Skycamp by Rimbasegara - Port Perkhemahan Glamor Di Hulu Langat, Selangor

TARIKAN
February 25, 2022 - 04:46 PM


Bagi anda yang berjiwa nature dan sukakan suasana yang damai, pasti percutian di tengah-tengah alam semulajadi menjadi pilihan.

Jika bosan dengan percutian di resort atau hotel mewah serta inginkan pengalaman baharu -- anda boleh cuba berkhemah di "Skycamp by Rimbasegara"!

Meskipun mungkin sekadar menginap di dalam khemah, namun suasana percutian di sini tidak kurang hebatnya dengan aura penuh glamor seakan di resort dan hotel lima bintang.

Lebih menarik lokasi Skycamp by Rimbasegara ini yang terletak di Hulu Langat, Selangor -- hanya berjarak kira-kira 45 minit sahaja dari ibu kota Kuala Lumpur.

Skycamp by Rimbasegara menyediakan 10 buah khemah bersaiz empat orang, tetapi ia hanya memuatkan dua orang sememangnya memberi keselesaan kepada pengunjung.

Pengalaman percutian mewah di port perkhemahan ini dirasai sebaik sahaja pengunjung menjejakkan kaki -- mereka bakal disediakan dengan minuman dan tuala tangan sejuk.

Di lokasi berkenaan, semua khemah dikelilingi sebuah kolam yang membolehkan tetamu untuk memancing jika ingin mengisi waktu lapang.

Jika bertanya mengenai aktiviti yang boleh dilakukan di sana, sebenarnya ada pelbagai kegiatan yang boleh diisi.

Antaranya tetamu boleh menikmati aktiviti mandi-manda di kolam yang sumber airnya cukup segar dari sungai berdekatan.

Pada sebelah malam pula, pengunjung bakal dihidangkan dengan set makanan lazat persis di restoran dengan seni dekorasi makanan yang cukup memukau.

Malah bagi mengelakkan kebosanan, pengunjung juga berpeluang bermain gitar sambil bernyanyi dan ada pelbagai 'table game' disediakan untuk tetamu.

Pemilik bersamanya, Nur Aisyah Azmir berkata, Skycamp by Rimbasegara menjadi tarikan golongan muda yang ingin melakukan aktiviti berkhemah, tetapi dalam masa sama merasai pengalaman glamor.

"Kami mengenakan caj RM199 seorang dan ia termasuk pakej minum petang, makan malam, kudapan lewat malam dan sarapan.

"Selain itu, bagi mereka yang datang keseorangan juga tidak menjadi masalah kerana kru menjadi peneman kepada tetamu untuk aktiviti di sini," katanya.

Bagi mereka yang ingin melepak, tetapi tidak mahu bermalam di lokasi berkenaan -- pihaknya juga membenarkan dengan bayaran RM20 seorang dari jam 5 petang hingga 8 malam.

Caj RM10 dikenakan untuk minuman teh dan kopi yang dihidangkan tanpa had.

Bagi tetamu yang bermalam mereka dapat menikmati pengalaman aura glamor yang kemuncaknya pada sebelah malam kerana bukan sahaja dihiburkan dengan pelbagai aktiviti yang meriah, malah dapat menikmati suasana lampu yang menerangi kawasan khemah.

"Malah tetamu juga tidak perlu risau mengenai kemudahan seperti tandas dan surau kerana di sini semuanya lengkap bagi memberi keselesaan kepada tetamu.

"Selain itu, kami juga memahami keperluan tetamu yang menginginkan bekalan elektrik untuk mengecaj telefon bimbit, jadi kami sediakan 'power bank' yang bukan sahaja boleh mengecaj telefon bimbit, malah untuk dipasang kepada kipas mini di dalam khemah," katanya.

Ternyata berada di lokasi perkhemahan ala 'hipstur' itu memberi kepuasan kepada pengunjung. Apatah lagi, jika anda ingin membawa anak-anak untuk mengenali dunia perkhemahan secara asas.

Sumber: Harian Metro & Kredit Gambar: FB Rimba Segara

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah