'Trend Solo Travelling' Bagi Wanita Islam? Boleh Ke Tidak Sebenarnya?
GAYA HIDUPMay 19, 2022 - 11:50 AM
Sejak kebelakangan ini, sudah menjadi satu trend di mana seorang wanita muslimah suka travel (melancong) secara solo ke luar negara dan juga di dalam negara. Bukan itu sahaja, bahkan mereka turut menguar-uarkan dalam media sosial.
Persoalannya adakah boleh seorang Muslimah melancong secara solo? Bukankah mereka perlu kepada peneman dan sebagainya?
Jom kita tengok penjelasan daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara ini.
Kami mulakan kalam ini dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا تُسافِرِ المَرْأَةُ ثَلاثَةَ أيّامٍ إلّا مع ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya: Janganlah seseorang wanita itu bermusafir selama tiga hari melainkan bersama-sama dengan mahramnya.
Riwayat al-Bukhari (1086), Muslim (1338)
Atau dalam riwayat yang lain:
لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم
Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”
Riwayat al-Bukhari (1763)
Melalui hadith ini, telah jelas larangan Rasulullah S.A.W ke atas wanita muslimah untuk keluar bermusafir melainkan bersama-sama mahramnya.
HIKMAH LARANGAN BAGI MUSLIMAH TRAVEL SOLO
Antara hikmah larangan ini adalah kerana bagi menjaga dan menjamin hak kepentingan golongan wanita daripada diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, selain menutup lubang-lubang fitnah yang mungkin dilontarkan terhadap seseorang muslimah.
Namun, dikecualikan larangan ini pada wanita muslimah yang berhijrah dan juga tawanan.
Para ulama’ telah bersepakat bahawa sekiranya seseorang wanita muslimah yang berada di negara kafir, maka dibolehkan ke atasnya untuk berpindah ke negara Islam tanpa perlunya kepada mahram.
Begitu juga sekiranya seseorang wanita muslimah itu ditawan oleh orang kafir dan dia mempunyai kemampuan untuk melarikan diri dari mereka, maka dibolehkan juga untuk keluar tanpa perlu kepada mahram.
Dan di sisi ulama’ mazhab Hanafi, mereka tidak menganggap keluarnya mereka ini (muslimah yang ditawan) sebagai suatu permusafiran.
HUKUM SOLO TRAVELLING BAGI MUSLIMAH
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, iaitu berkenaan hukum “solo travelling” bagi muslimah, maka terlebih dahulu, perlulah kita memahami apa yang dimaksudkan dengan solo travelling ini.
Perkara yang menjadi persoalan pada artikel kali ini adalah berkenaan trend masa kini iaitu orang mula melancong ke luar negara atau tempat-tempat lain secara sendiri.
Hal ini juga menjadi buah pertanyaan apabila ia mula menjadi pilihan ramai wanita muslimah di negara kita, seterusnya menerbitkan persoalan yang berkait dengan hukum bagi seorang muslimah untuk melancong secara sendiri ke luar negara atau mungkin juga ke tempat-tempat lain.
Kami juga ada membincangkan perkara yang lebih kurang sama dengan tajuk ini dalam satu artikel khas bertajuk AL-KAFI LI AL-FATAWI #530: WANITA MENYERTAI MISI BANTUAN TANPA MAHRAM. Dalam artikel tersebut juga, kami ada membincangkan berkenaan hukum bagi sebahagian wanita bersama-sama NGO dalam menyertai misi bantuan, ia dibolehkan namun perlu meraikan beberapa syarat.
Dalam hal ini, perlunya melihat kepada perbahasan ulama’ berkenaan haji. Ulama’ berbeza pendapat dalam hal ini kepada dua pendapat:
Pertama: Haram
Ulama’ mazhab Hanafi dan juga Hanbali tidak membenarkan ke atas wanita muslimah pergi menunaikan haji wajib melainkan dengan mahramnya.
Kedua: Harus
Ulama’ mazhab Maliki dan juga al-Syafie pula mengatakan harus bagi wanita muslimah yang tidak memiliki mahram untuk melakukan haji apabila dia telah memenuhi syarat wajib haji tetapi hendaklah ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai.
Namun, dalam hal permusafiran seorang wanita untuk umrah sunat, menziarahi ahli keluarga, menuntut ilmu, melancong dan sebagainya. Maka, ulama’ turut berbeza pandangan mengenainya:
- Jika jarak perjalanan tersebut dekat, maka ia diharuskan sebagaimana pandangan ulama mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan juga Hambali.
- Namun jika ia melibatkan perjalanan yang jauh, maka terdapat 2 pandangan di kalangan ulama:
- Diharuskan permusafiran wanita tanpa mahram jika dipastikan perjalanan tersebut adalah selamat. Ini merupakan sebahagian pandangan daripada mazhab maliki dan al-Syafie. Pandangan ini juga dikemukakan oleh Imam Nawawi, Abu Hamid al-Ghazali dan al-Mawardi.
- Tidak diharuskan permusafiran wanita tanpa mahramnya. Inilah merupakan pandangan jumhur ulama.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum solo travelling bagi wanita adalah harus, namun mestilah berdasarkan beberapa dawabith dan juga syarat seperti berikut:
1. Mestilah keadaan aman terhadap dirinya, agamanya, maruahnya, di masa permusafirannya sama ada dalam perjalanan, ketika di destinasi dan juga ketika pulang.
2. Perlu mendapatkan keizinan daripada mahram dan juga wali yang terdekat.
3. Bukanlah musafir ke tempat-tempat yang boleh membawa kepada fitnah atau memberikan mudarat terhadap dirinya.
Maka, dalam hal ini, kami nasihatkan adalah sebaiknya permusafiran ditemani oleh sekumpulan wanita yang dipercayai atau ahli keluarga lain bersama-samanya.
Kami juga menasihatkan agar golongan wanita sentiasa menjaga maruah dan adab-adab Islam agar mereka terpelihara daripada sebarang panahan fitnah dan tomahan serta menjamin kelangsungan kehidupan bersyariat.
Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya, menetapkan keimanan kita, serta memberkati segala amal perbuatan kita.
Destination:
❗️ Anda peminat One Piece? Jom dapatkan tiket Pameran Jelajah Asia One Piece "The Great Era of Piracy" ☠️di : https://www.ticket2u.com.my/event/30178?r=rll
#rileklah