Kenali Sisi Lain Sabah, Ini Tips & 10 Lokasi Percutian Menarik Jika Anda Bertamu di Beaufort

JALAN-JALAN
May 09, 2021 - 04:30 PM


Bercakap mengenai destinasi percutian terkenal di Malaysia, pastinya Negeri Sabah terlintas di fikiran orang ramai kerana keindahan alam serta budayanya yang unik. Kebiasaannya para pengunjung dari dalam dan luar negara memilih untuk meneroka tarikan-tarikan terkenal seperti Gunung Kinabalu, pulau-pulau, makanan laut di Kota Kinabalu dan banyak lagi.

Sebenarnya terdapat banyak lagi tempat di Sabah yang masih ramai orang tidak tahu antaranya ialah Beaufort, Sabah. Jika anda seorang yang ingin mencari sedikit kelainan di Sabah, teruskan membaca artikel ini kerana saya akan kongsikan pengalaman mengembara di bandar yang terletak sekitar 90 kilometer dari selatan Kota Kinabalu.

Beaufort merupakan salah satu daerah yang terletak di bahagian selatan barat Sabah. Populasi daerah ini terdiri daripada kaum Bisaya, Melayu Brunei, Kadazan Dusun, Lun Dayeh, Murut dan Cina.

Disebabkan lokasinya yang strategik, Beaufort selalu menjadi tempat persinggahan para pengunjung yang akan ke Brunei dan Sarawak dari Sabah atau sebaliknya serta menjadi tumpuan para penggemar aktiviti lasak kerana ia berdekatan dengan Sungai Padas iaitu spot ideal untuk aktiviti water rafting.

Nota: Maklumat yang dikongsikan ini mungkin berbeza mengikut perkembangan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia. Kami akan mengemaskini isi kandungan artikel jika terdapat sebarang maklumat baharu.

Berikut merupakan tarikan-tarikan yang boleh dilawati sekiranya anda bercuti ke Beaufort nanti :

Pantai Kampung Pimping

Memandangkan perjalanan saya bermula dari Kota Kinabalu, saya sempat singgah Membakut, iaitu salah satu mukim di Beaufort, untuk menikmati keindahan Pantai Kampung Pimping.

Jika anda jenis yang suka bersantai sambil menikmati pemandangan indah tanpa perlu mengeluarkan jumlah belanja yang banyak, anda boleh datang ke sini kerana ianya dibuka kepada semua pengunjung tanpa sebarang bayaran.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari Pekan Beaufort, Pantai Kampung Pimping menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti berkayak, berkelah, BBQ, berenang, bermain layang-layang dan banyak lagi.

Di sini juga terdapat ramai pengusaha tempatan yang menjual pelbagai jenis barangan kraf yang boleh anda beli sebagai cenderamata atau ole-ole untuk dihadiahkan kepada tersayang.

Aktiviti kegemaran saya di sini? Sudah tentulah melihat pemandangan matahari terbit atau terbenam dari pantai ini. Memang cantik dan sangat menakjubkan!

Nota: Kebanyakan gerai di Pantai Kampung Pimping tidak beroperasi sepanjang PKP, PKPB atau PKPP. Bagaimanapun, anda boleh memeriksa keadaan terkini melalui profil ini.

Alamat: Pantai Kampung Pimping, 89709 Membakut, Sabah

Google Maps: https://goo.gl/maps/QpQfqKWYSZELHEcj6

Media Sosial: Pantai Pasir Pimping Membaku

Pekan Beaufort

Pekan Beaufort ini ibarat pusat utama di Daerah Beaufort. Di sini terletaknya pejabat-pejabat kerajaan, bank, hospital, sekolah, kedai-kedai dan sebagainya. Ramai yang mengatakan suasananya tetap sama seakan sebuah pekan lama walaupun telah banyak penambahbaikan dilakukan di sini.

Saya sempat berjalan-jalan ke beberapa lokasi tarikan yang menjadi identiti pekan ini seperti Masjid Beaufort, Pasar Am Beaufort, Stesen Keretapi Beaufort dan banyak lagi.

Jika diperhatikan, kebanyakan bangunan di pekan ini masih lagi mengekalkan konsep seni bina lama bagi memelihara nilai estetika warisan yang ada di Beaufort.

Cuba anda bayangkan agak-agak berapa usia bangunan-bangunan yang ada di sini? Itulah salah satu perkara yang membuatkan Beaufort ini istimewa di pandangan mata saya.

Alamat: Pekan Beaufort, 89800 Beaufort, Sabah

Google Maps: https://goo.gl/maps/yEVfWNnyKkQKBxsk7

Tugu Peringatan Starcevich

Terletak di Pekan Beaufort, Tugu Peringatan Starcevich merupakan salah satu tugu peringatan yang terkenal di Sabah.

Tujuan pembinaan tugu ini adalah bagi memperingati Tom Starcevich iaitu salah seorang tentera Australia yang dikatakan telah membantu membebaskan daerah Beaufort serta beberapa tempat lain di Sabah daripada cengkaman penjajahan tentera Jepun selepas Perang Dunia Kedua.

Anda boleh meluangkan masa di tugu ini selama 15 - 20 minit untuk mempelajari sejarah tentang Tom Starcevich dan juga daerah Beaufort secara keseluruhan. Ianya satu pengetahuan dan info menarik untuk kita sebagai generasi baru menghayati serba sedikit tentang peristiwa penting yang pernah terjadi di sini.

Alamat: Pekan Beaufort, 89800 Beaufort, Sabah (berdekatan dengan Pejabat Tanah & Ukur Daerah Beaufort)

Google Maps: https://goo.gl/maps/oyQM15hbYuHYG4n9A

Bayaran Masuk: Percuma

No. Tel: +60 88 254 611

Kampung Nelayan, Weston

Keputusan untuk memandu sendiri ketika bercuti ke Beaufort memberi saya peluang untuk meneroka tarikan-tarikan lain yang terdapat di luar kawasan Pekan Beaufort. Lokasi yang saya maksudkan adalah Pekan Weston.

Terletak sekitar 28 kilometer dari Pekan Beaufort, Pekan Weston mula mendapat perhatian para pengunjung yang ingin melakukan aktiviti menelusuri sungai di kawasan Kampung Nelayan Weston.

Aktiviti river cruise ini menawarkan peluang kepada pengunjung untuk melihat monyet endemik di pulau Borneo yang dikenali sebagai monyet belanda dan juga kelip-kelip.

Tidak hairanlah mengapa ramai pelancong dari luar negara gemar melakukan aktiviti ini jika berkunjung ke Sabah, kerana suasana dan pemandangannya yang indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Lebih menghiburkan apabila tour operator bot turut memberikan informasi dan maklumat berguna dalam keadaan santai dan cukup melucukan.

Bagi melengkapkan pengalaman di Weston, saya juga mengambil peluang untuk berjalan-jalan di kawasan Kampung Nelayan bagi melihat sendiri sisi kehidupan para penduduk di sini yang sangat peramah.

Nota: Jika anda ingin melakukan aktiviti river cruise, tempahan boleh dibuat melalui agensi pelancongan berdaftar. Mereka akan menguruskanperjalanan anda sama ada dari Kota Kinabalu atau Beaufort.

Alamat: Weston Wetland, 89800 Beaufort, Sabah

Google Maps: https://goo.gl/maps/FG7tK3MPcsiUHnPUA

Bayaran Masuk: Percuma

Tempahan River Cruise: Klook atau Amazing Borneo Tours & Events

Kampung Kota Klias

Kampung Kota Klias terletak sekitar 18 kilometer dari Pekan Beaufort. Bagi mereka yang berminat ingin melihat dengan lebih dekat spesies haiwan unik yang ada di Borneo, hutan paya bakau dan merasai kehidupan penduduk tempatan, anda wajib datang ke sini!

Kawasan sungai di sini agak dalam dan menjadikannya port ideal jika anda ingin menaiki bot atau kayak beramai-ramai. Sama seperti di Weston, dekat sini pun anda berpeluang melihat monyet belanda atau kelip-kelip sepanjang menelurusi sungai tersebut.

Nota: Aktiviti river cruise boleh ditempah melalui agensi pelancongan berdaftar. Mereka boleh menguruskan perjalanan anda sama ada dari Kota Kinabalu atau Beaufort.

Jika anda tak nak buat aktiviti kayak atau river cruise, anda masih boleh berkunjung ke kampung ini untuk menikmati pemandangan serta mengambil gambar cantik di setiap sudut kampung. Ia sememangnya sebuah tempat yang tenang kerana dipenuhi dengan tumbuhan hijau.

Alamat: Klias River Cruise, Kampong Kota Klias, 89800

Google Maps: https://g.page/kliasrivercruise?share

Bayaran Masuk: Percuma

Tempahan River Cruise: Borneo Authentic Adventure

Sungai Padas

Antara sebab mengapa Beaufort sangat terkenal dalam kalangan mereka yang kaki aktiviti lasak adalah kerana wujudnya Sungai Padas yang popular sebagai spot untuk white water rafting.

Ini kerana Sungai Padas dikatakan mempunyai jeram yang paling mencabar dan memiliki arus paling deras di Malaysia.

Ramai yang melabelkan aktiviti white water rafting di Sungai Padas adalah 3 atau 4 kali ganda lebih mencabar dari arus sungai di Kiulu. Jadi, babak jatuh dari bot berulang kali tidak kiralah ketika air pasang atau surut pasti berlaku kepada anda yang gemarkan cabaran aktiviti berkenaan.

Titik permulaan aktiviti ini adalah dari Pangi Station hingga ke Rayoh Station iaitu jaraknya sekitar 10 hingga 14 kilometer yang akan memakan masa hampir 2 jam

Sungai Padas mempunyai 8 jeram iaitu Head Hunter, Lambada, Cobra, Scooby Doo, Washing Machine, Mary Go Round, Snake House dan Rapid BBQ. Setiap jeram pastinya akan memberikan anda pengalaman dan jeritan yang berbeza.

Untuk memulakan aktiviti ini, anda perlu menaiki tren dari Beaufort ke Stesen Keretapi Halogilat dan tukar tren untuk ke stesen seterusnya iaitu Stesen Keretapi Rayoh sebelum pergi ke Stesen Keretapi Pangi. Best pengalaman naik tren di Sabah kerana anda dapat melihat sendiri pelbagai ragam penduduk tempatan dan menikmati keindahan pemandangan kampung.

Alamat: Sungai Padas, Beaufort & Tenom, Sabah

Google Maps: https://goo.gl/maps/qNtRaAjw4PqyPYhR7

Tempahan Aktiviti: Amazing Borneo Tours & Events

Pulau Tiga

Siapa di sini penggemar setia siri realiti TV popular Amerika Syarikat iaitu rancangan ‘Survivor’? Tahukah anda bahawa Pulau Tiga merupakan lokasi utama untuk penggambaran episod pertama siri realiti tersebut di mana para peserta terpaksa tinggal di dalam pulau berkenaan dengan ditemani babi hutan, ular sawa, monyet serta haiwan liar yang lain.

Walaupun pulau ini tidak berpenghuni, para pengunjung masih boleh datang ke sini untuk melakukan aktiviti snorkeling, hiking dan bersantai di tepi pantai serta mencari spot Instagrammable untuk bergambar cantik.

Antara sebab kenapa saya pergi ke sini adalah kerana pulau ini mempunyai 3 kolam lumpur gunung berapi yang dikatakan baik untuk kulit dan kesihatan kita. Ia terbentuk ketika gempa bumi yang melanda Mindanao sehingga memberi kesan di kawasan Borneo. Bahkan lebih menarik, Pulau Tiga merupakan satu-satunya pulau di Sabah yang mempunyai kolam gunung berapi.

Orang kata lumpur tu bagus untuk kulit kita kerana ia kaya dengan mineral. Jangan lepaskan peluang untuk berendam seketika sambil merasai nikmat kedamaian dikelilingi hutan hijau yang menyegarkan. Hmmm, bestnya la kalau dapat pergi balik.

Cara ke Pulau Tiga: Anda boleh memandu ke Jeti Kuala Penyu kemudian naik bot ke pulau selama 45 minit. Kalau dari Kota Kinabalu atau Labuan, boleh sewa bot laju ke pulau ini.

Alamat: Pulau Tiga, Kuala Penyu, Sabah

Google Maps: https://goo.gl/maps/SCmKuL8XgYQtgjhbA

Tempahan Aktiviti: Amazing Borneo Tours & Events (boleh tempah tour ini apabila rentas negeri/daerah sudah dibenarkan)

Bukit Bendera

Bagi yang minat aktiviti lasak, anda boleh cabar kekuatan fizikal anda dengan mendaki Bukit Bendera yang terletak berdekatan dengan Pekan Beaufort.

Mempunyai ketinggian 300 kaki dari paras laut, puncak Bukit Bendera menyajikan pemandangan Pekan Beaufort, Weston, Membakut serta Wilayah Persekutuan Labuan (pada waktu malam) yang sangat cantik untuk dinikmati setelah penat mendaki selama lebih kurang 45 minit.

Sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Bendera, anda mungkin berpeluang untuk melihat pokok Periuk Kera, pakis hutan, haiwan hutan serta air terjun. Puncak Bukit Bendera boleh menampung seramai 60 ke 70 orang dalam satu-satu masa (jumlah mungkin berbeza mengikut keadaan semasa pandemik).

Jika ke sini, anda disarankan agar memakai pakaian dan kasut yang selesa untuk memudahkan pendakian. Sila ikuti papan tanda yang disediakan supaya anda tidak sesat.

Alamat: Bukit Bendera Beaufort Starting Point, Pekan Beaufort, 89800 Beaufort, Sabah

Google Maps: https://goo.gl/maps/mzQAnD6J7GTXyWUg8

Bayaran Masuk: Percuma

Maklumat Lanjut: Kelab Belia Transformasi Beufort

Air Terjun Batu 58

Setelah penat mendaki Bukit Bendera, tibalah masa untuk anda menyejukkan diri pula dengan berendam dan bermandi-manda di Air Terjun Batu 58.

Air terjun ini terletak kira-kira 10 minit memandu dari titik permulaan pendakian Bukit Bendera. Ia mempunyai tiga tingkat air terjun dan dua laluan yang boleh anda ikuti sama ada mengikut aliran sungai atau melalui lereng-lereng bukit.

Airnya yang jernih dan sangat sejuk benar-benar memberikan kesegaran yang tidak terkata. Ditambah pula dengan bunyi air terjun dan dikelilingi alam semulajadi yang menghijau, benar-benar membuatkan anda berasa tenang dan damai. Tidak hairan mengapa penduduk tempatan suka ke sini terutamanya pada hujung minggu.

Jangan lupa masukkan Air Terjun 58 ni dalam list ya. Tip yang saya terima ialah pastikan anda pergi ke Bukit Bendera terlebih dahulu sebelum ke air terjun, jika anda berhasrat ingin berkunjung kedua-dua tempat ni.

Alamat: Air Terjun Batu 58, Kampung Jempangah Batu 58, Beaufort, Sabah

Google Maps: https://goo.gl/maps/mzQAnD6J7GTXyWUg8

Bayaran Masuk: Percuma

Tamu Beaufort

Sebelum meninggalkan Pekan Beufort, saya mengambil peluang untuk berkunjung ke Tamu Beaufort iaitu pasar hujung minggu. Perkataan ‘Tamu’ ni biasa digunakan di seluruh Sabah yang membawa maksud pasar minggu.

Ia cuma beroperasi selama 1 atau 2 hari sahaja mengikut lokasi. Jika di Beaufort, tamu di sini beroperasi hanya pada hari Sabtu bermula seawal jam 6.00 pagi.

Bagi saya, percutian di Beaufort tidak lengkap jika tak singgah ke tamu ini kerana di sinilah lokasi sebenar jika anda ingin merasai elemen budaya orang tempatan sekaligus membantu menjana ekonomi para peniaga kecil.

Apa yang ada di tamu ni? Macam-macam ada. Bermula dari makanan dan minuman tempatan, ikan, sayur-sayuran segar, tanaman bunga, kraf, barang keperluan asas dan banyak lagi.

Saya difahamkan peniaga-peniaga di tamu ni kebanyakannya mereka datang dari kawasan pedalaman. Ia antara sebab mengapa anda perlu ke sini. Lagipun barang-barang di sini juga sesuai untuk dibawa pulang sebagai ole-ole.

Alamat: Pekan Beaufort, 89807 Beaufort, Sabah (bersebelahan dengan Masjid Beaufort)

Google maps: https://goo.gl/maps/8HoAQ7fPgZrqXuxw7

Waktu Operasi: Setiap Sabtu dari pukul 6 pagi.

TIPS TAMBAHAN BERCUTI KE BEAUFORT:

Pengangkutan

Bagi mereka yang selesa nak memandu, saya sarankan agar anda sewa kereta. Jarak dari Kota Kinabalu ke Beaufort tidaklah begitu jauh. Perjalanan hanya mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit.

Anda boleh berhenti di banyak tempat untuk bergambar serta pergi ke pelbagai tempat yang terletak di luar kawasan Pekan Beaufort. Senang kata, pergerakan anda lebih fleksibel.

Anda boleh layari laman web TK Bayu Car Rental & Travel untuk menempah kereta sewa. Harga yang ditawarkan pun agak berpatutan.

Tempoh Kunjungan

Berdasarkan pengalaman sendiri, 4 hari 3 malam adalah tempoh ideal untuk anda melawat Beaufort. Tarikan-tarikan yang terdapat sini tidaklah terlalu banyak dan semuanya terletak tidak jauh antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada route perjalanan dan juga aktiviti-aktiviti yang anda pilih.

Tempat Penginapan

Bagi mereka yang berhasrat nak menginap di Pekan Beaufort, anda boleh tempah penginapan di The Gem Hotel Beufort.

Hotel ini terletak di Pekan Beaufort dan dekat dengan pelbagai kedai makan, barang keperluan serta banyak lagi. Selain lokasinya yang strategik, fasiliti hotel ini juga sangat memuaskan.

Siapa sangka, kan Beaufort juga tidak kurang hebatnya seperti bandar-bandar popular lain di Sabah seperti Kota Kinabalu, Tawau atau Semporna.

Memandangkan sekarang ini, kita masih lagi belum dibenarkan untuk merentas negeri apatah lagi terbang ke Negeri Di Bawah Bayu ini – apa kata anda kongsikan dahulu artikel ini bersama keluarga dan rakan-rakan untuk rancangan percutian seterusnya setelah pandemik kembali reda.

Bila melancong ke Beaufort nanti pastikan kita semua mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan dan praktikkan amalan norma baharu sebagaimana saranan Menteri Pelancongan YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri iaitu “Melanconglah Dengan Selamat”!

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah