kampung menanam padi. Jadi tidak dapat kami menikmati pemandangan indah sawah padi yang menghijau. Tetapi tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya ada juga kawanan itik-itik berenang di dalam bendang itu yang boleh kami layan. Hehehe...
Untuk pengetahuan anda, nama “Baroh” tersebut diambil dari dialek setempat yang bermaksud sawah padi atau bendang. Ianya merupakan tanah lembap di mana sesuai untuk dijadikan tempat penanaman padi.
Warung ini turut menawarkan pelbagai menu yang sedap antaranya roti bakar telur gedik, mee celup, masakan panas dan macam-macam lagi. Sambil menjamu selera dengan hidangan popular Kelantan mee celup, anda juga boleh menikmati keindahan sawah padi yang cukup mendamaikan pancaindera.
Tetapi ingat, rancang masa untuk melakukan percutian anda ke sini jika ingin melihat pemandangan sawah yang cukup menakjubkan! Kalau ingin ke sini, anda tidak perlu risau jika tersesat kerana Warung D’Baroh ini terletak betul-betul di tepi jalan iaitu di sebelah kanan selepas lampu isyarat menuju ke Kolej Matrikulasi Kelantan. Dari jauh pasti anda sudah boleh melihat hiasan payung berwarna - warni yang digantung hingga ke puncak pokok.
Lokasi : Kampung Jerus, Selising, Pasir Puteh, Kelantan
Pantai Bisikan Bayu (Beach Of Whispering Breeze)
Setelah puas menjamu selera dan perut pun kekenyangan, anda boleh pula berjalan-jalan sambil menghirup udara segar di pantai berhampiran yang bernama Pantai Bisikan Bayu, Semerak.
Jika anda nak tahu, sebelum ini keadaan Pantai Bisikan Bayu sangat sunyi daripada kunjungan orang ramai, namun kini ianya telah bertukar wajah menjadi lebih meriah dan menjadi salah satu lokasi tumpuan keluarga untuk beriadah dan bercuti terutama di musim cuti sekolah atau hujung minggu.
Banyak kemudahan baharu seperti taman permainan, pondok rehat, lukisan mural, papan tanda, spot bergambar cantik iaitu buaian menghadap pantai disediakan untuk keselesaan pengunjung ke pantai ini.
Tetapi yang paling seronok bila berkunjung ke sini, anda akan dapati suasana di sekeliling pantai sangat bersih dan membuatkan ramai orang suka apabila berlibur ke Pantai Bisikan Bayu bersama anak-anak, keluarga atau kawan-kawan.
Selain itu, Pantai Bisikan Bayu kini turut dilengkapi pelbagai kemudahan permainan lain seperti kenderaan lasak pelbagai permukaan ‘All Terrain Vehicle’ (ATV), aktiviti layang-layang dan gerai-gerai jualan, sekali gus mengembalikan semula imej kawasan ini yang pernah popular pada era 80-an dahulu.
P/S: Dengar kata baru-baru ini ketika musim tengkujuh, Pantai Bisikan Bayu telah dilanda ombak besar dan mengalami sedikit kerosakan. Bagaimanapun, anda jangan risau sebab kerja-kerja proses membaik pulih sedang giat dilakukan oleh pihak Majlis Daerah Pasir Puteh. Dah cantik semula nanti, bolehlah bawa keluarga bersantai ke sini
Lokasi : Kampung Dalam Rhu, 16700 Cherang Ruku, Kelantan
Selain dari 5 tempat yang disenaraikan, rasanya tidak lengkap percutian anda ke Pasir Puteh jika tidak singgah ke Pasar Pagi Ladang Getah di Kampung Guntong yang menjual pelbagai keperluan harian seperti ikan, sayur-sayuran serta gerai makanan.
Uniknya pasar pagi ini ialah ianya simbolik bagi mengimbau kenangan filem Laksamana Do Re Mi arahan Tan Sri P.Ramlee pada tahun 1972 yang mempunyai adegan Re (Ibrahim Din) membeli sayur-sayuran di sebuah pasar pagi dan di situ berlakulah tawar menawar yang sarat dengan adegan lucu.
Seawal 6 pagi, peniaga biasanya telah mula memenuhi ruang niaga masing-masing sambil menunggu kedatangan pengunjung. Tetapi perlu diingatkan, pasar ini dibuka hanya pada hari Jumaat dari awal pagi sehingga tengah hari sahaja. Jadi pastikan anda susun betul-betul jadual perjalanan anda jika ingin ke sini.
Sementara itu, jika anda seorang pencinta sejarah rugi sekiranya tidak mengunjungi Tugu Tok Janggut, di Pusat Bandar Pasir Puteh.
Tugu ini dibina pada tahun 2005 oleh Majlis Daerah Pasir Puteh sempena memperingati jasa dan perjuangan Haji Muhammad Hassan bin Munas atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Janggut' dalam era penentangan penduduk di Tanah Melayu ke atas penjajah British.
Berkunjung ke sini pastinya membuatkan anda dan anak-anak dapat merasai lebih dekat roh perjuangan pahlawan Melayu zaman dahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara kita.
Anda pernah dengar nama Tok Bali? Kalau nak tahu kawasan Tok Bali sememangnya masyhur sebagai lokasi pendaratan ikan yang terkenal di negeri Kelantan dan ia terletak hanya kira-kira 15 minit perjalanan dari Pasir Puteh.
Dah sampai ke Tok Bali, anda jangan lupa untuk bergambar cantik berlatar belakangkan Replika Bot Nelayan Tok Bali yang menjadi mercu tanda bagi pelancong yang pernah menjejakkan kaki ke sini.
Ini ada satu lagi monumen bersejarah yang boleh anda lawati sekiranya bercuti ke Pasir Puteh, iaitu Wakaf Tuan Farrer.
Kalau anda nak tahu kenapa nama ‘Wakaf’ yang bermaksud tempat untuk pengembara berhenti rehat atau dalam Bahasa Inggerisnya Rest Pavilion ini diberi nama sempena salah seorang Pegawai British di Kelantan – ini kerana Tuan Farrer dipercayai mempunyai kedudukan yang istimewa di Pasir Puteh sehingga namanya diabadikan pada wakaf tersebut.
Menarik, bukan? Jadi jika ke sini, jangan lupa untuk merakamkan potret kenangan anda di Wakaf Tuan Farrer!
Selepas ini sekiranya rentas negeri dan aktiviti pelancongan telah mula dibenarkan oleh Kerajaan, ambillah peluang tersebut untuk bawa keluarga dan rakan-rakan pergi bercuti dan terokai sendiri tempat-tempat menarik di Pasir Puteh, Kelantan!
Rugi kalau tak singgah sini, sebab inilah juga masanya untuk kita sokong dan bantu pengusaha pelancongan tempatan kembali bangkit setelah melalui masa-masa sukar ketika penularan pandemik COVID-19. Kita Jaga Kita, kan...
Jika dah boleh melancong nanti, ikutlah saranan Menteri Pelancongan YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu.
Melanconglah dengan selamat...
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah