Riverine Splash @ Amverton Cove - Taman Tema Air Terbaharu Di Selangor!

TARIKAN
January 04, 2022 - 02:54 PM


Memandangkan sekarang ini tengah musim hujan dan tempat untuk bawa anak-anak beriadah pun terhad, mungkin anda boleh bawa mereka mandi-manda di sebuah taman tema air terbaharu yang ada di Selangor -- di mana khabarnya ia dibuka secara rasmi pada 4 Disember lalu.

Taman tema air ini diberi nama Riverine Splash @ Amverton Cove yang terletak di Pulau Carey.

Sebenarnya lokasi taman tema ini berada di Riverine Hotel & Suites iaitu berhampiran Amverton Cove Golf & Island Resort.

Kedua-dua taman tema dan hotel baharu tersebut sebenarnya dimiliki oleh syarikat yang sama iaitu Syarikat Amverton.

Bukan sahaja taman tema air, malah di sini juga terdapat taman tema berhalangan yang diberi nama Survival Park @ Amverton Cove.

Menurut laman web mereka, kedua-dua taman tema berkenaan berkonsepkan etnik masyarakat orang asli yang sememangnya popular dan menjadi tarikan di Pulau Carey.

Riverine Splash mempunyai lebih 12 tarikan dan gelongsor -- namun paling istimewa dan pastinya digemari kanak-kanak adalah 'Gelongsor Anaconda' dan juga 'Rimba River'.

Bagi merasai sendiri kepuasan mandi-manda di Riverine Splash sekurang-kurangnya anda bersama anak-anak perlu meluangkan masa sekitar 5 jam di taman tema air berkenaan.

Sementara itu, di Riverine Survival Park pula -- anak-anak berumur 3 tahun ke atas berpeluang mencuba pelbagai jenis permainan lasak dan mencabar dengan tarikan yang paling best adalah flying fox!

3 jam diperlukan untuk anak-anak puas merasai kesemua permainan yang ada di Riverine Survival Park.

Buat masa sekarang, lokasi ini masih belum dikemaskini di dalam aplikasi Waze dan Google Maps.

Jadi, jika anda ingin ke sini boleh sahaja Waze 'Amverton Golf & Island Resort' untuk tiba ke Riverine ini.

Sumber: Surga Route

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah