Nak Rasa Keseronokan Memancing Udang Galah? Jom Terjah Lubuk Favorit Ni Di Kuala Selangor!

TARIKAN
March 12, 2021 - 12:47 PM


Udang galah sangat sinonim bagi golongan kaki pancing di Malaysia. Rasa udang yang segar dan harganya yang boleh tahan mahal menyebabkan ramai suka memancing udang galah ini sendiri untuk dibawa pulang sebagai lauk istimewa buat keluarga.

Baru-baru ini selepas Kerajaan membenarkan aktiviti rentas daerah, min bersama 2 sahabat telah berkesempatan untuk memancing udang galah di lokasi kegemaran kaki-kaki pancing iaitu di Kuala Selangor.

Jeti Cikgu Ayub, Kampung Sepakat, Kuala Selangor

Di Kuala Selangor, sebenarnya terdapat beberapa 'port baik' untuk memancing udang galah -- namun kami memilih untuk menyewa sebuah bot di Jeti Cikgu Ayub, Kampung Sepakat.

Selepas selesai scan MySejahtera, memeriksa suhu badan dan memakai sanitizer, kami terus menuju ke jeti untuk meletakkan joran-joran dan segala kelengkapan memancing ke dalam bot yang kami sewa dengan harga RM100 untuk sehari.

Kelihatan Sahabat Min Mendapatkan Info Daripada Pemilik Bot, Cikgu Ayub

Perlu diingatkan ya, bot-bot yang disewa di sini hanya boleh memuatkan antara 2 hingga 3 orang sahaja dan bot juga perlu dipandu sendiri oleh pemancing kerana tiada jurupandu disediakan oleh pemilik bot.

Tentang soal keselamatan, korang tak perlu risau kerana setiap bot dilengkapi dengan jaket keselamatan masing-masing.

Selain sewa bot, pemancing juga akan diberikan sebekas penuh udang-udang kecil secara percuma untuk dijadikan umpan bagi memancing udang galah. 

Kapasiti Bot 2 Hingga 3 Pemancing Sahaja

Selepas mendapatkan info lubuk yang terbaik di sepanjang hilir Sungai Selangor daripada pemilik bot yang bernama Cikgu Ayub, kami pun menghidupkan enjin bot dan terus menuju ke destinasi pertama iaitu kira-kira setengah jam dari jeti pelepasan.

Bot Di Sini Tidak Menyediakan Jurupandu,
Jadi Pastikan Rakan Pemancing Ada Yang Tahu Cara Bawa Bot

 

Menurut tips daripada Cikgu Ayub, lubuk udang galah boleh dikenalpasti melalui kawasan teluk yang berair tenang.

Jika korang dah jumpa port terbaik yang dimaksudkan, enjin bot boleh dimatikan dan perlahan-lahan ikat tali bot ke dahan pokok yang kuat untuk pautkan bot agar tidak bergerak.

Selepas selesai memarkir bot, kami bertiga terus menyediakan joran dengan memasang umpan udang-udang kecil dan melepaskannya ke dasar sungai.

Tidak lama selepas menunggu sambil makan bekalan sarapan yang dibawa bersama, salah satu daripada joran yang dipasang telah mula menunjukkan sedikit pergerakan seakan ada udang yang telah terkena umpan.

Lantas, joran diambil dan ditarik perlahan-lahan sehingga udang galah pertama timbul di atas permukaan air dan kami pun menjerit kegembiraan!!

Nasib roti canai yang dimakan tak tersembul keluar dari mulut. Hahaha....

Senyuman Gembira Dengan Hasil Udang Galah Pertama

Selepas tangkapan pertama, makin banyak udang galah yang berjaya kami naikkan satu demi satu. Namun hasrat seorang daripada sahabat yang teringin untuk menaikkan udang galah besar bersepit biru atau lebih popular dengan gelaran 'Jenggo' masih belum menemui hasil.

Selepas beberapa jam di lubuk pertama, kami meneruskan pencarian udang galah dan Jenggo ke lokasi yang lebih jauh.

Ikan Lundu, Spesies Ikan Air Tawar

Ternyata nasib masih menyebelahi kami, apabila joran-joran yang kami pasang di sekeliling bot berjaya menaikkan lagi beberapa udang galah dan ada juga yang mengena Ikan Lundu, spesies ikan air tawar.

Berdasarkan pengalaman min yang baru pertama kali memancing udang galah, min dapati jika suasana di sekeliling lubuk sunyi sepi dan matahari pula mencanak tinggi -- memang udang galah akan lebih mudah tersangkut pada umpan yang dipasang.

Menurut maklumat daripada dua sahabat min yang sememangnya kaki pancing udang, untuk memancing udang galah pemancing perlu rajin berpindah-randah bagi mencari lubuk terbaik.

Ini kerana udang galah dikatakan sentiasa bergerak mengikut pasang surut air untuk mencari makanan dan sebab itu kami tidak boleh hanya tertumpu pada satu atau dua lubuk sahaja.

Sepanjang hari itu, kami telah bertukar-tukar lokasi memancing antara 6 hingga 7 lubuk.

Apabila hari semakin senja, kami dapati udang galah sudah mula kurang mengena dan kami memutuskan untuk pulang semula ke jeti.

Syukur alhamdulillah, seharian memancing dari pukul 8 pagi hingga 5 petang -- kami berjaya membawa pulang hampir 20 ekor udang galah. Bolehlah untuk pemancing udang galah pertama macam min. Hehehe...

Jadi bagi korang yang tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor, kalau nak merasa keseronokan memancing udang galah macam min, boleh ke Kuala Selangor bersama keluarga atau rakan-rakan.

Asyik 'pancing' dekat pasar je, sekali-sekali best juga memancing udang galah segar dengan tangan sendiri. Barulah kita lebih menghargai betapa susahnya jerih perih nelayan bagi mencari sesuap lauk setiap hari.

Hasil Tangkapan Udang Galah

Berikut sedikit TIPS berguna yang boleh min kongsikan untuk korang yang mungkin berminat bagi memancing udang galah di Kuala Selangor :

1) Jangan lupa bawa topi besar, cermin mata hitam, pakai baju berlengan panjang dan sapu krim pelindung matahari bagi mengelakkan korang kulit terbakar sepanjang seharian memancing.

2) Sediakan sarapan, makan tengah hari, makanan ringan dan air mineral sebagai bekalan untuk dinikmati sementara menunggu udang galah terkena joran.

3) Lebih elok kalau pilih sewa bot yang tanpa atap kerana menyukarkan untuk anda berdiri tegak dan susah mencampakkan tali joran ke arah yang lebih jauh. Sakit pinggang oooiii.....

4) Boleh bawa earpod atau speaker kecil sebagai hiburan bagi menghilangkan sedikit kebosanan menunggu ketika memancing.

5) Periksa tarikh air yang cantik dan cuaca yang sesuai untuk menyewa bot bagi memaksimumkan hasil tangkapan udang galah.

Ini pula adalah senarai nombor pemilik bot sewa untuk memancing udang di sekitar Kuala Selangor.

KG SEPAKAT, KUALA SELANGOR

Cikgu Ayub: 019-3764264

Wak Aril: 013-2944075

Wak Ady: 017-6987775

KG KUANTAN, KUALA SELANGOR

Mahad: 019-2465682     

Khalid: 017-3716961

Pak Lang / Mohd Yatim: 016-9039735

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah