Langkawi Kini Dibuka Kepada Semua Pelancong Luar Negara

GAYA HIDUP
October 26, 2021 - 10:46 AM


Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan terdapat prosedur ketat yang akan dilaksanakan bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 di pulau pelancongan itu.

"Prosedur ini termasuklah memastikan dia (pelancong) mesti datang menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berdaftar dengan kementerian.

"Ejen ini yang akan mengatur semua perjalanan dan mereka tidak datang terus ke Langkawi secara peribadi. Ini mekanisme yang kita gunakan kerana kalau ada apa-apa terjadi seperti berlakunya kes, ejen itu yang akan bertanggungjawab," kata beliau.

Nancy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai sama ada kerajaan akan mengambil langkah sama seperti Singapura dan Thailand dalam mengehadkan kemasukan pelancong luar untuk ke negara mereka.

Nancy berkata gelembung pelancongan antarabangsa itu diperkenalkan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu untuk tempoh lama bagi membuka sektor pelancongan kepada pelancong luar kerana ini akan menyebabkan ramai penduduk tempatan kehilangan pekerjaan perlu berfikir secara berilmiah dan munasabah supaya langkah yang diambil membawa kebaikan kepada semua.

"Pada masa sama, perkembangan di Langkawi ini akan menjadi model kepada kita untuk meneliti kelakuan (behaviour) pelancong dalam membantu membendung penularan COVID," katanya.

Beliau berkata sejak pengumuman gelembung pelancongan itu baru-baru ini, banyak rumah inap desa di Langkawi telah menerima tempahan pelancong terutama dari Eropah.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 Nov ini dengan pematuhan beberapa prosedur operasi standard (SOP).

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi COVID-19.

Sumber: Bernama

Destination: 

❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah