Sebelum Berseronok Di Genting SkyWorlds, Ini 7 Perkara Yang Korang Kena Check Dulu!
TRAVELMarch 18, 2022 - 07:25 PM
Semua tahu mengetahui taman tema Genting SkyWorlds telah dibuka selepas pra-pelancarannya pada 8 Februari lalu.
Taman tema ini sedang menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus ke atas harga tiket penuh bagi tempahan sehingga 31 Mac 2022.
Dalam tempoh pra-pelancaran ini, operasi sesetengah tarikan, permainan, dan tawaran adalah terhad dan ada juga sesetengah tarikan yang masih lagi di dalam proses pentauliahan dan tidak tersedia untuk menerima pengunjung.
Sebelum berkunjung ke taman tema itu, berikut 7 perkara yang harus anda ketahui bagi memastikan anda menikmati sepenuhnya kunjungan ke Genting SkyWorlds.
1. TEMPAH TIKET LEBIH AWAL
Kapasiti taman tema Genting SkyWorlds dalam tempoh pra-pelancaran adalah terhad. Maka, pengunjung dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dan mendapatkan tiket seawal mungkin untuk mengelak kecewa.
Pengunjung boleh menempah tiket dengan mudah secara atas talian di laman web rasmi www.gentingskyworlds.com atau melalui aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds (tersedia untuk dimuat turun melalui Google Play, Apple App Store dan Huawei AppGallery).
2. MUAT TURUN APLIKASI MUDAH ALIH
Aplikasi mudah alih Genting SkyWorlds adalah penting untuk kunjungan anda ke taman tema ini. Dengan adanya maklumat masa nyata (real-time), aplikasi ini membolehkan pengunjung untuk mengemudi dan menikmati tarikan-tarikan di taman ini secara efektif.
Anda juga boleh mengetahui masa menunggu bagi permainan, tarikan dan persembahan, serta menerima tawaran dan baucar promosi. Selain itu, pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat tentang tempat-tempat makan, membeli-belah, permainan, perkhidmatan foto, dan mencari lokasi kemudahan yang disediakan.
Aplikasi ini juga turut diintegrasikan dengan teknologi Virtual Queue (VQ) – satu perkhidmatan tempahan dan perancangan jadual kunjungan. Ciri ini membolehkan pengunjung membuat tempahan bagi tarikan dan permainan yang terpilih sebelum dan pada masa kunjungan ke Genting SkyWorlds. Pengalaman VQ juga membolehkan pengunjung untuk melakukan perkara berikut:
a. Membuat pra-tempahan ruang waktu yang diingini untuk permainan dan tarikan,
b. Mencipta dan menyunting kumpulan masuk bersama bagi pemegang tiket berkumpulan,
c. Melihat jadual kunjungan yang dicadangkan berdasarkan pilihan peribadi, dan
d. Menerima notifikasi masa nyata untuk tempahan, dan banyak lagi.
3. RANCANG LAWATAN
Setelah memperolehi tiket dan memuat turun aplikasi Genting SkyWorlds, tibalah masa untuk merancang kunjungan anda. Bagi memaksimumkan masa di taman tema itu, gunakan aplikasi itu untuk membiasakan diri dan mengenal pasti permainan dan tarikan yang anda minati.
Terdapat pelbagai cara untuk anda ke Genting SkyWorlds. Bagi mereka yang datang dari Lembah Klang, cara yang terpantas adalah menaiki kereta. Anda boleh meletakkan kereta di SkyAvenue dan ikuti papan tanda seterusnya untuk ke taman tema.
Antara cara-cara mudah yang lain untuk ke pusat peranginan tersebut adalah melalui perkhidmatan bas, e-hailing atau kereta kabel Awana SkyWay dari Genting Highlands Premium Outlets. Nikmati pemandangan udara taman tema yang menakjubkan dari kereta kabel, satu pengalaman yang tidak harus dilepaskan!
4. SEDIAKAN BARANG PENTING
Untuk menikmati Genting SkyWorlds dengan sepenuhnya, pengunjung harus memakai pakaian yang selesa dan kasut tertutup. Anda dinasihatkan untuk membawa bersama sehelai jaket atau kardigan untuk cuaca sejuk di Genting Highlands.
Anda juga diingatkan supaya membawa persalinan tambahan kerana ada permainan yang mungkin menyebabkan anda basah kuyup! Kemudahan tempat simpan barang peribadi yang selamat juga tersedia untuk disewa.
Sila ambil maklum bahawa makanan dan minuman dari luar tidak dibenarkan di dalam taman tema. Namun begitu, Genting SkyWorlds juga menawarkan beraneka pilihan makanan dan minuman untuk memenuhi pelbagai citarasa, keperluan pemakanan dan bajet.
5. BAYARAN TANPA TUNAI
Genting SkyWorlds adalah sebuah taman tema yang menggunakan pembayaran tanpa tunai. Maka, sediakan Genting e-Wallet anda untuk membuat sebarang pembelian.
Anda juga boleh menyediakan e-Wallet anda melalui aplikasi mudah alih Resorts World Genting atau gunakan GeMCard untuk membuat pembelian di Genting SkyWorlds. Kiosk e-Wallet juga disediakan di dalam taman tema untuk pembelian baharu, tambah nilai dan/ atau pemulangan wang. Genting SkyWorlds juga menerima cara pembayaran tanpa sentuh seperti kad kredit/debit, atau pembayaran QR atau E-wallet yang disediakan oleh T’nG, Alipay, WeChat, Maybank, Grab Pay dan Boost Pay.
6. UTAMAKAN KESELAMATAN
Genting SkyWorlds mengutamakan kesihatan, kesejahteraan, dan keselamatan semua pengunjungnya. Taman tema ini dibuka untuk pengunjung yang telah mendapat vaksinasi penuh.
Pengunjung berumur 12 tahun dan ke bawah yang belum divaksinasi dan daripada keluarga serumah dibenarkan masuk ke taman tema dengan ditemani oleh pengunjung yang telah menerima vaksinasi penuh.
Untuk memastikan kunjungan yang lancar dan menyeronokkan, pengunjung harus mematuhi semua peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti memakai pelitup muka pada sepanjang masa, mengimbas kod QR MySejahtera untuk pengesanan kontak, menggunakan pembayaran tanpa sentuh atau tanpa tunai serta mengamalkan penjarakkan fizikal.
7. SIAP SEDIA BERGEMBIRA
Akhir sekali, ini adalah panduan yang paling penting dan mudah untuk diikuti. Dibina dengan keluasan 26 ekar di ketinggian 6,000 kaki dari aras laut, Genting SkyWorlds bakal membawa anda satu pengalaman yang mengujakan dan melangkaui imaginasi ke sembilan ‘dunia’ yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan.
Walaupun dalam tempoh pra-pelancaran, masih terdapat banyak tarikan untuk dinikmati di dalam suasana cuaca dingin yang unik ini. Jom bebaskan diri anda dari realiti!
Sumber: Mstar
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah