Bercuti di Negeri Sembilan? Rembau Dan Tampin Juga Tak Kurang Hebatnya!
JALAN-JALANMay 06, 2021 - 04:50 PM
Negeri Sembilan, tempat percutian pertama yang terbit dalam fikiran kita tak lain tak bukan adalah Port Dickson. Walaupun bukan semua tetapi kebanyakan daripada kita memang akan terfikir jawapan yang sama, kan?
Berikutan situasi pandemik yang sedang melanda satu dunia, kini melancong bukanlah pilihan utama. Namun, naluri kita sebagai manusia melancong merupakan satu keperluan bertujuan merehatkan minda setelah penat lelah membanting tulang mencari rezeki. Bercuti atau melancong sedikit sebanyak dapat membantu kita menstabilkan kembali fokus dalam kehidupan serta inilah detik terbaik untuk diluangkan bersama keluarga tersayang.
Tidak perlu berceloteh lebih panjang, kami ingin membawa anda semua ke destinasi yang jauh dari kepadatan pelancong. Rembau dan Tampin mungkin tidak segah daerah lain di Negeri Sembilan, namun kedua-dua lokasi ini tidak kurang hebatnya juga. Lagipun memilih destinasi yang masih ramai tidak tahu adalah satu pilihan bijak di kala pandemik masih aktif menular dalam kalangan masyarakat kita.
Apa yang ada di Rembau selain Khairy Jamaluddin? Tahukah anda Rembau merupakan salah satu destinasi untuk mereka yang sukakan alam sekitar dan juga cukup sesuai buat mereka yang kaki makan. Dua elemen ini sudah cukup bagi menjadikan Rembau dan Tampin sebagai destinasi hujung minggu anda.
Perkara utama dalam merancang percutian semestinya adalah tempat penginapan, hotel atau mungkin homestay. Sebagai kelainan kami cadangkan untuk anda juga cuba pengalaman Glamping atau 'glamor camping'.
Buana Kita Glamping
Kenapa glamping? Bagi pencinta alam inilah masanya untuk bersahabat dengan alam. Uniknya bila anda memilih glamping, anda dah tak perlu risau tentang aktiviti untuk dilakukan kerana di Buana Kita ini terdapat banyak benda yang boleh dilakukan contohnya seperti memanah, berenang, bermain bola tampar, campfire, berbasikal dan melakukan cabaran berhalangan.
Di Buana Kita, mereka menyediakan 8 buah khemah yang diberi nama unik bersempena 12 suku dalam Adat Perpatih seperti Biduanda, Batu Hampar dan Paya Kumbuh.
Setiap khemah yang disediakan adalah sangat selesa dan mempunyai tilam empuk dengan kualiti tinggi seperti di hotel yang mampu memuatkan 4 orang dewasa.
Pelbagai kemudahan disediakan di sini seperti tandas, surau, pantry terbuka dan bilik mandi yang dilengkapi pemanas air serta peralatan barbeku yang lengkap.
Apa yang menjadikan Buana Kita Glamping ini begitu istimewa dan viral adalah suasana malamnya yang boleh bertukar menjadi sangat Instagrammable sesuai untuk dikongsikan di laman-laman sosial korang. Cahaya dari unggun api dan lampu yang dipasang sekitar khemah menjadikan tempat ini begitu cantik sekali.
Lepak di hadapan unggun api sambil berkongsi luahan bersama teman-teman, ditambah lagi dengan petikan gitar yang diiringi 'muzik' alam semulajadi daripada unggas malam, serta sedikit marsmallow bakar terasa diri ini bagai berada dalam movie pula. Ianya tak mustahil, tetapi sudah tentu kami lepak malam itu hanya sekadar bergosip tanpa marsmallow.
Selain itu, dekat sini juga ada tayangan filem secara outdoor pada waktu malam jika tidak hujan. Persis di luar negara, dekat Buana Kita anda juga berpeluang merasai pengalaman menonton wayang di luar panggung.
Hutan Rekreasi Kg Bintongan
Di sebelah pagi keesokan hari pula, anda boleh bermandi-manda di Hutan Rekreasi Kg Bintongan yang terletak kira-kira 15 minit dari tapak glamping Buana Kita. Tatkala air sungai yang begitu jernih dengan kesejukan air yang mula singgah di tubuh ini sudah cukup mengembalikan memori zaman kanak-kanak dahulu dan pastinya sangat menyegarkan badan yang sedang meniti usia dewasa ini.
Oh, jika anda datang bersama keluarga, jangan risau kerana aliran sungai di sini tidak begitu deras dan sesuai untuk kanak-kanak. Tempat pun bersih, sesuai untuk berkelah.
Banjaran Pizza @ Banjaran Glamping
Di sebelah petang pula, anda boleh luangkan masa di Banjaran Pizza. Memang tak sah kalau datang Rembau tak pekena piza di tengah-tengah hutan berlatar belakang panorama banjaran yang cukup indah. Sambil menjamu selera anda boleh juga menjamu mata sekali. Asyik tengok hutan batu jer, kan? Kepala pun dah jadi keras macam batu.
Sebagaimana yang kami nyatakan di awal artikel tadi, bercuti boleh membantu kita stabilkan diri kita kembali, yang mana negatif menjadi positif (kami tidak maksudkan Covid-19 ya). Inilah salah satu tujuan kenapa kita perlu bercuti selain membantu kita rileks, kita juga secara tak langsung mampu menyumbang kepada industri pelancongan negara kita sendiri. Sokonglah produk tempatan! Eh...
Kembali kepada Banjaran Pizza, istimewanya piza yang dihidangkan di sini, sos topping mereka mengikut resepi tersendiri yang mana anda takkan jumpa dekat mana-mana kedai piza di Malaysia. Satu lagi yang paling best mengenai Banjaran Pizza ini, mereka memasak piza menggunakan kayu api di dalam oven tradisional yang membuatkan anda rasa berbaloi datang dari jauh.
Terdapat 6 jenis piza yang ditawarkan di sini iaitu Beef Pepperoni (RM29); Hawaiian Chicken (RM27); Classic Margarita (RM24), Seafood Marinara (RM42), Banjaran Beef (RM35) dan Banjaran Chicken (RM32).
Pengalaman menjamu selera di Banjaran Pizza ini pastinya membangkitkan rasa santai sambil menikmati hidangan piza panas-panas dikelilingi alam semulajadi serta layanan bak fine-dining di hotel 5 bintang.
Kalau anda pernah melancong ke Australia, anda mungkin familiar dengan konsep Banjaran Pizza ini kerana menurut pemilik restoran idea ini tercetusnya semasa beliau bekerja di sana.
Bagi mereka yang sukakan aktiviti lasak, anda boleh cuba ronda-ronda di sekitar banjaran dan air terjun berdekatan menggunakan ATV. Harga dan pakej anda boleh dapatkannya di Banjaran Pizza atau boleh terus ke laman Facebook mereka.
Tip: Jika ingin ke sini, pastikan anda membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi pemiliknya kerana Banjaran Pizza buat masa ini tidak menerima sebarang walk-in daripada pelanggan bagi mengekalkan pengalaman menjamu selera secara eksklusif buat pelanggan.
Waze: Jalan Jeram Peti (Atau dapatkan lokasi menerusi Whatsapp Daripada Pemilik Restoran)
Waktu Operasi: 6 Petang - 12 Tengah Malam (Setiap Hari)
No Tel: 013-363 5686
Sementara itu, bagi anda yang kaki makan -- Rembau dan Tampin sememangnya lokasi tepat untuk anda! Ini kerana di daerah ini sahaja kami sempat singgah di 7 tempat makan menarik termasuk di Banjaran Pizza.
Kesemua tempat makan di sini pula memang sesuai untuk dijadikan lokasi menjamu selera sama ada sarapan, makan tengah hari, makan petang, malam atau lewat malam (supper).
Warong Nostalgia Mak Dara
Sarapan pagi anda boleh mula dengan Warong Nostalgia Mak Dara. Suasana yang memang akan kembalikan nostalgia zaman kegemilangan Tan Sri P.Ramlee dan Saloma kerana sambil menjamu selara, halwa telinga anda juga akan dihidangkan dengan lagu-lagu popular dendangan Seniman ini.
Menu popular dekat sini adalah Roti Tsunami garing dengan telur 3/4 masak dipecah atas roti panas-panas & dibanjirkan kuah dan kari campur. Selain itu, ada 17 lagi jenis roti ditawarkan seperti Roti Puting Beliung, Roti Ribut Taufan, Roti Gempa Bumi, Roti Tampal Goyang dan Roti Selimut.
Alamat : Jalan Rembau - Tampin, Rembau, Negeri Sembilan
Masa Operasi : 6.30 Pagi - 3 Petang (Selasa Tutup)
No Tel: 011- 4016 6769
Makan tengah hari pula ada 2 pilihan:
Restoran B40
Restoran ini sebenarnya cukup terkenal dalam kalangan pendaki yang bakal menawan puncak Gunung Datuk iaitu gunung tertinggi di Negeri Sembilan kerana kedai makan ini merupakan port mereka bersarapan sebelum memulakan pendakian.
Selain menu sarapan, di restoran ini juga menyediakan hidangan lauk tengah hari dan makanan panas yang sedap dengan harga berpatutan. Jadi tak hairanlah ramai yang suka singgah mengisi perut ke restoran ini jika datang ke Rembau.
Alamat: Warong ZAWALI Kg. Senama, Jalan Seremban Tampin, Rembau, Negeri Sembilan.
Masa Operasi: 6 Pagi - 3 Petang (Setiap Hari)
No Tel: 019-253 6106
Grobok Salai
Restoran ini cukup popular bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah mereka yang luar Negeri Sembilan pun sanggup memandu lebih kurang 1 jam dari Kuala Lumpur semata-mata nak merasai masakan Nogori ini.
Dengan lauk-pauk yang begitu banyak anda pasti rambang mata kerana semuanya nampak menyelerakan. Namun menu wajib yang mesti dicuba dan paling popular adalah masak lemak cili api mereka yang terdiri daripada daging salai (RM9), itik salai (RM8-RM10 mengikut saiz) dan ikan sembilang salai (RM6).
Tetapi perlu diingatkan ya, masak lemak salai di kedai ini memang pedas berapi dan jika anda seorang yang tidak tahan pedas, pastikan anda bersiap sedia dengan air yang banyak untuk diminum. Hehehe
Secara ringkas, memang berbaloi, rasa sedap, ruang makan luas ada indoor dan outdoor, parking senang, ada live muzik dan harga berpatutan.
Alamat: Kampung Dato Abdul Samad, 71400 Pedas, Negeri Sembilan
Masa Operasi: 10 Pagi - 5 Petang (Setiap Hari Kecuali Isnin)
No Tel: 06-697 0128
Cendol Madu Rembau
Minum petang anda boleh singgah pekena cendol madu tepi Sungai Rembau. Ada 20 jenis cendol madu. Jika susah nak pilih, kami cadangkan anda cuba je cendol special aiskrim durian madu. Selain itu, ada juga cucur udang, tauhu dan tempe goreng serta masakan panas.
Alamat: No 1 Gerai Kerajaan Tepi Sungai, Rembau, Negeri Sembilan
Masa Operasi: 10 Pagi - 6 Petang (Isnin Tutup)
No Tel: 016- 622 8031 / 012 -232 1407
Restoran Ikan Bakar Sungai Rembau
Makan malam anda boleh menikmati hidangan makanan laut yang segar. Jangan ingat Rembau yang dikelilingi hutan tak ada restoran yang proper yer. Harga sangat berpatutan dan masakannya boleh dipuji. Kebiasaannya restoran ini menjadi tumpuan mereka yang bercuti bersama keluarga besar.
Alamat : Lot 1684 Terentang Mukim Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan
Masa Operasi : 6 Petang - 12 Tengah Malam (Setiap Hari)
Mulut Kafe
Kafe hipster ini merupakan satu-satunya destinasi di luar kawasan Rembau. Rasa rugi jika tidak singgah kerana ia sangat sesuai untuk dijadikan port santai sambil layan persembahan live band yang cukup menghiburkan kerana pemilihan lagu yang memang kena dengan jiwa anak muda. Makanan pula sama seperti di kebanyakkan kafe-kafe hipster di KL.
Alamat: No 66, Jalan Bunga Tanjung, Kampung Tamping Tengah, Tampin, Negeri Sembilan
Waktu Operasi: 3 Petang - 12 Tengah Malam (Selasa Tutup)
No Tel: 010-891 9109
Sebelum pulang dan tamatkan percutian di Rembau, anda jangan lupa singgah di Pusat Jualan Produk IKS Kundur yang terletak betul-betul bersebelahan restoran Grobok Salai dan membeli sedikit buah tangan untuk dibawa pulang. Antara yang paling best di IKS Kundur ini adalah dodol paneh (panas), bahulu tradisional, sirat, denderam, kerepek, pegaga crispy, peria goreng dan jangan lupa untuk mencuba sendiri keenakan aiskrim durian D24.
Satu lagi adalah Rumah Salji Rembau. Selain menyediakan bilik untuk dijadikan port bermain salji di Negeri Sembilan -- dekat sini juga merupakan salah satu tempat di mana anda boleh membeli produk sejuk beku seperti King Crab, udang galah, lobster dan salmon. Ia terletak bersebelahan dengan NKA Coffee House.
Best, kan kesemua tempat-tempat yang ada di Rembau dan Tampin ni. Jadi apabila kita semua dah dibenarkan untuk merentas negeri, anda bolehlah bawa keluarga dan rakan-rakan bercuti ke sana, memang takkan menyesal punya.
Kalau pergi bercuti nanti, pastikan anda sentiasa mematuhi SOP dan melanconglah dengan selamat seperti mana yang disarankan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, ya. Selamat Cuti-Cuti Malaysia!
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah